
Penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima sekali lagi menerima teguran berikutan kandungan drama terbitannya yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
‘Mencari Agama Dalam Kelucahan’

Teguran tersebut dibuat oleh Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, seorang agamawan dan ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Sanusi menegaskan bahawa sebuah drama berunsur Islamik tidak sepatutnya mengandungi elemen kelucahan dimana ianya bercanggah dengan prinsip Islam.
Drama islamik disulami kelucahan. Heboh baru-baru ini mengenai drama berunsur Islamik yang disulami dengan elemen kelucahan. Ketika ditanya mengenai isu ini, pengarahnya memberikan jawapan bahawa filem itu ingin sekadar membawa mesej agama.
Pada hakikatnya, dalam membawa mesej Islam, unsur kelucahan sama sekali tidak diperlukan malah ia jelas bercanggah dengan prinsip Islam itu sendiri. Mesej Islam akan tetap sampai tanpa elemen kelucahan. Begitu juga matlamat yang baik tidak menghalalkan cara.
Konsep ‘bad marketing’?

Ujar Sanusi lagi, jika babak berunsur kelucahan dalam drama tersebut sengaja dimasukkan semata-mata untuk mencetuskan kontroversi dan menarik perhatian penonton, maka ianya adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.
Mungkin juga babak ini merupakan elemen kontroversi terancang bagi bertujuan menarik penonton melalui konsep “bad marketing.” Andai plot ini merupakan instrumen pemasarannya, maka ia lebih teruk di sisi Islam.
Malah Rasulullah turut mengecam pengusaha yang menggunakan elemen lagha (sia-sia) dalam produk mereka apatah lagi mereka yang menggunakan unsur-unsur kelucahan yang menjengkelkan.
Dalam pada itu, Sanusi turut mempersoalkan soal keberkatan rezeki jika ia diperoleh melalui kandungan yang bertentangan dengan nilai Islam.
Namun sekiranya elemen ini dimuatkan secara sengaja, adakah kita ingin mencari sumber pendapatan melalui jalan yang dicegah oleh Allah?
Adakah makanan yang bakal menjadi darah daging kita ini, kita kaut hasilnya melalui elemen yang jelas dibenci oleh Rasulullah. Sumber yang haram akan pasti mengganggu ibadah dan doa kita.
Di akhir hantaran, Sanusi berharap agar semua pihak lebih berhati-hati dalam menghasilkan kandungan hiburan agar selari dengan nilai Islam yang sebenar.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian netizen yang rata-rata bersetuju bahawa drama berunsur Islamik perlu menjaga sensitiviti serta menjauhi elemen tidak bermoral.





