ULASAN | Banyak faktor yang bakal menentukan parti yang akan dipilih menerajui kerajaan negeri Johor selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 11 Julai nanti.
Faktor semasa yang kritikal merangkumi aspek ekonomi rakyat, kestabilan politik, peratusan keluar mengundi, corak sokongan pengundi muda, serta impak jalinan kerjasama politik.
Kerusi marginal, kawasan yang dimenangi dengan majoriti tipis bawah 1,000 undi tentunya amat sensitif terhadap peralihan sokongan walaupun dalam skala kecil.
Kawasan tersebut melibatkan DUN Bukit Batu, Bukit Pasir, Parit Yaani, Tangkak, Serom, Bukit Kepong, dan Jementah.
Selain itu, beberapa kerusi lain turut dikategorikan sebagai kerusi tumpuan atas dinamika politik setempat.
Ini termasuk kawasan Maharani, kubu kuat PAS yang cuba dirampas oleh Amanah, serta Puteri Wangsa yang kini diwakili oleh satu-satunya wakil parti Muda.
Kerusi tersebut terus diintai Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan terkini, Bersama.
Turut menjadi perhatian ialah Kota Iskandar milik BN, yang menjadi sasaran strategik Amanah memandangkan lokasinya yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri.
Terbaharu, tumpuan terarah ke DUN Endau berikutan tindakan penyandangnya mengumumkan keluar daripada PN untuk kembali menyertai Umno.
Kos sara hidup dan faktor ekonomi
Kos sara hidup dan isu ekonomi merupakan faktor paling dekat yang mempengaruhi psikologi pengundi di kawasan marhaen.
Peningkatan kos barang keperluan, kos perumahan, dan inflasi makanan memberikan tekanan langsung kepada isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40).
Di sekitar Johor Bahru, Iskandar Puteri, dan Pasir Gudang, kos sara hidup sangat dipengaruhi oleh limpahan ekonomi Singapura serta kadar pertukaran mata wang yang tinggi.

Jurang pendapatan antara rakyat tempatan yang bekerja di Singapura dan pekerja domestik mewujudkan dinamika sosioekonomi yang kompleks.
Bagi kerusi luar bandar seperti di kawasan Felda atau penempatan pekebun kecil, turun naik harga komoditi utama seperti kelapa sawit dan getah menjadi penentu utama tahap kepuasan hati pengundi terhadap kerajaan semasa.
Implikasi pengundi luar dan golongan muda
Kadar keluar mengundi (voter turnout) menjadi penentu kelangsungan parti politik di kerusi marginal.
Jumlah pengundi luar dan pekerja Malaysia di Singapura mencecah ratusan ribu orang.
Keupayaan jentera politik menggerakkan kumpulan ini untuk pulang mengundi mampu mengubah corak kemenangan secara drastik.
Jika pengundi mengalami kelesuan politik (voter fatigue) akibat retorik semasa atau merasakan undi mereka tidak membawa perubahan, peratusan keluar mengundi yang rendah biasanya akan merugikan parti pembangkang.
Situasi ini sekali gus memberi kelebihan kepada parti yang mempunyai jentera akar umbi yang kukuh.
Kumpulan pengundi muda melalui pendaftaran automatik juga memegang jumlah undi yang sangat besar. Sokongan dalam kalangan pengundi berusia 18 hingga 30 tahun masih sukar diramal kerana mereka tidak mempunyai kesetiaan tegar kepada mana-mana parti.
Sebaliknya, golongan ini amat dipengaruhi oleh isu-isu semasa yang tular di media sosial.
Pada masa yang sama, mereka menuntut peluang pekerjaan berkualiti, jaminan kebajikan ekonomi gig, serta akses kepada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Kegagalan menyantuni keperluan ini berisiko melemahkan sokongan terhadap sesebuah parti.
Sentimen gabungan politik
Penerimaan rakyat terhadap model kerjasama politik semasa akan diuji sepenuhnya di kerusi marginal.
Sama ada parti-parti bertanding mengekalkan formula Kerajaan Perpaduan, bergerak secara solo, atau membentuk pakatan baharu, semuanya terus dinilai para pengundi dengan kaca mata penuh curiga.
Jika sebelum ini keikhlasan dan kestabilan gabungan tersebut dijadikan momokan pada setiap masa, kali ini momokan itu seolah-olah terhenti.
Malah, naratif bertemakan betapa bezanya Johor dan persekutuan semakin nyaring dilaungkan pada setiap kesempatan.

Tentunya ramai yang berasa jelik dengan mainan politik sebegini yang dipamerkan tanpa rasa segan silu. Agaknya pimpinan politik melihat pengundi rata-ratanya bodoh dan tidak dapat menjustifikasi kelangsungan di antara Putrajaya dan Kota Iskandar.
Hakikat itu memungkinkan undi protes dan peralihan sokongan berlaku. Selain itu, sekiranya terdapat ketidakpuasan hati jentera tempatan terhadap pembahagian kerusi atau pengundian calon silang parti, ia bakal mencetuskan sabotaj dalaman.
Keperibadian calon dan isu tempatan
Di Johor, masih ada Adun yang melawat kawasan dengan menaiki kereta Porsche. Harga sebiji tayarnya sahaja mungkin sudah menyamai gaji sebulan ramai pengundi di kawasan tersebut.
Keperibadian calon nyata menjadi merit penting dalam pengundian pemenang pada 11 Julai nanti, malah mengatasi faktor logo parti.
Di kawasan marginal, pengundi cenderung memilih calon tempatan yang mempunyai rekod khidmat masyarakat yang terbukti, mudah didekati, dan bersih daripada skandal.
Sebaliknya, tindakan meletakkan calon payung terjun pada saat-saat akhir membawa risiko penolakan yang tinggi oleh pengundi tempatan.
Isu domestik harian seperti masalah banjir kilat, kualiti jalan raya, capaian internet luar bandar, dan kemudahan kesihatan setempat boleh menjadi modal kempen yang mampu mengubah fikiran beberapa ratus pengundi.
Jumlah itu tentunya sudah cukup untuk memenangkan atau menggagalkan sesebuah parti di kerusi marginal.

Profil pertembungan di kerusi marginal
DUN Bukit Batu: Wakil PKR, Arthur Chiong Sen Sern, berdepan tugas sengit selepas disahkan mempertahankan kerusi tersebut. Dia hanya berbekalkan majoriti terkecil sebanyak 137 undi pada PRN 2022. Pencabarnya dijangka hadir daripada jentera BN.
DUN Bukit Pasir: Kawasan tradisi Melayu ini kemungkinan besar mempertaruhkan semula penyandangnya, Mohamad Fazli Mohamad Salleh (BN-UMNO). Prestasi beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri dilihat sebagai kelebihan untuk menjarakkan majoriti tipis 198 undi sebelum ini. Beliau bakal ditentang hebat oleh Amanah dan PAS.
DUN Parit Yaani: Najib Samuri (BN-UMNO) yang menang dengan majoriti 294 undi sebelum ini dijangka menerima cabaran sengit daripada Pengerusi Amanah Johor merangkap Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan.
DUN Tangkak: Pertembungan klasik dijangka berlaku melibatkan penyandang, Ee Chin Li (PH-DAP), yang sebelum ini menang dengan majoriti 372 undi. Beliau bakal mempertahankan kerusi tersebut daripada saingan BN-MCA yang bergantung kepada undi Melayu, selain saingan daripada blok ketiga, PN.
Tumpuan turut terarah kepada DUN Serom yang disandang Khairin-Nisa Ismail (BN-UMNO / majoriti 699 undi), DUN Bukit Kepong oleh Sahruddin Jamal (PN-Bersatu / majoriti 710 undi), dan DUN Jementah yang disandang Ng Kor Sim (PH-DAP / majoriti 714 undi).
Kerusi panas
Selain tujuh kerusi marginal tersebut, beberapa DUN lain turut mencatatkan majoriti bawah 2,000 undi atau mempunyai nilai strategik yang tinggi:
DUN Maharani: Disandang Abdul Aziz Talib (PN-PAS) dengan majoriti 1,037 undi. Perubahan landskap politik semasa dalam PN dan asakan daripada Amanah dijangka memberi cabaran hebat kepada penyandang.
DUN Puteri Wangsa: Penyandangnya, Amira Aisya (Muda), dilaporkan bakal mengosongkan kerusi tersebut untuk memberi laluan kepada muka baru, Rashifa Aljunied, 26. Kerusi ini menjadi sasaran pelbagai penjuru melibatkan BN, PAS, Amanah, PKR, dan parti baharu, Bersama.
DUN Kota Iskandar: Pandak Ahmad (BN-UMNO) selaku penyandang pusat pentadbiran negeri ini bakal berdepan tentangan sengit daripada Amanah dan Bersama.
DUN Endau: Di utara Johor, kedudukan Alwiyah Talib (BN-Umno) diperhatikan rapat oleh bekas parti asalnya, Bersatu, susulan tindakan beliau keluar parti awal bulan ini.
Keangkuhan politik makan diri
PRN Johor kali ini bukan sekadar ujian litmus bagi logo parti atau retorik pengimbang atau pembangkang, Putrajaya atau Kota Iskandar.
Kuasa pengundi menentu segalanya. Kuasa datang sekali setelah beberapa musim berlalu.
Segala-galanya kembali kepada realiti nyata dan diperhati. Bahawa perut rakyat perlu terus diisi.
Ketinggian budi, sopan santun, malah sombong peribadi wakil rakyatnya di mana jua itu bakal mengetuk sanubari pengundi dalam membulatkan tekad dan undi pada 11 Julai nanti.
Parti politik yang gagal membaca halus emosi pengundi di atas pagar, atau sekadar mempamerkan kemewahan di tengah kesempitan hidup marhaen, bakal menerima balasan setimpal.
Di kawasan yang berjarak hanya ratusan undi, keangkuhan politik adalah peluru bunuh diri yang paling pantas.
MOHD ARIFFIN MOHD SAAD adalah pembaca Malaysiakini dari Kluang, Johor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





