Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan merupakan individu yang memainkan perananan penting dalam meredakan kemelut pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan ketika ini.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Mohamad – atau lebih dikenali sebagai Tok Mat – sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian secara rundingan bersama kepimpinan parti bagi meredakan situasi berkenaan.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata tuduhan mengaitkan Ahli Parlimen Rembau itu sebagai dalang bagi krisis yang berlaku di Negeri Sembilan sekarang adalah tidak adil.
“Tok Mat yang cuba mencari jalan untuk menyelesaikannya.
“Tidak adil jika ada tuduhan sedemikian terhadap beliau. Beliau sering berbincang dan mengadakan perundingan dengan saya untuk mencari penyelesaian kepada perkara itu.
“Saya juga memaklumkan kepada beliau bahawa ‘benang telah kusut’ dan kita mengetahui punca kekusutan itu.
“Jadi, kita harus menarik benang itu untuk menjadi lurus semula dengan perlahan-lahan dan dengan kaedah yang halus,” katanya dalam temu bual sempena Ulang Tahun ke-80 Umno di Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menjawab dakwaan beberapa pihak menyatakan bahawa Mohamad merupakan dalang tercetusnya kemelut politik di Negeri Sembilan.
Mengenai pendirian Umno dalam isu pentadbiran di Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berkata keputusan badan perhubungan Umno negeri bersama 14 Adun ialah untuk terus kekal bersama kerajaan perpaduan.
“Tidak timbul soal mahu menarik diri untuk menjadi pembangkang. Itu tidak pernah menjadi isu.
“Mungkin terdapat interpretasi atau persepsi bahawa mereka tidak bersetuju dari segi pelantikan menteri besar, tetapi soal itu perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata penentuan jawatan menteri besar bukan diputuskan oleh Umno secara bersendirian sebaliknya bergantung kepada konsensus parti gabungan dalam kerajaan, khususnya PH.
Sebelum ini, 14 Adun BN menarik sokongan mereka terhadap kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar Aminuddin Harun.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid pada Khamis memaklumkan kesemua Adun berkenaan bersetuju untuk terus menyokong kerajaan negeri demi menjamin kestabilan.
Pada Selasa, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Aminuddin akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai menteri besar selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.





