29.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 30, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Sakau’ atau tak? Ini 5 inti pati RCI Tabung Haji, nilai sendiri

    Shopee Sale

    Di media sosial, perkataan 'sakau' yang tidak tertulis dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) dari tahun 2014 hingga 2020, menjadi 'perdebatan'.

    Walaupun laporan tersebut mendedahkan kepincangan tadbir urus yang meluas khususnya dalam urusan melibatkan risiko kewangan yang kritikal, campur tangan politik, dan urus niaga tidak wajar - namun, sesetengah orang mengambil kesempatan untuk melontarkan sindiran dengan mengetengahkan perkataan 'sakau' yang dipopularkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

    Laporan RCI itu mengandungi penemuan siasatan dan syor penambahbaikan pengurusan dan operasi TH untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Malaysiakini menyorot lima inti pati utama yang perlu diberi perhatian daripada pendedahan RCI berkenaan seperti berikut:

    (1) Bonus terlalu tinggi

    Dalam laporan ini, suruhanjaya membuat penemuan mengenai pembayaran bonus yang tinggi kepada kakitangan TH dan pembayaran bonus kepada Lembaga Pengarah TH Properties yang tidak mengikut peraturan.

    Bonus berjumlah RM2.19 juta yang dibayar kepada beberapa pengarah dan pegawai terpilih TH Properties Sdn Bhd (anak syarikat) diluluskan tanpa mematuhi prosedur undang-undang yang ditetapkan.

    Dalam laporan setebal 252 muka surat yang dikeluarkan malam tadi, pembayaran bonus oleh TH Properties pada 2017 dan 2018 melanggar peruntukan bawah Akta Syarikat 2016 kerana tidak memperoleh kelulusan serta resolusi pemegang saham yang diperlukan.

    RCI itu juga mendapati pemberian bonus tidak berasas dan terlalui tinggi dibayar dari 2014 hingga 2017. Keterangan daripada Kementerian Kewangan (MOF) turut menunjukkan pembayaran bonus yang berlebihan dalam tempoh tersebut memerlukan kelulusan menteri kewangan.

    Menurut laporan itu, TH membayar bonus berjumlah RM367.7 juta sepanjang tempoh 2010 hingga 2017 yang disifatkan suruhanjaya sebagai 'amat tinggi'. Bagaimanapun, laporan itu menyatakan bonus berjumlah RM220.7 juta yang dibayar antara 2014 hingga 2017 bukan sahaja amat tinggi, malah tidak mempunyai justifikasi.

    Bonus tersebut dibayar kepada kakitangan eksekutif dan bukan eksekutif. Namun RCI itu tidak memperincikan jumlah bonus yang diterima golongan eksekutif, termasuk Abdul Azeez, yang merupakan pengerusi TH dari 2013 hingga 2018.

    Di era Najib, MOF luluskan bonus RM220j Tabung Haji ketika krisis

    RCI syor Tabung Haji tuntut semula bonus pada pengarah, pegawai RM2.19 juta

    (2) Campur tangan politik, pemimpin Umno dalam lembaga pengarah

    Azeez Rahim

    Peruntukan yang begitu luas memperlihatkan pelantikan seorang pengerusi LTH dan beberapa anggota lembaga yang dilantik dalam kalangan ahli politik bagi tempoh 2014 hingga 2018. 

    Penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat akibat daripada pertembungan politik. Keadaan ini menyebabkan ada pihak-pihak mengambil kesempatan dengan menjadikan keputusan yang dibuat LTH sebagai bahan kritikan sehingga menjejaskan kredibiliti LTH.

    Terdapat beberapa keputusan TH seperti bayaran agihan keuntungan (hibah), penentuan bayaran haji, dan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) didorong oleh unsur-unsur politik.

    Di samping itu, Akta 535 memberi menteri kuasa untuk membatalkan pelantikan perkhidmatan mana-mana anggota lembaga pada bila-bila masa tanpa memberikan apa-apa sebab.

    Menteri menggunakan kuasa ini dalam penamatan perkhidmatan Nik Mohd Hasyudeen Yusoff sebagai ketua pegawai eksekutif pada 5 Mei 2021, sebelum tamat tempoh sebenar pada 31 Ogos 2021; dan penamatan perkhidmatan Md Nor bin Md Yusof sebagai pengerusi lembaga pada 15 Oktober 2021, sebelum tarikh tamat tempoh kontrak yang baru disambung dua tahun mulai 20 Julai 2020.

    Peruntukan yang memberi kuasa membatalkan perkhidmatan mana-mana anggota lembaga dengan serta-merta tanpa sebab tidak lagi sesuai dalam keadaan sekarang.

    RCI juga mendapati bahawa dalam tempoh siasatan, beberapa orang anggota lembaga adalah dalam kalangan ahli politik antaranya Abdul Azeez Rahim yang juga anggota parlimen Baling merangkap anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno.

    Dia dilantik sebagai anggota lembaga pengarah pada tahun 2011 dan seterusnya dilantik sebagai pengerusi pada tahun 2013 hingga tahun 2018.

    Selain itu Badruddin Amiruldin yang juga anggota parlimen Jerai dan pengerusi tetap Perhimpunan Agung Umno dilantik sebagai anggota lembaga pengarah pada tahun 2005 hingga tahun 2018.

    Seorang lagi individu iaitu Rosni Sohar yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Bernam dan MT Umno merangkap setiausaha wanita Umno dilantik sebagai anggota lembaga pengarah pada tahun 2014 hingga tahun 2018.

    Justeru, suruhanjaya mendapati, penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat di negara ini.

    (3) Akta tak lagi sesuai

    Pada 1 Jun 1995, Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) dimansuhkan dan diganti dengan TH melalui Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535). Akta 535 memperuntukkan secara komprehensif mengenai fungsi, kawal selia, pengurusan dan operasi TH.

    Beberapa peruntukan dalam Akta 535 tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa kerana memberi kuasa yang luas kepada menteri. Kuasa tersebut merangkumi operasi haji, dana dan pelaburan.

    MENARIK:  Mahasiswa rugi RM147,000 terpedaya sindiket 'phone scam'

    Menteri yang bertanggungjawab merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang didapati kepakaran ketiga-tiga menteri yang menyelia TH dalam tempoh siasatan hanya terhad dalam bidang hal ehwal agama.

    Keterbatasan ini menjadikan menteri bergantung sepenuhnya kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh pihak pengurusan dan lembaga dalam melaksanakan tanggungjawab dari aspek pengurusan dana dan pelaburan.

    Justeru, didapati tiada input tambahan yang lain diperoleh oleh menteri sebelum membuat keputusan mengenai pengurusan dana dan pelaburan. Situasi ini mungkin berbeza jika perkara berkaitan dengan pengurusan dana dan pelaburan TH dipertanggungjawabkan kepada menteri kewangan.

    Dengan itu, suruhanjaya berpendapat kuasa menteri dalam mengawal selia TH wajar dikongsi bersama dua orang menteri iaitu menteri Hal Ehwal Agama dan menteri kewangan.

    Akta 535 memberi kuasa kepada menteri dalam melantik pengerusi dan anggota Lembaga di mana Seksyen 6(2) Akta 535 hanya memperuntukkan pengerusi atau anggota lembaga hendaklah seorang muslim dan warganegara Malaysia. Didapati tiada penjelasan tentang kriteria khusus yang perlu ada pada seseorang sebelum dilantik sebagai pengerusi atau anggota lembaga.

    (4) Krisis kewangan kritikal

    Dapatan laporan RCI TH juga mendedahkan betapa institusi kewangan Islam itu berdepan krisis kewangan kritikal pada tahun 2017 dengan jurang defisit antara aset dan liabiliti sejak 2014. 

    Sekiranya piawaian Malaysian Financial Report Standard (MFRS) diguna pakai sepenuhnya bagi tahun kewangan 2017, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih sebanyak RM1.4 bilion, namun sebaliknya direkodkan keuntungan RM3.4 bilion dalam Laporan Kewangan 2017.

    Ini menunjukkan bahawa kedudukan kewangan TH berada dalam keadaan kritikal pada tahun kewangan 2017.

    Krisis kewangan menjadi ketara apabila ketua audit negara (KAN) menegur TH berkaitan beberapa perubahan polisi rosot nilai aset kewangan TH yang tidak konsisten pada tahun kewangan 2017 apabila polisi rosot nilai diubah sebanyak dua kali. Teguran atau “emphasis of matter” daripada KAN bertarikh 16 Julai 2018 adalah seperti berikut:

    • Kaedah penetapan polisi rosot nilai aset kewangan TH tidak konsisten. Terdapat perubahan polisi rosot nilai pada setiap tahun khususnya dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 yang mana pada masa itu ia diubah sebanyak dua kali.

    • Dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, TH tidak merekodkan rosot nilai berjumlah RM227.81 juta terhadap pelaburan dalam tiga syarikat subsidiari dan tiga syarikat bersekutu khususnya pelaburan dalam TH Heavy Engineering Berhad berjumlah RM164.58 juta.

    Lanjutan daripada teguran KAN, pengurusan TH melantik firma PwC untuk melaksanakan 

    semakan kewangan terhadap kedudukan kewangan TH dari tahun 2014 hingga 2017. Hasil semakan kewangan oleh PwC menunjukkan terdapat jurang defisit antara aset dan liabiliti sejak tahun 2014. Ringkasan laporan tersebut adalah seperti berikut:

    • TH tidak melaksanakan rosot nilai terhadap pelaburan dalam syarikat-syarikat bersekutu.

    • TH tidak melaksanakan rosot nilai bagi pelaburan dan pembiayaan kepada anak syarikat.

    • TH tidak melaksanakan rosot nilai dalam instrumen pendapatan tetap.

    • TH tidak memenuhi piawaian FRS 140 berkaitan kejatuhan nilai saksama/kerugian nilai saksama bagi pelaburan hartanah.

    • TH bagi tahun kewangan 2017 telah mengagihkan keuntungan (hibah) tanpa mengambil kira impak daripada rosot nilai dan kejatuhan nilai saksama pelaburan.

    • TH merekodkan pendapatan dividen daripada anak syarikat walaupun dividen tersebut tidak dibayar kepada TH.

    Suruhanjaya mendapati antara faktor-faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan adalah kerana pembayaran hibah yang tinggi sejak tahun 2014 hingga 2017–melampaui kemampuan kewangan, perakaunan kreatif, ketidaktegasan ketua audit negara (KAN), visi TH sebagai tonggak ekonomi ummah dan tanggungan Hafis.

    (5) Teguran demi teguran Bank Negara

    Bank Negara membuat beberapa teguran dibuat kepada TH melalui surat kepada Abdul Azeez  bertarikh 21 Ogos 2014, 19 Disember 2014 dan 23 Disember 2015.

    Seterusnya, Bank Negara menulis surat kepada menteri pada 23 Disember 2015 yang menyentuh mengenai isu-isu pengambilan deposit dan pengurusan kecairan, pendeposit besar dan juga mengenai rizab TH.

    Amaran Bank Negara menunjukkan betapa kebimbangan sudah ditonjolkan untuk perhatian pihak pentadbir dan pengurusan TH, namun laporan RCI tidak memperincikan reaksi balas susulan teguran-teguran tersebut.

    Prestasi kewangan TH diberi perhatian oleh Bank Negara yang memantau institusi kewangan bukan bank (IKBB) itu walaupun ia bukan bawah kawalannya secara langsung kerana ia mempunyai kesalinghubungan tinggi dengan sistem kewangan negara.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah