Dua remaja lelaki direman tujuh hari manakala dua warga emas termasuk seorang wanita pula direman tiga hari bagi membantu siasatan kes bunuh seorang penuntut kolej perempuan yang ditemui di Kampung Simah, Ketereh semalam.
Perintah reman terhadap dua lelaki berusia 19 tahun, warga emas lelaki 66 tahun dan wanita 60 tahun dikeluarkan majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid di Mahkamah Majistret Kota Bharu.
Tahanan reman mereka bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, semua suspek tiba di mahkamah pada jam 8.40 pagi dengan memakai pakaian lokap, bergari dan diiringi anggota polis.
Semalam, Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat mengesahkan penemuan mayat seorang penuntut kolej perempuan berusia 19 tahun di jalan berhampiran sawah di kampung itu.
Mangsa dikesan mengalami 61 tikaman pada badannya.
Kata Mohd Yusoff, siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Perak dan dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayat dibuang di kawasan tersebut.
Hasil bezah siasat mengesahkan punca kematian mangsa akibat kecederaan tikaman berganda pada bahagian dada.





