ULASAN SUKAN | Apakah kita bakal dapat melihat sekurang-kurangnya satu wakil Asia mampu mara jauh sehingga ke peringkat suku akhir Piala Dunia kali ini?
Mungkin impian ini agak keterlaluan juga. Hal itu kerana ranjaunya banyak dan jalan masih panjang kerana saingan peringkat kumpulan belum pun berakhir setakat hari ini.
Di Malaysia, ia menjadi satu bahan perbualan kebelakangan ini. Peminat ingin sangat melihat ada wakil benua Asia berjaya menempatkan diri dalam saingan kelompok lapan terakhir.
Mereka mula percaya misi itu boleh dicapai selepas melihat beberapa aksi terpuji dipamerkan oleh sembilan wakil benua – Australia, Iran, Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi, Qatar, Iraq, Jordan dan Uzbekistan.
Ini adalah jumlah penyertaan tertinggi dari benua Asia dalam sejarah Piala Dunia.
Kita masih ingat bahawa Korea Selatan adalah antara wakil terbaik Asia dalam kempen Piala Dunia. Skuad itu bukan saja berjaya melakar gemilang layak ke suku akhir bahkan menggegar dunia apabila mencipta rekod mara ke separuh akhir buat julung kali.
Sejarah itu dilakar pada kancah Piala Dunia 2002. Lebih manis ia dicipta di bumi mereka sendiri selaku tuan rumah bersama dengan Jepun.
Pencapaian itu juga membuka minda pasukan Asia lain betapa tiada apa yang mustahil dalam bola sepak di pentas tertinggi dunia pada ketika itu.
Mencari penawar duka
Jelas, sistem bola sepak Korea Selatan dan juga Jepun menjadi satu inspirasi kepada generasi muda di Malaysia sebagai ikutan sehingga hari ini.
Skuad digelar Taegeuk Warriors itu menumbangkan Sepanyol dalam penentuan penalti di suku akhir, sekali gus menyuntik keyakinan dan semangat baru. Dengan sokongan padu penyokong dan juga rakyat, barisan berwajah baru itu membuat satu lagi langkahan besar layak ke kelompok empat terakhir pula.
Seluruh Asia – termasuk Malaysia – menumpang bangga dengan pencapaian bersejarah sebuah negara Asia. Ia tidak pernah berlaku dalam Piala Dunia sejak ia dimulakan pada 1930.
Seluruh skuad Korea Selatan bagai dirasuk pada ketika itu. Ada antara pemain berani mereka bersuara dengan menyebut: “Bawa saja pasukan mana pun, kami yakin boleh menang.”
Apa pun, impian besar rakyat mereka berakhir selepas ditewaskan 0-1 oleh Jerman hasil jaringan pemain tonggak mereka, Michael Ballack, dalam saingan separuh akhir di Seoul pada 25 Jun 2002.

Niat mencari sedikit penawar duka buat mengubati luka itu juga tidak kesampaian apabila Taegeuk Warriors gagal naik ke podium untuk sekurang-kurangnya menerima pingat gangsa.
Mereka tewas kepada Turkiye 2-3 dalam penentuan tempat ketiga.
Jepun sebagai tuan rumah bersama juga berjaya mara buat julung kali ke saingan 16 terbaik pada edisi tahun tersebut. Namun, skuad bergelar Samurai Biru itu gagal mengikut jejak Korea Selatan untuk ke suku akhir apabila tewas kepada Turkiye 0-1 hasil jaringan Umit Davala pada 18 Jun tahun berkenaan.
Sebagai rekod, Jepun membuat kemunculan pertama Piala Dunia pada 1998 di Perancis. Sejak itu mereka berjaya mara lapan kali berturut-turut, termasuk pada edisi kali ini di AS.
Sesuatu yang membanggakan apabila mereka menjadi antara pasukan Asia paling konsisten dalam Piala Dunia selepas mara ke saingan 16 terakhir pada 2002, 2010, 2018 dan 2022.
Kini, 24 tahun sudah berlalu dan komuniti bola sepak di Asia kempunan menyaksikan suasana ‘good-feeling’ itu berulang.
Negara mana memiliki perwatakan garang untuk mara ke kelompok lapan terbaik?
Dijangka lepasi halangan
Jika diperhalusi lagi, realiti itu lebih terarah kepada kelibat Jepun, Korea Selatan dan Australia yang masing-masing sudah pun mencetak satu kemenangan. Mereka sudah berani berjuang untuk mengutip mata.
Sifat takut-takut atau pasif sudah hilang.
Tiga pasukan itu sudah membuktikan dapat menandingi mana-mana pasukan termasuk gergasi dari Eropah dan Amerika Latin. Ringkasnya, mereka bermain tenang dan yakin serta ada kemampuan mengawal tempo permainan dengan baik.
Australia yang menggunakan lebih fizikal dalam pendekatan mereka juga menjadi pilihan penulis. Mereka menggunakan kelebihan ini untuk menewaskan Turkiye 2-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D.
Berbekal pengalaman beraksi dalam Piala Dunia sebanyak enam kali sebelum ini (1974, 2006, 2010, 2014, 2018, dan 2022) skuad Socceroos itu makin matang dan kita boleh melihat buktinya apabila mereka berentap dengan Paraguay dalam perlawanan terakhir Kumpulan D, Jumaat ini.
Jepun berdepan ujian paling getir berdepan Sweden, juga pada hari sama, dalam saingan penentuan Kumpulan F. Ia mungkin menjadi perlawanan menentukan naib juara ketika Belanda disebut sebagai pilihan mengetuai kumpulan berkenaan.
Tambahan pula lawan mereka ialah Tunisia yang sudah pun gagal layak ke peringkat pusingan ke-32. Tiga mata nampak bakal menjadi milik Belanda dengan jentera serangan yang mengganas ketika membaham Sweden 5-1 tempoh hari.

Korea Selatan dijangka melepasi halangan Afrika Selatan dalam Kumpulan A dalam perlawanan Khamis ini. Barisan diketuai pemain paling popular di Asia iaitu, Son Heung Min ada kemampuan untuk mencuri satu mata dan layak menjadi naib juara.
Iran dan Arab Saudi juga antara prospek disebut-sebut. Namun, negara dari Asia Barat itu berdepan ranjau lebih sukar berdasarkan kepada situasi semasa di peringkat kumpulan.
Kelmarin Iran seri 1-1 ketika berdepan Belgium untuk mengutip mata kedua dan menghidupkan peluang untuk terus kekal dalam kejohanan.
Impian Arab Saudi pula makin pudar selepas dibaham juara 2010, Sepanyol 0-4.
Wakil lain dari Asia – Qatar, Iraq, Jordan dan Uzbekistan seakan-akan sudah tidak lagi berada dalam radar sama seperti Jepun, Korea Selatan dan juga Australia andai berpandu kepada kedudukan mereka dalam kumpulan masing-masing.
Justeru Khamis dan Jumaat ini pasti menjadi hari penuh debaran buat Asia.
Semoha tiga pasukan disebut tadi serta Iran boleh berbuat sesuatu agar kita ada wakil yang masih bernyawa di kejohanan membabitkan 48 pasukan kali ini.
Kita boleh terus menyalakan impian bersama. Dah mula terbayang wakil Asia mara suku akhir.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





