Dua firma penyelidikan mengemukakan ramalan yang jauh berbeza mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok.
Firma penyelidikan Ilham Centre meramalkan gabungan BN-PN akan memperoleh kemenangan selesa susulan gelombang penyatuan pengundi Melayu-Islam.
Sebaliknya, Institut Darul Ehsan Research Centre (IDERC) berpendapat saingan masih terbuka kerana masih terdapat sejumlah besar pengundi atas pagar yang mampu mengubah keputusan pilihan raya.
Tinjauan Ilham Centre melibatkan 1,002 responden, 28 peserta kumpulan fokus dan 38 sesi temu bual mendalam yang dijalankan antara 18 hingga 30 Julai
Dalam kenyataannya hari ini, Ilham Centre mengunjurkan BN dan PN akan menguasai 22 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Firma itu turut meramalkan PH hanya mampu memenangi sekurang-kurangnya sembilan kerusi, jauh lebih rendah berbanding 17 kerusi yang dimenanginya sebelum ini.
Ilham Centre turut menamakan lima kerusi iaitu Chennah, Linggi, Nilai, Repah dan Temiang sebagai sukar diramal, sambil menyatakan jika BN memenangi sebahagian besar kerusi itu, gabungan BN-PN berpotensi memperoleh majoriti dua pertiga di DUN.
Bagaimanapun, tinjauan IDERC yang dijalankan antara 16 hingga 19 Julai melibatkan 1,225 pengundi di semua 36 kerusi DUN dengan margin ralat 2.8 peratus memberikan gambaran berbeza.
Menurut IDERC, ketika ini tiada mana-mana gabungan mempunyai laluan yang selesa untuk menguasai DUN.
Firma itu menganggarkan antara 12 hingga 18 peratus pengundi masih belum membuat keputusan dan mengenal pasti lapan kerusi marginal yang tidak didedahkan namanya, di mana perubahan beberapa ratus undi atau kadar keluar mengundi boleh menentukan pembentukan kerajaan negeri.
"Lapan kerusi marginal akan menjadi medan sebenar penentuan kuasa. Parti yang paling berkesan mengurus jentera, meyakinkan pengundi atas pagar dan menawarkan penyelesaian terhadap kos sara hidup serta masalah setempat mempunyai peluang terbaik untuk membentuk kerajaan selepas semua undi dikira," kata IDERC.
Kaji selidik itu turut mendapati 66.7 peratus responden Melayu menyatakan mereka pasti akan mengundi, berbanding 56.1 peratus responden Cina dan 56.6 peratus responden India.

Menurut IDERC, jurang kadar keluar mengundi mengikut kaum itu boleh memberi kesan besar kepada keputusan di kerusi campuran dan separa bandar.
Selain itu, hanya 51.8 peratus pengundi berusia 18 hingga 30 tahun menyatakan mereka pasti akan mengundi, berbanding 67.4 peratus bagi kumpulan umur 31 hingga 60 tahun dan 63.4 peratus bagi mereka yang berusia 61 tahun ke atas.
Ilham Centre pula menyatakan pengundi India, yang terdiri daripada kira-kira 15 peratus daripada pengundi Negeri Sembilan dan tertumpu di kerusi seperti Jeram Padang, Seremban Jaya, Sri Tanjung dan Rantau, semakin kecewa dengan PH.
Menurut firma itu, rungutan utama pengundi India berkisar kepada tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan membawa muatan berlebihan serta cara kerajaan negeri mengendalikan isu pemindahan kuil.
Pada masa sama, Ilham Centre berkata sokongan pengundi Cina terhadap PH tidak lagi berlaku secara automatik. Sebaliknya, ramai masih menyokong gabungan itu kerana tiada alternatif yang diyakini, di samping rasa tidak puas hati terhadap dasar cukai, penyasaran subsidi dan pelaksanaan e-invois.
Politik identiti terus mendominasi
Kedua-dua laporan bersetuju bahawa kempen PRN kali ini lebih tertumpu kepada isu identiti berbanding rekod pentadbiran.
Ilham Centre mendapati naratif penyatuan politik Melayu-Islam bagi mempertahankan kuasa politik Melayu dan kedudukan agama kini turut didukung penyokong akar umbi BN dan PN.
Menurut firma itu, keadaan ini berbeza berbanding PRN 2023 dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), apabila naratif sedemikian lebih banyak dibawa oleh PN.

Kempen PH yang menonjolkan rekod pentadbiran Menteri Besar Aminuddin Harun pula didapati sukar menandingi tarikan politik identiti.
Bagaimanapun, IDERC berkata kempen Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada penghujung tempoh berkempen berjaya menarik semula perhatian pengundi terhadap rekod pentadbiran, kestabilan politik serta memberi amaran terhadap pihak yang mengeksploitasi institusi diraja dan Perlembagaan Persekutuan.
Namun, IDERC mengingatkan perkara itu tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan, sebaliknya bergantung kepada keupayaan jentera parti mengubah minat tersebut kepada undi.
Populariti Aminuddin tidak diterjemah kepada sokongan
Mengenai Aminuddin, IDERC mendapati Ahli Parlimen Port Dickson itu yang membuat keputusan "berisiko" bertanding di kubu kuat Umno di Linggi masih mempunyai imej peribadi yang baik.
Lebih 40 peratus responden memberikan penilaian positif terhadap Aminudin dari segi sifat mesra rakyat, rekod pentadbiran yang baik serta bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.
Ilham Centre pula merekodkan kadar penerimaan terhadap Aminuddin sekitar 75 peratus, didorong imejnya yang sederhana, mesra rakyat dan kurang terpalit kontroversi.
Namun, firma itu berpendapat PH gagal memanfaatkan populariti peribadi Aminuddin untuk meraih kelebihan dalam pilihan raya.
Menurut Ilham Centre, keputusan Aminuddin bertanding di Linggi berbanding mempertahankan kerusi Sikamat menyebabkan dia terpaksa memberi tumpuan kepada persaingan di kawasannya sendiri, sekali gus mengehadkan masa untuk membantu kempen PH di seluruh negeri, terutama di kerusi marginal.
IDERC turut berpandangan imej kepimpinan Aminuddin boleh menjadi faktor pembeza dalam persaingan sengit jika kempen berjaya mengaitkan imej mesra rakyatnya dengan penyelesaian masalah tempatan.
Isu RCI Tabung Haji dan kenyataan Sanusi
Sebanyak 33.8 peratus responden IDERC berkata mereka hanya membuat keputusan menyokong sesuatu parti selepas hari penamaan calon atau lebih lewat.
Daripada jumlah itu, 12.3 peratus membuat keputusan selepas penamaan calon, 6.7 peratus pada minggu terakhir kempen dan 14.8 peratus hanya akan membuat keputusan pada hari mengundi.

Menurut IDERC, kumpulan ini amat dipengaruhi oleh kredibiliti calon, isu kos sara hidup serta kontroversi yang timbul pada saat akhir.
Kedua-dua firma turut mengenal pasti isu utama sepanjang kempen ialah pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji, retorik anti-DAP serta kenyataan kontroversi pengarah pilihan raya PN, Sanusi Nor.
Data kumpulan fokus IDERC menunjukkan isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja), retorik perpaduan, maklumat palsu dan penyelewengan fakta masih menjadi topik utama perbualan politik di negeri itu.
Ilham Centre pula berpandangan PH cuba menggunakan laporan RCI Tabung Haji dan kenyataan Sanusi sebagai senjata politik pada fasa kedua kempen selepas strategi awal yang menonjolkan rekod Aminuddin gagal mendapat sambutan.
“Kenyataan Menteri Besar Kedah itu didapati memberi sedikit kesan terhadap sentimen pengundi bukan Melayu, namun impaknya tidak cukup besar untuk meneutralkan gelombang politik identiti Melayu-Islam yang digerakkan secara tersusun oleh gabungan BN-PN.
“Dalam masa yang sama, isu RCI Tabung Haji yang diharapkan menjadi antara senjata utama PH untuk memecahkan kebuntuan kempen akhirnya gagal menghasilkan limpahan sokongan yang diharapkan.
“Kegagalan tersebut bukan kerana isu itu tidak mempunyai nilai politik, sebaliknya strategi komunikasi yang dibina tidak bertepatan dengan psikologi serta keutamaan pengundi Melayu pada ketika itu," kata firma itu.
Terdahulu minggu ini, bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming meramalkan BN akan memenangi antara 23 hingga 25 kerusi DUN, manakala PH dijangka memperoleh 11 hingga 13 kerusi, dengan PKR dijangka memenangi satu kerusi dan selebihnya dimenangi DAP.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini, dia berkata kekalahan PH pada PRN Negeri Sembilan berpotensi menjadi tamparan paling besar kepada kerajaan Madani.





