Rafizi Ramli mendakwa namanya sudah "dibersihkan" daripada tuduhan memfitnah oleh seteru politiknya selepas penerbitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji pada Rabu lalu.
Mengimbau kembali bagaimana dia menyuarakan kebimbangan mengenai pengurusan Tabung Haji sejak lebih sedekad lalu, pemimipin Parti Bersama itu menegaskan bahawa isu laporan RCI tersebut diangkat semula baru-baru ini susulan ucapannya semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Rafizi turut mengimbas kembali bagaimana seawal Mac 2016, dia telah mengetengahkan isu-isu yang menjejaskan Tabung Haji di Parlimen, sebelum memperincikan “34 pendedahan lain mengenai salah laku, kerugian pelaburan, dan penglibatan Tabung Haji dalam skandal 1MDB.”
"Kes Tabung Haji adalah sesuatu yang peribadi kepada saya kerana saya adalah ahli politik yang pertama yang mendedahkan kedudukan rizab Tabung Haji yang negatif bermula dari tahun kewangan 2015.
"Saya telah ditangkap, didakwa dan hampir dipenjarakan. Selama sedekad saya menjadi bahan fitnah kononnya saya menghasut orang Islam untuk memusnahkan Tabung Haji.
"Hasil dari pendedahan-pendedahan ini juga telah menjadi modal politik kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH) selama sedekad,” katanya.
Pada Februari 2017, Rafizi, yang ketika itu merupakan Naib Presiden PKR, telah dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan fitnah jenayah berkaitan Tabung Haji, berikutan penerimaan surat representasinya oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Bekas ahli parlimen Pandan itu sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan memfitnah Tabung Haji menerusi satu artikel bertajuk "Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015", yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya pada 9 Feb 2016.
Dalam kenyataannya hari ini, Rafizi memberi jaminan bahawa beliau akan membentangkan analisis lanjut dalam beberapa minggu akan datang berhubung laporan RCI tersebut, dengan pendedahan itu bertujuan menunjukkan kepada orang ramai bahawa Tabung Haji masih terdedah kepada ancaman tertentu.
"Harapan saya supaya orang ramai dapat mengetahui kedudukan sebenar Tabung Haji yang sebenarnya masih terdedah kepada risiko kelangsungan, walaupun Anwar Ibrahim mendabik dada kononnya laporan RCI hanya didedahkan kini (setelah diperam selama tiga tahun) kerana pentadbirannya telah berjaya memulihkan Tabung Haji," katanya lagi.
Rafizi menambah, walaupun bersetuju dengan “hampir kesemua” syor yang dikemukakan oleh RCI, tindakan yang lebih tegas perlu diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab membuat keputusan yang kemudiannya didapati bermasalah.
"Malaysia perlu mengkanunkan secara undang-undang satu bentuk kesalahan kepada pembuat keputusan (baik menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan) apabila berlaku penyelewengan di bawah seliaan mereka, walaupun mereka mengaku tidak mendapat laba dari penyelewengan itu," tambahnya.
Laporan RCI Tabung Haji telah dikeluarkan pada 29 Julai, hampir empat tahun selepas ia disiapkan pada 2022.
Anwar turut mengumumkan bahawa laporan tersebut akan dibahaskan dalam satu sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos nanti.
Antara lain, RCI mendapati bahawa Tabung Haji sepatutnya merekodkan kerugian sebanyak RM1.4 bilion pada tahun 2017, dan bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan.
Ia turut mendapati bahawa pengagihan hibah (dividen) telah diteruskan menerusi amalan perakaunan yang tidak wajar, dengan suruhanjaya mengesyorkan audit forensik dijalankan ke atas 14 pelaburan bermasalah di samping mengesyorkan larangan ke atas ahli politik aktif daripada menyertai lembaga pengarah Tabung Haji dan anak-anak syarikatnya.
RCI turut mengiktiraf usaha kerajaan dan pengurusan baru Tabung Haji selepas 2018 untuk menstabilkan institusi tersebut, memperkukuh tadbir urus, serta membina semula keyakinan pendeposit.
Laporan itu menyatakan pengurusan Tabung Haji telah meningkatkan penglibatan awam melalui taklimat media dan sesi libat urus pemegang taruh, manakala jumlah deposit meningkat kepada kira-kira RM76 bilion menjelang akhir tahun 2020 dan kemudiannya mencecah RM88 bilion.
Kerajaan juga telah meluluskan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula Tabung Haji pada Disember 2018 bagi merapatkan jurang antara aset dan liabiliti lembaga berkenaan.
Berucap semasa kempen PRN Negeri Sembilan, Timbalan Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa, berkata laporan itu turut membersihkan namanya daripada tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sepanjang memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Dalam satu klip video yang dimuat naik ke laman Facebooknya semalam, Mujahid mengetengahkan pengiktirafan laporan tersebut terhadap langkah-langkah pemulihan dan penstrukturan semula yang dilaksanakan oleh Tabung Haji antara tahun 2018 hingga 2020.
Katanya, walaupun ada pihak yang menuduhnya menggadaikan aset milik umat Islam kepada bukan Islam, laporan tersebut kini membuktikan bahawa dakwaan sedemikian adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.





