PRN JOHOR | PAS awal-awal lagi sudah memberitahu kepada umum bahawa mereka tidak berhasrat menjadi kerajaan di Johor.
Sebaliknya, parti itu - yang kini menguasai PN - menyasarkan kemenangan hanya di 11 kerusi yang ditandingi.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu sudah merangka strategi sebelum membuat ketetapan tersebut.
Ditemui media di Rusila pagi tadi Abdul Hadi membayangkan PN mampu mencipta kemenangan yang disasarkan di sebalik langkah mereka meletakkan jumlah calon yang terhad.
“Kita (PAS) bertanding 11 kerusi… keadaan kita jadi pembangkanglah dalam kerajaan Johor ni… penasihat kepada kerajaan,” katanya yang ditemui selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Rusila.
Untuk rekod Dewan Undangan Negeri Johor mempunyai 56 kerusi. Justeru untuk membentuk kerajaan sesebuah parti atau gabungan memerlukan minumum 29 kerusi bagi menguasai majoriti mudah.
PAS malam tadi mengumumkan mereka hanya meletakkan calon di 11 kerusi manakala Bersatu bertanding di 16 kerusi. Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) pula diberikan lima kerusi manakala Pejuang – yang baru menjadi sebahagian daripada PN secara rasmi – bertanding di satu kerusi.
Gerakan pula tidak meletakkan sebarang calon.
Tak bantu kempen Bersatu
Pengumuman calon yang dibuat malam tadi berlangsung secara berasingan – berbeza daripada pendekatan yang diambil BN dan PH yang membuat pengumuman calon lebih awal.
Hari ini juga Pemuda Umno Johor menyatakan pandangan mereka yang PN jelas tidak berhasrat membentuk kerajaan negeri apabila meletakkan calon di 33 kerusi DUN saja.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros, berkata apa yang dilakukan PN itu merupakan isyarat politik yang sangat jelas untuk rakyat Johor.
"Untuk membentuk kerajaan negeri, sesebuah gabungan perlu mempunyai laluan yang realistik untuk memperoleh majoriti kerusi.
"Namun apabila PN memilih untuk bertanding di kurang daripada 60 peratus kerusi yang ada, ia menunjukkan bahawa sejak awal lagi mereka tidak benar-benar meletakkan sasaran untuk membentuk, apatah lagi mentadbir kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.

Penyertaan PAS dalam PRN Johor juga, kata Abdul Hadi, dibuat dengan matlamat tertentu.
“Apa yang penting, saya nak Johor diperintah oleh orang Melayu Islam. Kita tak mau dikuasai oleh puak-puak liberal (atau) puak-puak bukan Islam.
“Biar orang Islam perintah Johor,” katanya.
Sementara itu ditanya mengenai pengumuman calon yang dibuat berasingan, Abdul Hadi berkata, PAS memang membuat keputusan berkenaan berdasarkan strategi namun tidak pasti jika hal itu turut diambil oleh Bersatu.
Ahli Parlimen Marang itu juga mengesahkan PAS tidak akan membantu kempen Bersatu.
Berkenaan penggunaan logo PN, Abdul Hadi berkata: “Sebab dia (Bersatu) mendesak nak logo tu juga, dan kita (PAS) tak pecat dia lagi.”





