28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 30, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Azeez nafi ada kuasa mutlak ke atas Tabung Haji

    Shopee Sale

    Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan tidak mempunyai kuasa mutlak terhadap pengurusan operasi institusi itu kerana dia hanya memegang perananan bukan eksekutif sepanjang tempoh perkhidmatannya dari 2013 hingga 2018.

    Jelasnya, dia tidak terbabit dalam operasi harian atau keputusan pelaburan Tabung Haji dengan menjelaskan semua cadangan diteliti pihak pengurusan terlebih dahulu sebelum dibentangkan kepada lembaga pengarah.

    “Saya bukan Pengerusi Eksekutif, saya hanya hanya pengerusi biasa. Pengurusan tertinggi yang bertanggungjawab memberi segala keterangan, laporan terperinci setelah melihat pengurusan risiko terlebih dahulu dan panel pelaburan. Rakyat kena tahu proses itu,"katanya,” katanya hari ini.

    Menurut ahli Parlimen Baling itu, lembaga pengarah hanya bermesyuarat sebulan sekali untuk mempertimbangkan kertas cadangan berkaitan pelaburan, tadbir urus, pembayaran bonus dan hibah (dividen), serta urusan pentadbiran lain.

    “Saya tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani cek atau bertanya kepada orang lain apa yang mereka lakukan. Tidak, tidak. Segala-galanya hanya dilaporkan kepada lembaga setiap bulan,” tambah Azeez.

    SUBTAJUK: Jamil sokong penjelasan Azeez

    Ketika ditanya mengenai hubungan kerjanya dengan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Jamil Khir Baharom, Azeez menafikan dia sendiri mendapatkan kelulusan menteri kerana urusan sedemikian dikendalikan sepenuhnya pengurusan kanan Tabung Haji.

    Jamil, yang turut muncul dalam podcast itu, mengesahkan penjelasan Azeez dengan berkata ketua pegawai eksekutif (CEO), bukannya pengerusi, mewakili Tabung Haji dalam mesyuarat pascakabinet.

    Jamil menambah aturan itu dibuat kerana urusan pentadbiran dan operasi terletak di bawah bidang kuasa CEO.

    Dia mengambil maklum persoalan kuasa enteri yang turut disentuh dalam laporan RCI.

    Kata Jamil, menteri tidak mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan berkaitan urusan pelaburan, pembelian atau penjualan aset TH tanpa melalui proses dan syor Lembaga TH.

    “Kuasa Menteri adalah berdasarkan syor daripada Lembaga. Menteri tidak boleh meluluskan sebarang permohonan atau permintaan… tidak boleh menjual harta, membeli atau menyewa melainkan mendapat syor daripada Lembaga Tabung Haji.

    “Lembaga pula tidak boleh membuat cadangan tertentu melainkan perkara itu telah dilihat oleh kumpulan pengurusan risiko dan pasukan pelaburan,” katanya lagi.

    Sementara itu, Azeez turut mendakwa setiap kali soalan berkaitan Tabung Haji dibangkitkan di Parlimen, dia diminta meninggalkan Dewan Rakyat buat sementara waktu bagi mengelakkan sebarang persepsi konflik kepentingan.

    SUBTAJUK: Perakaunan ‘kreatif’ dikesan

    Semalam, kerajaan mendedahkan laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji, yang mendapati kegagalan serius dalam tadbir urus, campur tangan politik dan amalan perakaunan yang meragukan menyumbang kepada masalah kewangan institusi itu antara 2014 hingga 2020.

    MENARIK:  LANGSUNG l Titah adendum: Mahkamah Rayuan putuskan ada atau tidak

    Laporan itu menyoroti penggunaan kaedah yang digambarkan sebagai “perakaunan kreatif” oleh pengurusan Tabung Haji, apabila nilai aset boleh direalisasi berdasarkan anggaran subjektif digunakan dan bukannya angka yang diaudit bagi meningkatkan kedudukan kewangan institusi itu secara tidak sebenar.

    Suruhanjaya itu mendapati keputusan menggunakan kaedah perakaunan kreatif berkenaan diluluskan lembaga pengarah Tabung Haji, yang ketika itu dipengerusikan Azeez.

    Amalan itu dilaporkan digunakan untuk mewajarkan pembayaran hibah dan bonus lebih tinggi yang sebenarnya tidak mampu ditanggung institusi berkenaan.

    Laporan itu turut mengkritik pembabitan ahli politik aktif dalam lembaga pengarah serta menyoroti beberapa keputusan utama, seperti pembayaran hibah dan kadar bayaran haji, yang didorong pertimbangan politik.

    Pada masa sama, RCI turut menyatakan beberapa laporan polis dan SPRM berkaitan masih belum diselesaikan ketika siasatan suruhanjaya itu dijalankan.

    Walaupun laporan itu tidak memperincikan kes berkenaan, satu daripada laporan polis tersebut dibuat terhadap Azeez dan beberapa individu lain berhubung dakwaan penyalahgunaan RM22 juta untuk kegiatan politik. Dana itu diperuntukkan kepada Yayasan Tabung Haji.

    SUBTAJUK: ‘SPRM sudah bersihkan nama saya’

    Bagaimanapun, Azeez berulang kali menafikan dakwaan dia menyeleweng dana berkenaan dengan berhujah sistem tadbir urus Tabung Haji terlalu ketat untuk membolehkan salah laku sedemikian berlaku.

    Secara berasingan, ketika ditemui dalam kempen pilihan raya di Negeri Sembilan hari ini, Azeez berkata dia bersedia disiasat sekali lagi sambil menegaskan SPRM sudah membersihkannya daripada sebarang salah laku.

    Menurut Azeez, pada tahun 2021, ketua pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu Azam Baki mengeluarkan surat rasmi menyatakan bahawa tidak ada salah guna kuasa atau penyelewengan yang berlaku.

    Bekas ahli parlimen Baling itu turut memaklumkan dia telah dipanggil pihak polis sebanyak 11 kali bagi membantu siasatan forensik sebelum ini.

    Azeez menyoal masa RCI tersebut didedahkan kepada umum sewaktu PRN Negeri Sembilan.

    "Dua minggu lepas saya tanya pihak polis, mereka kata fail ini sudah dikemas untuk disimpan dan hanya menunggu arahan No Further Action (NFA).

    "Jadi kalau nak siasat balik, silakan. Saya orang pertama akan bagi kerjasama yang padu dan jitu, kalau saya curi, saya tanggung.

    "Tapi jangan ulang ayat sakau demi kepentingan politik," katanya seperti dipetik Sinar Harian..

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah