Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu hari ini, diberitahu Allahyarham Zara Qairina Mahathir telah mengalami tekanan emosi yang berulang, yang dikaitkan dengan hubungan sesama rakan, dalam beberapa bulan sebelum kematiannya.
Pakar Perunding Psikiatri Dr Wong Haw Huo berkata bukti yang ada menunjukkan remaja itu mengalami tekanan berterusan dalam hubungan interpersonal, yang berpunca daripada hubungannya dengan individu lain, dan bukannya disebabkan oleh satu insiden terpencil.
Beliau berkata penilaian berkenaan adalah berdasarkan semakan menyeluruh terhadap laporan perubatan, hasil bezah siasat, nota prosiding inkues, catatan peribadi, rakaman audio, gambar, video, komunikasi digital serta temu bual yang dijalankan bersama ibu bapa Zara Qairina.
Dr Wong mendedahkan antara Mac hingga Mei 2025, terdapat petanda yang semakin jelas bahawa Zara Qairina sedang berdepan tekanan dalam hubungan dengan rakan sebaya, ketidakstabilan emosi, ketakutan berdepan dengan konflik, bimbang terhadap pelajar senior, selain dipercayai menjadi mangsa ejekan atau layanan memalukan.
“Menjelang Jun dan Julai 2025, bahan yang dikaji menunjukkan Zara Qairina mengalami tekanan emosi yang semakin serius, lebih sensitif terhadap disisih, semakin berwaspada dalam berinteraksi dengan orang lain serta merasakan persekitarannya semakin kurang selamat dari segi emosi," katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dr Wong yang juga saksi ke-75 dalam prosiding inkues kematian remaja itu ialah seorang pakar psikiatri berpengalaman yang telah berkhidmat kira-kira 12 tahun.
Pada masa ini, beliau mengendalikan antara 120 hingga 180 kes kanak-kanak dan remaja setiap tahun, dengan kira-kira 30 peratus daripadanya melibatkan tindakan mencederakan diri sendiri, manakala 15 hingga 20 peratus lagi melibatkan pemikiran atau tingkah laku bunuh diri.
Beliau memaklumkan kepada mahkamah tekanan emosi yang dialami Zara Qairina berpunca daripada gabungan beberapa faktor, termasuk kerentanan emosinya serta tekanan kehidupan di sekolah berasrama yang semakin meningkat.
Situasi berkenaan, katanya semakin buruk akibat berlakunya salah faham berulang, khabar angin, penyisihan sosial, konflik sesama rakan, tuduhan serta pengalaman yang mungkin ditafsirkan oleh Zara Qairina sebagai sesuatu yang memalukan, khususnya berkaitan dengan kejadian pada 15 Julai 2025.
Dr Wong berkata kejadian pada hari terbabit amat penting kerana berlaku ketika Zara Qairina berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil. Kejadian itu dipercayai melibatkan satu dakwaan konfrontasi yang berlaku di asramanya.
[Berita penuh menyusul]





