Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Sanusi Mohd Nor, hari ini menyatakan bahawa keempat-empat komponen termasuk Bersatu akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang menggunakan logo gabungan itu.
Ditemui pemberita di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur selepas mesyuarat PN mengenai rundingan kerusi, Sanusi berkata perbincangan yang dihadiri oleh pemimpin parti komponen telah membincangkan isu logo yang timbul selepas PAS memutuskan kerjasama dengan Bersatu.
“InsyaAllah guna logo PN. Rundingan ini pasal logo PN, bukan benda lain," katanya.
Pemimpin Bersatu yang hadir pada mesyuarat itu termasuk timbalan presiden Ahmad Faizal Azumu dan ketua sayap wanitanya Nolee Ashilin Md Radzi.
Walau bagaimanapun, Sanusi enggan mengulas mengenai kenyataan Faizal hari ini yang membangkitkan bantahan Bersatu terhadap keputusan PN menerima kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang telah “dijenamakan semula” sebagai “Parti Wawasan Negara” yang diketuai oleh Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin.

“Itu saya tak ada locus standi untuk jawab. Itu diputuskan dalam mesyuarat ikut undian, takkan saya nak jawab pula.
"Itu terserah pada pandangan dia. Saya cuma pengerusikan mesyuarat rundingan kerusi saja. Semua okay, lancar.Akan bersambung esok pagi jam 10 pagi. Sila tunggu di sini,” kata Sanusi, yang juga pengarah pilihan raya PAS.
Terdahulu hari ini, Timbalan Presiden PN, Tuan Ibrahim Tuan memberitahu Malaysiakini bahawa “Wawasan Negara” tidak diperuntukkan sebarang kerusi untuk ditandingi di Johor.
Walau bagaimanapun, Sanusi mendedahkan bahawa “Wawasan Negara” juga telah mengemukakan senarai kerusi yang dipertimbangkan untuk dirundingkan.
“Mereka memberikan senarai kerusi yang mereka pertimbangkan. Boleh dirunding.
“Tugas saya hanyalah untuk berunding, keputusan muktamad akan dibuat oleh PN,” katanya.
Secara berasingan, Faizal mengesahkan bahawa Bersatu telah menyerahkan senarai kerusi yang dikehendaki parti itu untuk rundingan, dengan membayangkan bahawa "lebih separuh" telah diselesaikan hari ini dan rundingan akan diteruskan esok.
Dia juga membayangkan bahawa calon Bersatu akan bertanding di bawah logo PN tetapi tidak memberikan pengesahan rasmi.
"Tunggu, setelah semuanya selesai, barulah kami akan membuat pengumuman. Jadi semua (media) boleh tinggal di sini selama beberapa hari lagi," katanya berseloroh.
"Jika mahu gunakan logo parti sendiri, maka tidak perlu untuk rundingan (kerusi)," tambahnya.
Pada 17 Jun, Muhyiddin mengisytiharkan bahawa Bersatu akan kekal sebagai parti komponen PN dan akan meletakkan calon di bawah logo PN dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan yang dijadualkan masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos.
Persoalan timbul mengenai penggunaan logo PN oleh Bersatu dalam kedua-dua PRN selepas ia berpisah dengan PAS, kerana hanya pengerusi gabungan itu, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, mempunyai kuasa untuk menandatangani surat pencalonan rasmi (watikah) untuk calon yang disokong PN.
Malam tadi, Muhyiddin, yang menghadiri mesyuarat majlis tertinggi PN di ibu pejabat PAS, menegaskan semula bahawa pendirian Bersatu kekal.





