ULASAN | Dasar luar Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel bukan sekadar pendirian diplomatik biasa, tetapi merupakan manifestasi jelas solidariti terhadap rakyat Palestin yang sekian lama berdepan penindasan dan kekejaman.
Dalam dunia yang semakin pragmatik dan berorientasikan kepentingan strategik, Kuala Lumpur memilih untuk kekal dengan prinsip kemanusiaan dan keadilan sejagat.
Persoalannya, wajarkah dasar ini diteruskan? Jawapannya bukan sahaja wajar, malah perlu dipertahankan.
Isu Duta Malaysia ke AS dipanggil oleh Jabatan Negara berkaitan pendirian Malaysia terhadap Israel mencetuskan perbincangan mengenai hala tuju dasar luar negara.
Namun, perkara yang perlu difahami ialah dasar Malaysia tidak mengiktiraf Israel bukanlah suatu keputusan baharu atau tindakan bermusim, tetapi merupakan pendirian diplomatik yang telah lama menjadi sebahagian daripada identiti dasar luar Malaysia.
Dalam dunia antarabangsa yang sering berasaskan kepentingan strategik dan kuasa geopolitik, Malaysia memilih untuk mempertahankan prinsip bahawa hubungan diplomatik tidak boleh dipisahkan daripada persoalan keadilan, hak asasi manusia dan kemanusiaan sejagat.
Oleh itu, dasar tidak mengiktiraf Israel perlu diteruskan kerana ia mencerminkan solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin yang terus berhadapan dengan konflik, kehilangan nyawa dan krisis kemanusiaan yang serius.
Sejak merdeka, Malaysia konsisten menolak pengiktirafan terhadap Israel selagi penyelesaian adil terhadap konflik Palestin belum dicapai. Pendirian ini bukan bersifat emosional, tetapi berasaskan prinsip hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
Menuntut respon tegas
Malaysia secara jelas menyatakan bahawa pengiktirafan hanya akan dipertimbangkan sekiranya wujud penyelesaian yang menjamin hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
Lebih penting, dasar ini perlu dilihat dalam konteks realiti semasa di Gaza dan wilayah Palestin. Pelbagai laporan antarabangsa, termasuk daripada badan hak asasi manusia dan pertubuhan antarabangsa, telah mendokumentasikan tindakan Israel yang melibatkan pembunuhan, pemindahan paksa, serta kemusnahan sistematik terhadap infrastruktur awam.
Laporan Human Rights Watch menyatakan bahawa tindakan tersebut melibatkan jenayah peranang, jenayah terhadap kemanusiaan, malah unsur-unsur genosid terhadap rakyat Palestin.
Tambahan pula, Suruhanjaya Siasatan Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati Israel melakukan beberapa elemen utama genosid seperti yang ditakrifkan dalam Konvensyen Genosid 1948.

Pencabulan mereka termasuk pembunuhan, penderaan fizikal dan mental, serta penciptaan keadaan hidup yang membawa kepada kemusnahan sesuatu kumpulan.
Selain itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) turut mengarahkan Israel mengambil langkah mencegah tindakan genosid dan memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza.
Realiti ini menuntut satu respons moral yang tegas daripada masyarakat antarabangsa. Dalam konteks ini, dasar Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel menjadi tekanan politik dan simbolik terhadap tindakan melanggar prinsip kemanusiaan sejagat.
Ia bukan sekadar penolakan diplomatik, tetapi pendirian etika yang meletakkan nilai kemanusiaan mengatasi kepentingan geopolitik.
Kebersamaan yang tekal
Lebih daripada itu, dasar ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap pembinaan peradaban manusia yang berteraskan nilai kemanusiaan.
Sejarah menunjukkan tamadun yang bertahan lama adalah tamadun yang menjunjung keadilan, menghormati hak manusia, dan menolak penindasan.
Dalam kerangka ini, sokongan terhadap Palestin bukan isu agama semata-mata, tetapi isu kemanusiaan sejagat yang merentasi sempadan etnik, budaya dan kepercayaan.
Dalam dunia moden yang sering menyaksikan relativisme moral, Malaysia memilih untuk berpegang kepada prinsip yang jelas iaitu penindasan tidak boleh dinormalisasikan.

Mengiktiraf Israel dalam keadaan konflik yang masih menyaksikan penderitaan berterusan rakyat Palestin berisiko menghantar mesej bahawa kekejaman boleh diterima selagi ia disokong oleh kuasa besar.
Walaupun terdapat hujah bahawa Malaysia mungkin terlepas peluang ekonomi dan diplomatik, persoalan yang lebih besar ialah, apakah nilai yang ingin dipertahankan oleh negara?
Keuntungan material tidak seharusnya mengatasi prinsip kemanusiaan. Dalam hal ini, Malaysia menunjukkan dasar luar tidak semestinya tunduk kepada realpolitik semata-mata, tetapi boleh berfungsi sebagai alat memperjuangkan keadilan global.
Kesimpulannya, dasar Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel wajar diteruskan kerana ia mencerminkan solidariti yang konsisten terhadap Palestin, berasaskan prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat.
Dalam dunia yang sering gagal mempertahankan nilai moral, pendirian Malaysia menjadi contoh bahawa negara masih mampu berdiri teguh mempertahankan prinsip walaupun berdepan tekanan antarabangsa.
Solidariti ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan komitmen terhadap masa depan peradaban manusia yang lebih adil dan berperikemanusiaan.
PROF MADYA ABD HAKIM MOHAD ialah pensyarah Pusat Pengajian Teras di Universiti Sains Islam Malaysia, dan penyelidik tamu University of Bonn, Jerman.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





