Musim durian yang biasanya dinanti-nantikan sebagai waktu menuai keuntungan kini bertukar menjadi musim yang meresahkan ramai pekebun dan peniaga apabila lambakan buah di seluruh negara menyebabkan harga durian menjunam ke paras yang jarang berlaku sebelum ini.
Daripada kebun hingga ke gerai durian, peniaga dan pekebun berdepan situasi sama apabila bekalan yang terlalu banyak gagal diserap oleh pasaran.
Musim berbuah yang berlaku serentak di hampir semua negeri menyebabkan ribuan tan durian memasuki pasaran dalam tempoh yang sama, sekali gus menekan harga pelbagai varieti termasuk Musang King.
Pemilik 8118 Durian Station, Brian Chew, berkata keadaan tahun ini berbeza berbanding musim-musim terdahulu kerana hampir seluruh negara mengeluarkan hasil pada masa yang sama.
“Harga durian sekarang memang murah kerana musim berlaku serentak di seluruh Malaysia.
Semua negeri sedang mengeluarkan hasil pada masa yang sama, jadi bekalan terlalu banyak di pasaran,” katanya.
Menurut Chew, tanggapan bahawa orang tengah menikmati keuntungan besar ketika harga durian murah adalah tidak tepat kerana mereka tetap perlu membeli hasil daripada pekebun seperti yang telah dipersetujui sebelum musim bermula.

“Saya memang terlibat dalam perniagaan durian dan juga mempunyai kebun sendiri.
Sebagai orang tengah, kami sudah berjanji dengan pemilik kebun untuk mengambil semua hasil mereka. Sebab itu walaupun harga jatuh, kami tetap perlu terus membeli buah daripada kebun,” katanya.
Pemilik 8118 Durian Station itu berkata risiko kerugian tetap tinggi kerana durian merupakan produk yang mempunyai tempoh simpanan yang singkat.
“Pada bulan Mei lalu, saya sendiri rugi kira-kira RM10,000 kerana banyak buah tidak habis dijual.
Jika buah tidak habis, kami yang perlu menanggung kerugian tersebut,” katanya.
Di Batang Kali, pasangan pekebun durian dan pemilik Sojuk Riverside, sebuah kawasan perkhemahan, Mohd Rashad Mohd Yusof, 66, dan Normaizan Abdul Hamid, 58, turut merasai kesan kejatuhan harga yang disifatkan sebagai paling buruk sepanjang mereka mengusahakan kebun.
Menurut Rashad, masalah utama bukanlah kerana hasil yang terlalu banyak, sebaliknya musim durian yang berlaku serentak di hampir seluruh negara.
“Walaupun hasil buah tidaklah terlalu banyak, tetapi apabila semua negeri seperti Kelantan, Perak, Pahang, Johor, Melaka dan Selangor mengeluarkan buah pada masa yang sama, bekalan bertumpu sekali gus menyebabkan harga menjadi murah,” katanya.
Pemilik kebun dan kawasan tapak perkhemahan itu berkata situasi berkenaan menyebabkan durian kampung semakin sukar dijual apabila Musang King kini boleh didapati pada harga jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Setakat yang saya lihat, keadaan ini berlaku hampir di seluruh negara. Ada yang menjual sebiji durian serendah RM4 dan Musang King pula dijual sekitar RM9 sekilogram.

Dalam keadaan macam ini, durian kampung memang susah hendak dijual kerana pengguna lebih memilih Musang King yang harganya sudah menjadi sangat murah,” katanya.
Di kebunnya sendiri, Rashad mengakui kini lebih banyak memikirkan cara menghabiskan stok berbanding mengira keuntungan.
Rashad berkata harga Musang King yang sebelum ini boleh mencecah RM40 hingga RM50 sekilogram kini turun kepada sekitar RM9 sekilogram, menyebabkan pengguna lebih cenderung memilih varieti premium itu berbanding durian kampung.
Lebih membimbangkan, pulangan yang diterima pekebun tidak lagi sepadan dengan kos operasi yang perlu ditanggung.
“Ada kalanya buah yang sebelum ini boleh memberikan pulangan sekitar RM200, kini hanya menghasilkan sekitar RM70 sahaja. Kalau dikira dari segi pulangan, mungkin hanya 30 hingga 40 peratus modal sahaja yang dapat dikembalikan,” katanya.
Bagi Chew pula, kos mengurus kebun terus meningkat walaupun harga jualan merosot. Katanya, kos menggaji pekerja, membeli baja, racun serta menjalankan penyelenggaraan kebun boleh mencecah antara RM80,000 hingga RM90,000 setahun.
Pada masa sama, Chew melihat peningkatan kawasan tanaman durian sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut menyumbang kepada lambakan bekalan.
“Beribu-ribu hektar kawasan telah ditanam dan kini pokok-pokok tersebut sudah mula mengeluarkan hasil.
Apabila pengeluaran meningkat dengan mendadak, harga menjadi semakin sukar dikawal,” katanya.
Selain lambakan dalam negara, pemain industri turut melihat permintaan eksport yang tidak lagi sekuat dahulu sebagai antara faktor yang memburukkan keadaan.

Rashad berkata beliau mendapat maklumat daripada rakan-rakan yang terlibat dalam eksport bahawa permintaan dari China semakin perlahan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Ada yang memberitahu eksport ke China sudah berkurangan, menyebabkan lebih banyak buah tertumpu dalam pasaran tempatan.
“Selain itu, negara lain juga sudah mempunyai ladang durian sendiri,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi peniaga durian sambilan, Feri Herman, 50, yang menjual durian di Batang Kali secara sambilan sementara bekerja sebagai pegawai keselamatan di tapak pembinaan.
Menurut Feri, harga yang murah tidak bermaksud peniaga menikmati keuntungan lebih besar kerana kos operasi terus meningkat.
“Bila harga jatuh separuh, kos operasi bukannya turun separuh sekali. Kos kami masih tinggi.
Harga minyak pun mahal sekarang, belum campur kos mengangkut durian dari Pahang,” katanya.
Dia terpaksa menjual stok dengan cepat kerana durian hanya mampu bertahan sekitar dua hari sebelum rosak.
“Kalau stok terlalu banyak, saya tak boleh simpan lama kerana durian hanya tahan sekitar dua hari.
Kalau masuk hari ketiga, buah akan rosak. Sebab itu saya terpaksa jual dengan harga murah supaya stok cepat habis,” katanya.
Menurut Feri lagi, sebahagian buah yang sebelum ini disasarkan untuk pasaran eksport kini dijual dalam negara kerana tempahan dari luar semakin berkurangan.
“Kalau eksport berkurangan, lebih banyak buah akan tertumpu dalam pasaran tempatan. Sebab itu harga jatuh. Buah yang biasanya dihantar untuk pasaran eksport kini dijual dalam negara,” katanya.
Walaupun berdepan tekanan harga dan keuntungan yang semakin menipis, kebanyakan pemain industri masih meneruskan operasi demi memenuhi komitmen kepada pekebun serta memastikan hasil yang dituai tidak terbuang begitu sahaja.
Bagi Chew, keadaan semasa mungkin belum akan berakhir dalam masa terdekat.
“Saya melihat keadaan harga durian yang rendah ini mungkin akan berterusan untuk tiga hingga empat tahun lagi.
Selagi pengeluaran tinggi dan pasaran eksport tidak berkembang dengan lebih pesat, sukar untuk harga kembali seperti dahulu," katanya.





