29.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 3, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    PRU serentak PRN bergantung situasi semasa, perkenan raja-raja

    Shopee Sale

    Sebarang cadangan untuk mengadakan PRU ke-16 serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor bergantung sepenuhnya kepada situasi politik semasa serta perkenan raja-raja dan yang di-pertua negeri.

    Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun tempoh pentadbiran Melaka dan Johor bakal berakhir tidak lama lagi, keputusan akhir tertakluk kepada kuasa ketua negeri berdasarkan nasihat menteri besar dan ketua menteri.

    “Bagi saya perkara ini tertakluk kepada persetujuan raja-raja dan TYT (Tuan Yang Terutama) atas nasihat menteri besar atau ketua menteri yang mempunyai kuasa untuk pembubaran.

    “Tentunya (selain itu) ia juga melihat tentang dana (kewangan) yang boleh digunakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan PRN.

    “Kosnya terlalu tinggi dan kalau diadakan serentak pun kos yang sama dibelanjakan, selain soal timing dan kesesuaian waktu,” katanya dalam temu bual sempena ulang tahun ke-80 Umno, di Kuala Lumpur hari ini.

    Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya sama ada PRU ke-16 wajar diadakan serentak dengan PRN Melaka dan Johor ketika negara berdepan krisis bekalan global serta langkah penjimatan kerajaan.

    MENARIK:  PRK Ayer Kuning: Enam calon disenarai untuk pertimbangan - Saarani

    Presiden Umno berkata jentera parti itu dan BN sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya pada bila-bila masa.

    Bagaimanapun, dia mengingatkan agar ahli parti tidak terlalu selesa kerana sokongan daripada ahli Umno dan parti komponen sahaja tidak menjamin kemenangan mutlak.

    “Jadi kita mesti mendakap dan merangkul dukungan daripada mereka yang non-partisan atau yang belum menjadi ahli mana-mana parti atau tidak berminat, tetapi yakin dengan agenda yang kita ketengahkan untuk kepentingan semua kaum di negeri-negeri berkenaan ataupun di dewan undangan negeri yang kita akan letakkan calon kita,” katanya.

    Dewan Undangan Negeri Melaka dijangka terbubar secara automatik pada 27 Dis ini, manakala Johor pada 21 April tahun depan.

    Mengikut peruntukan undang-undang, SPR mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran untuk mengadakan pilihan raya. Ini bermakna PRN Melaka perlu diadakan selewat-lewatnya sekitar Feb 2027, manakala Johor sekitar Jun 2027 sekiranya pembubaran berlaku secara automatik.

    - Bernama

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah