Keluarga anggota komando Abdul Hamid Talib, 25, hari ini memohon campur tangan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) apabila mendakwa mereka masih tidak dimaklumkan mengenai siasatan berhubung insiden yang menyebabkan anggota tentera itu mengalami kecacatan kekal.
Tindakan itu dibuat dua hari selepas pihak tentera mengumumkan bahawa tindakan telah diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab, dengan menyatakan siasatan dalaman tentera serta siasatan polis telah selesai.
Namun, peguam keluarga, Sharifah Rania Aljunied berkata, pihak peguam dan keluarga tidak dimaklumkan mengenai hasil siasatan itu walaupun sudah beberapa kali meminta perkembangan daripada pihak berkuasa.
“Mungkin memang ada siasatan dalaman, tetapi sehingga hari ini, tiada tindakan diambil. Tiada siapa yang ditukar daripada jawatan, tiada siapa dibawa ke mahkamah dan tiada siapa didakwa.
“Keluarga masih belum menerima sebarang penjelasan daripada pihak berkuasa,” kata wakil Lawyers for Liberty (LFL) kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum di luar pejabat Suhakam.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Mersing, Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kertas siasatan telah dikemukakan semula kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 27 Julai selepas penyiasat melengkapkan semua siasatan tambahan yang diminta pihak pendakwaan.

Abdul Razak berkata, kes itu kini menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.
Malaysiakini turut menghubungi pihak tentera untuk mendapatkan ulasan.
Rayuan kepada Suhakam
Susulan tiada perkembangan lanjut, satu memorandum diserahkan kepada Suhakam hari ini bagi memohon siasatan bebas, selepas siasatan oleh pihak tentera dan polis gagal memberikan sebarang maklumat kepada keluarga atau peguam mengenai kes tersebut.
Memorandum itu diterima oleh Timbalan Pengerusi Suhakam, Mariati Robert dan Penolong Setiausaha Bahagian Aduan dan Pemantauan, Faiz Abd Rahman, yang mendengar keluhan keluarga ketika penyerahan memorandum.
Mariati berkata, suruhanjaya itu terlebih dahulu akan menggunakan kuasa di bawah Akta Suhakam untuk mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa berkaitan sebelum memutuskan sama ada perlu menjalankan siasatan atau tidak.

“Peranan kami di Suhakam ialah kami mempunyai hak di bawah akta tersebut untuk menulis kepada pihak berkuasa berkaitan, seperti polis, bagi mendapatkan maklumat mengenai tahap terkini siasatan. Sudah tentu mereka bertanggungjawab untuk memberikan maklum balas kepada kami.
“Kami akan mengkaji semua isu ini dan membuat cadangan yang perlu kepada kerajaan,” katanya.
Dia menambah, sekiranya maklumat yang diperoleh tidak memuaskan, Suhakam boleh mempertimbangkan untuk menubuhkan satu siasatan, namun langkah itu memerlukan tenaga kerja serta sumber yang besar.
Keadaan Abdul Hamid masih kritikal
Sementara itu, Rania berkata cadangan membenarkan Abdul Hamid keluar daripada hospital ditangguhkan dan dia masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Perkembangan itu berlaku selepas penasihat LFL, Latheefa Koya mendedahkan pada 27 Julai bahawa PPUM memaklumkan kepada keluarga bahawa Abdul Hamid akan dibenarkan keluar hospital berikutan kekurangan katil, walaupun keadaannya masih belum menunjukkan pemulihan.
Bagaimanapun, walaupun masih menerima rawatan, keadaan anggota komando itu kekal tidak berubah. Abdul Hamid masih tidak mampu bercakap, makan atau mengenali keadaan sekeliling, serta bergantung sepenuhnya kepada tiub pemakanan dan bantuan pernafasan.
Dia turut disahkan mengalami quadriplegia, iaitu lumpuh pada keempat-empat anggota badan.

Sementara itu, Rania berkata keluarga dihubungi pihak tentera selepas sidang media tersebut apabila seorang pegawai menghantar mesej WhatsApp yang menyatakan bahawa “sebarang kos boleh ditanggung bersama”.
Dia mempersoalkan mengapa keluarga perlu menanggung kos perubatan sedangkan kejadian itu berlaku di kem tentera, selain kos rawatan Abdul Hamid sudah mencecah ribuan ringgit.
“Ini berlaku di dalam kem ATM. Keluarga adalah mangsa. Mengapa mereka diberitahu bahawa mereka perlu menanggung kos kewangan bersama-sama?

“Mereka sudah menghadapi kesukaran kewangan yang besar akibat apa yang berlaku. Pihak berkuasa sepatutnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya, termasuk menyediakan segala bantuan kewangan dan sokongan kebajikan yang diperlukan oleh keluarga,” katanya.
Abdul Hamid, anggota Gerup Gerak Khas (GGK), mengalami kecederaan parah di kepala pada 11 Mac ketika bertugas di Kem Iskandar, Mersing, menyebabkan sebahagian tengkoraknya perlu dibuang.
Pihak tentera mendakwa kecederaan itu berpunca akibat terjatuh, namun peguam keluarga mengatakan tahap kecederaan yang dialami lebih konsisten dengan dakwaan serangan atau hukuman fizikal.
Insiden itu menyebabkan anggota komando muda tersebut berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan lumpuh.





