PAU 2024 | Penerangan Umno akan memberi penekanan khusus kepada penguasaan politik digital seperti diutarakan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 hari ini.
Ketua penerangannya, Azalina Othman Said berkata antara inisiatif yang akan dilakukan ialah menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan Umno terus berdaya saing dalam "peranang persepsi" yang semakin sengit.
"Penerangan Umno Malaysia akan memanfaatkan AI untuk mengenal pasti trend dan sentimen pengundi dengan lebih tepat dan bersasar.
"Ini akan membantu dalam menyusun strategi komunikasi yang lebih berkesan dan responsif terhadap perubahan persepsi rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu Azalina berkata parti itu juga akan menawarkan modul latihan komunikasi digital untuk melatih lebih ramai jentera penerangan parti di peringkat akar umbi supaya berupaya memahami propaganda dan menghasilkan kandungan digital positif yang berkualiti.
“Kita akan mempelbagaikan bentuk kandungan yang sentiasa relevan dengan trend semasa seperti siri podsiar #HitamPutihKelabu (HPK) dan chatbot yang dijana oleh AI boleh menjelaskan isu-isu semasa pada bila-bila masa sahaja,” jelasnya.
"Dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini, Penerangan Umno Malaysia yakin dapat mengukuhkan lagi kedudukan dan mengangkat imej parti terutamanya di dalam landskap politik digital, seterusnya memenangi hati rakyat terutamanya generasi muda yang menjadi penentu masa depan negara," katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno hari ini berkata Malaysia kini berada di era politik digital dan perubahan teknologi turut mempengaruhi pola fikir rakyat melalui 3-S (Skrin dan skrin, scroll dan swipe).
"Politik berteraskan kecerdasan buatan atau “AI” akan menguasai peperanangan minda pada PRU akan datang.
“Yang tiada boleh jadi ada. Yang nyata boleh jadi dusta. Yang jauh seolah-olah di depan mata," katanya.





