29.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 30, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | PN menghormati setiap dapatan RCI

    Shopee Sale

    ULASAN | Amat terkilan melihat apa yang berlaku di Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), namun tidak mengejutkan.

    Saban tahun kita disajikan dengan laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan pelbagai kelemahan, ketirisan, dan kerugian melibatkan dana awam, sama ada di peringkat kerajaan mahupun GLC/GLIC.

    Apa yang kita saksikan ialah pengulangan kelemahan tadbir urus, pengabaian etika dan amanah, serta kegagalan mematuhi prinsip akauntabiliti, walaupun telah ditegur dan diperingatkan berulang kali.

    Terbaru, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji mendedahkan wujudnya elemen campur tangan politik dan kelemahan tadbir urus yang ketara.

    Antara lain, RCI menyarankan supaya audit forensik dijalankan terhadap 14 pelaburan bermasalah, serta mempersoalkan amalan ‘perakaunan kreatif’ bagi pembayaran hibah yang tinggi antara 2014 dan 2017.

    Laporan itu menjelaskan amalan tersebut menyumbang kepada jurang aset – liabiliti Tabung Haji yang semakin melebar, di samping mengkritik kelemahan aspek pengawasan, kawal selia dan audit dalaman.

    Selain itu, empat laporan polis dibuat dan enam kes dirujuk kepada SPRM berhubung dakwaan salah laku, penyembunyian maklumat, rasuah, penyalahgunaan kuasa, pemalsuan serta manipulasi laporan pelaburan.

    Namun, sehingga kini, tiada satu pun berakhir dengan pendakwaan di mahkamah.

    Sepucuk surat dari gebenor

    Untuk rekod, laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai telah dikemukakan dan ditandatangani oleh Md Raus Sharif selaku pengerusi kepada pihak kerajaan pada 19 Julai 2022, lebih empat tahun dahulu.

    Justeru rakyat berhak mengetahui apakah langkah susulan yang telah diambil oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sepanjang pentadbiran Kerajaan Madani, termasuk tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati bersalah.

    Semua pihak perlu kembali menginsafi tujuan asal penubuhan Tabung Haji sebagai institusi simpanan umat Islam untuk menunaikan haji, seterusnya mengambil segala langkah bagi memperbetulkan keadaan.

    Desakan supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat Tabung Haji timbul selepas BN kehilangan kuasa pada 2018, khususnya berhubung pelbagai dakwaan salah laku dan jurang aset – liabiliti yang mencecah RM11 bilion.

    Ketika itu, pelbagai tanda amaran pernah dibangkitkan mengenai pematuhan Tabung Haji terhadap Akta Tabung Haji 1995, khususnya dalam pengisytiharan hibah atau dividen yang tinggi.

    Pada penghujung 2015, sepucuk surat daripada Gabenor Bank Negara kepada Tabung Haji tersebar kepada umum, menyatakan bahawa Tabung Haji hanya mempunyai 98 sen aset bagi setiap RM1 liabiliti, sekali gus mendedahkan kedudukan kewangan institusi tersebut yang semakin meruncing.

    MENARIK:  Lebih 200 terbunuh dalam serangan bermotif etnik di Darfur

    Seksyen 22 Akta Tabung Haji memperuntukkan bahawa hibah tidak boleh diisytiharkan sekiranya nilai aset lebih rendah daripada jumlah liabiliti.

    Hari ini, Tabung Haji mengurus simpanan melebihi RM95 bilion daripada hampir 10 juta pendeposit, meningkat daripada RM70 bilion pada 2019.

    Cabarannya amat besar. Tabung Haji perlu menjana pulangan yang mampan, mengagihkan hibah, membantu bakal jemaah haji yang layak, dan pada masa yang sama membina semula rizab kewangannya.

    Cabaran sebenar Tabung Haji

    Melangkah ke hadapan, Tabung Haji perlu terus memperkukuh mekanisme semak dan imbang serta mematuhi piawaian perakaunan secara profesional, bebas daripada campur tangan politik.

    Selanjutnya, Tabung Haji perlu mengenal pasti formula baru berkaitan kadar deposit, bayaran haji dan Bantuan Kewangan Haji (Hafiz) bagi menampung peningkatan kos ibadah haji tanpa menjejaskan kemampuan bakal jemaah.

    Pihak pengurusan Tabung Haji juga perlu terus memperkukuh rizab penyamaan keuntungan (PER) sebagai penampan jangka panjang bagi memastikan agihan hibah kekal mampan, disokong pengurusan rizab yang berhemat.

    Pada masa yang sama, pelantikan ahli lembaga pengarah hendaklah berasaskan merit, kompetensi dan integriti, selaras dengan kriteria kelayakan dan kesesuaian (fit and proper) yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia.

    Walaupun amalan tadbir urus korporat dan piawaian perakaunan yang baik bukanlah sesuatu yang baru di Tabung Haji, cabaran sebenar ialah memastikan semua prinsip tersebut dilaksanakan secara konsisten dan ‘dibudayakan’.

    Berbalik kepada laporan RCI, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melaksanakan segala syor yang telah dikemukakan, termasuk membawa mana-mana pihak yang terlibat dengan salah laku ke muka pengadilan.

    Adapun komitmen PN amat jelas: menghormati setiap dapatan RCI dan bersedia mempertimbangkan setiap syor yang dikemukakan, demi memastikan Tabung Haji terus diurus secara profesional, teratur dan berintegriti.

    Saya dan rakan-rakan ahli parlimen PN menantikan parlimen dibuka untuk membahaskan laporan yang amat berharga ini.

    Aku janji saya sebagai pendeposit Tabung Haji, apabila PN diberi mandat mentadbir Putrajaya, saya akan memastikan komitmen ini sentiasa diperingatkan dan dilaksanakan, insya-Allah.


    SYAHIR SULAIMAN ialah Ahli Parlimen Bachok merangkap Setiausaha Politik Abdul Hadi Awang.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah