Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat berkata AS akan mengambil alih Cuba “tidak lama lagi”, sambil mencadangkan sebuah kapal pengangkut pesawat AS boleh dikerahkan berhampiran perairan negara pulau itu bagi memaksanya menyerah diri, lapor Anadolu Ajansi.
“Cuba, yang kita akan ambil alih tidak lama lagi,” kata Trump pada satu acara di Florida, sambil mendakwa bahawa “Cuba sedang berdepan masalah.”
Trump menyatakan langkah itu akan menyusul selepas peranang AS-Israel terhadap Iran, dengan berkata Washington akan mengerahkan sebuah kapal tentera laut dalam perjalanan pulang.
“Dalam perjalanan pulang dari Iran, kita akan bawa sebuah kapal besar kita, mungkin kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln, yang terbesar di dunia; kita akan bawa kapal itu masuk, berhenti kira-kira 100 ela dari pesisir,” katanya.
Beliau seterusnya mencadangkan bahawa demonstrasi kekuatan sahaja sudah memadai untuk memaksa Cuba menyerah diri, dengan mendakwa: “Mereka akan berkata, ‘Terima kasih banyak. Kami menyerah kalah,’” sambil menambah: “Saya suka menamatkan sesuatu tugas.”
Trump pada Jumaat turut menandatangani perintah eksekutif mengenakan sekatan baharu terhadap individu dan entiti yang mempunyai kaitan dengan Cuba, dengan alasan kebimbangan terhadap ancaman kepada keselamatan negara dan dasar luar AS.
Beliau berulang kali menyatakan bahawa Cuba adalah sasaran “seterusnya” selepas operasi ketenteraan terhadap Iran dan bahawa negara pulau Caribbean itu akan “tumbang” tidak lama lagi.





