28.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 23, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Bersatu akan kemuka senarai calon, mahu watikah dari Dr Sam

    Shopee Sale

    Bersatu akan mengemukakan senarai calon bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya dan menuntut watikah daripada pengerusinya Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Naib presidennya Ahmad Faizal Azumu berkata presiden mereka Muhyiddin Yassin membentangkan senarai kerusi tumpuan Bersatu dan menegaskan akan menggunakan logo PN.

    “Pendirian Bersatu dipersetujui oleh pengerusi Perikatan Nasional,” kata Ahmad Faizal.

    “Sehubungan itu, Bersatu akan mengemukakan senarai kerusi DUN Johor yang akan ditandingi oleh Bersatu untuk penyediaan watikah dan surat kebenaran menggunakan simbol Perikatan Nasional.”

    Muhyiddin ketika tinggalkan pejabat PAS tanpa hadiri sidang media bersama

    Semalam, Muhyiddin menggemparkan pejabat agung PAS di Kuala Lumpur apabila hadir dalam mesyuarat PN, dua minggu kerjasama politik mereka putus—yang menyaksikan perebutan teraju PN.

    Ahmad Faizal antara pemimpin Bersatu yang mengiringi Muhyiddin dalam mesyuarat itu, yang pada mulanya dijangka menentukan nasib Bersatu dalam PN.

    Bagaimanapun PN menerima kemasukan Parti Cinta Malaysia yang diambil alih oleh kem seteru Bersatu daripada kumpulan Hamzah Zainudin.

    Berkaitan pilihan raya negeri Johor, Ahmad Samsuri berkata, PN akan membincangkan pengagihan kerusi melalui jawatankuasa rundingan diketuai ketua pengarah pilihan raya Muhammad Sanusi Md Nor.

    Mahu mesyuarat semalam tangguh

    Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Ahmad Faizal juga mendedahkan bahawa mereka sebenarnya mahu mesyuarat PN malam tadi ditangguhkan susulan isu dokumentasi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

    Katanya, dalam surat ROS bertarikh 22 Jun, ROS memaklumkan terdapat beberapa dokumen yang dikemukakan oleh setiausaha agung PN sebagai tidak lengkap dan tidak bertandatangan.

    Justeru, katanya selaras dengan Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966, ROS meminta PN supaya mengemukakan beberapa maklumat dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh surat tersebut.

    MENARIK:  Bahasa Melayu: Kuasa PBT lebih besar dari DBP, kata Ismail Sabri

    JPPM juga, kata Ahmad Fazal, berhak menangguhkan pertimbangan terhadap penerimaan rekod barisan kepimpinan Majlis Tertinggi PM sehingga semua perkara berbangkit diselesaikan.

    “Namun, mesyuarat diteruskan juga dan ianya berkemungkinan bertentangan dengan kehendak ROS untuk memastikan segala urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan selaras dengan peruntukan perlembagaan PN dan Akta Pertubuhan 1966 dan mana-mana peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

    Bantahan keras dalam situasi ‘harmoni’?

    Sementara itu, di sebalik keadaan “harmoni” digambarkan Ahmad Samsuri, Ahmad Faizal berkata mereka juga membantah keras desakan pengerusi PM untuk menerima keanggotaan Parti Cinta Malaysia.

    “Bantahan dibuat atas dasar PN sedang menghadapi masalah sesama parti anggota apabila PAS memutuskan hubungannya dengan Bersatu. 

    “Dalam keadaan masalah ini belum selesai, penerimaan parti baharu yang dipimpin oleh bekas ahli-ahli Bersatu yang telah dipecat akan menambah masalah dalaman PN,” katanya.

    Samsuri dan barisan kepimpinan PN

    Ahmad Faizal juga berkata permohonan Parti Cinta Malaysia untuk menganggotai PN adalah tidak teratur.

    Katanya, permohonan dibuat oleh Saifuddin Abdullah atas sifat sebagai setiausaha agung namun semakan rasmi mendapati penjawat jawatan itu ialah Yeo Kwee Kwang.

    Kanya, maklumat barisan kepimpinan yang dikemukakan ialah Parti Wawasan Negara sedangkan permohonan dibuat oleh Parti Cinta Malaysia.

    “Berdasarkan semakan kami setakat semalam, perubahan barisan kepimpinan dan perubahan nama Parti Cinta Malaysia kepada Parti Wawasan Negara belum diluluskan oleh JPPM.

    “Menggunakan nama parti yang tidak diluluskan oleh JPPM adalah satu kesalahan bawah Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah