Anggota polis yang disyaki terbabit dalam satu rangkaian sindiket pengedaran dadah di Langkawi telah ditukarkan serta-merta bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan secara telus.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata pertukaran itu bukan untuk melindungi atau menyelamatkan anggota berkenaan kerana siasatan secara terperinci masih dijalankan.

“Anggapan bahawa sindiket pengedaran dadah di Langkawi sama seperti Pablo Escobar adalah tidak tepat. Saya tidak nafikan memang ada elemen pengedaran dadah di pulau itu dan ia dalam tindakan polis.
“Saya sebagai Ketua Polis Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri tidak akan melindungi sesiapa pun, baik pegawai kanan mahupun anggota yang terlibat dalam aktiviti berkaitan dadah,” katanya ketika mengulas isu berkenaan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.
Beliau berkata pertukaran anggota itu demi kepentingan awam, manakala seorang lagi individu dikenali sebagai "Bagok" berumur 47 tahun yang dipercayai terlibat dalam sindiket itu juga telah ditahan pada Sabtu lepas.
“Kita (polis) tidak akan berkompromi, buktinya dari Januari 2023 hingga April tahun ini, sebanyak 54 pegawai dan anggota ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Daripada jumlah itu, 38 orang telah dituduh,” kata Adzli.
Baru-baru ini, satu laporan media mendedahkan selepas kematian "Pablo Escobar Langkawi" dikenali sebagai Mat Nahar enam tahun lepas, muncul satu lagi rangkaian pengedaran dadah yang beroperasi secara tersusun di sekitar Langkawi dipercayai didalangi seorang anggota polis dikenali sebagai "Mr A".
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menyangkal laporan berita yang menyamakan kegiatan pengedaran dadah di Langkawi seperti operasi kartel antarabangsa.
Beliau berkata "magnitud" pengedaran dadah di pulau perananginan itu tidak boleh disamakan seperti kartel dadah diketuai pengedar dadah Pablo Escobar, yang mengawal seluruh instrumen pengedaran dadah yang rumit.





