26.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, August 22, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Apa peluang Anwar ada: Naratif kekalahan sebelum kalah?

    Shopee Sale

    Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, politik Malaysia seolah-olah sedang menulis pengakhiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih awal daripada waktunya. Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam beberapa pilihan raya negeri, kemerosotan sokongan Melayu, kemunculan kerjasama BN-PN, pergolakan dalaman PKR dan pelbagai ramalan penganalisis telah disusun menjadi satu cerita yang semakin mudah dipercayai: Anwar akan kalah dalam PRU16.

    Malah, persoalannya perlahan-lahan bukan lagi “adakah Anwar akan kalah?”, tetapi “berapa teruk Anwar akan kalah?”

    Wawancara Emmanuel Samarathisa dengan Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommuddin Bakar, melalui tajuk No Safe Seat for the PM, memperlihatkan betapa jauhnya naratif ini telah berkembang. Hisommuddin mengunjurkan kemungkinan gelombang BN-PN memperoleh sehingga 122 kerusi, selain melihat kerusi yang sinonim dengan Anwar sendiri sebagai tidak lagi selamat.

    Keputusan Negeri Sembilan memang memberikan bahan kepada bacaan tersebut. PH hanya memenangi 11 daripada 36 kerusi, berbanding gabungan 25 kerusi BN dan PN. Beberapa tokoh besar PH turut tewas.

    Data dan perubahan sentimen itu tidak boleh dinafikan. Kerajaan yang mengabaikannya hanya akan menipu dirinya sendiri. Namun ada perbezaan besar antara mengatakan Anwar boleh kalah dengan mengatakan Anwar pasti kalah.

    Maka di sinilah muncul apa yang boleh disebut sebagai naratif kekalahan sebelum kalah.

    PRU16 belum berlangsung. Parlimen belum dibubarkan. Calon belum ditentukan. Pakatan pilihan raya belum dimuktamadkan. Malah siapa akan bersama siapa apabila pilihan raya sebenar berlangsung juga belum diketahui sepenuhnya. Namun dalam imaginasi politik digital, Anwar seolah-olah sudah dikalahkan.

    Lebih menarik, naratif ini bukan lagi dibina oleh keputusan pilihan raya PRN sahaja. Peristiwa-peristiwa yang mempunyai sebab berbeza mula disambungkan menjadi satu cerita yang sama.

    Rafizi Ramli meninggalkan PKR. Nik Nazmi Nik Ahmad memilih jalan politik baru. Wong Chen pula melepaskan kerusi Parlimen Subang, keluar daripada PKR dan menyertai Parti Bersama di bawah pimpinan Rafizi. Nurul Izzah Anwar sebelum ini mahu melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR, walaupun parti menolak peletakan jawatan itu dan memberikannya cuti sementara.

    Setiap kejadian mempunyai konteks tersendiri. Tetapi algoritma media sosial tidak semestinya mempunyai kesabaran untuk membaca konteks.

    Ia hanya memerlukan tanda.

    Rafizi pergi. Wong Chen pergi. Nurul Izzah mahu berundur. PH kalah pilihan raya. Sokongan Melayu dikatakan semakin mengecil. BN-PN semakin kuat. Kemudian muncul pula ramalan bahawa tiada kerusi selamat untuk Perdana Menteri.

    Apabila semua tanda itu disusun, lahirlah cerita yang sangat mudah:

    Anwar semakin bersendirian. Benarkah?

    Maka di sinilah tanda politik berubah menjadi persepsi dan persepsi akhirnya membentuk realiti atau hipereliti (realiti yang melampaui realiti sebenar).

    Angka sokongan Melayu tidak lagi sekadar angka. Ia menjadi tanda bahawa Melayu menolak Anwar. Kekalahan pilihan raya tidak lagi dibaca sebagai keputusan negeri tertentu. Ia menjadi tanda gelombang nasional. Perpindahan Wong Chen tidak lagi sekadar keputusan seorang ahli politik. Ia boleh dibaca sebagai tanda bahawa terdapat sebahagian daripada keluarga Reformasi sedang meninggalkan rumah lamanya.

    Bahaya kepada Anwar bukan semata-mata kerana semua tafsiran itu benar. Bahayanya ialah apabila tafsiran tersebut diulang sehingga kelihatan benar.

    Situasinya masalah PH selama ini semakin jelas. Lawannya mempunyai bahasa yang mudah: asal bukan DAP, kuasa Melayu-Islam, ancaman, kuasa dan identiti. Kerajaan pula banyak bercakap mengenai pelaburan, pertumbuhan, banteras rasuah, tatakelola, subsidi bersasar dan reformasi institusi.

    Semua itu penting untuk mentadbir negara. Namun pilihan raya bukan hanya pertandingan siapa mempunyai dasar terbaik. Pilihan raya juga merupakan pertandingan siapa mempunyai cerita yang paling dipercayai rakyat.

    Anwar sebenarnya berdepan persoalan yang lebih mendalam daripada sekadar mendapatkan kembali beberapa peratus undi Melayu: sejauh manakah beliau masih mempunyai keupayaan dan jangkauan untuk membentuk makna politiknya dalam fikiran rakyat?

    Persoalan ini penting kerana pertarungan menuju PRU16 bukan hanya mengenai siapa mempunyai lebih banyak undi atau jentera yang lebih kuat. Ia juga merupakan pertarungan menentukan bagaimana rakyat memahami keadaan politik hari ini dan lebih penting, bagaimana mereka membayangkan masa depan negara. Dalam politik yang semakin dibentuk oleh media sosial dan algoritma, memiliki dasar yang baik belum tentu mencukupi jika kerajaan gagal menterjemahkannya menjadi sebuah cerita yang mudah difahami, dirasakan dan dipercayai rakyat.

    Di sinilah masalah Anwar menjadi lebih rumit. Beliau mungkin mempunyai naratif mengenai reformasi, ekonomi Madani, tatakelola, pelaburan dan kestabilan politik. Persoalannya ialah sejauh mana naratif tersebut mempunyai jangkauan melampaui kelompok penyokong yang memang sudah mempercayainya. Adakah ia sampai kepada pengundi Melayu yang semakin menjauh daripada PH? Adakah ia menyentuh pengundi muda yang banyak memahami politik melalui TikTok dan kandungan pendek media sosial? Adakah bahasa reformasi masih mempunyai daya emosi yang sama seperti ketika Anwar berada di luar kerajaan?

    Dalam konteks inilah perkembangan hujung minggu lalu menjadi penting.

    Kongres PKR tidak menghasilkan gambaran sebuah parti yang sudah menyerah kalah. Anwar menyeru tokoh-tokoh lama yang telah menjauh supaya kembali, sementara Nurul Izzah kembali muncul di Kongres Nasional dengan membawa semula bahasa reformasi. Beliau menyeru agar agenda reformasi diteruskan dalam parti dan kerajaan, di samping menekankan keperluan PKR membina jambatan bagi memperkukuh kerajaan perpaduan.

    Secara naratif, perkembangan ini membawa makna yang lebih besar daripada apa yang berlaku di dalam dewan kongres. Jika rentetan pengunduran Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Wong Chen sebelum ini boleh disusun menjadi tanda bahawa keluarga Reformasi sedang berpecah, kemunculan semula Nurul Izzah dan seruan Anwar kepada tokoh-tokoh lama cuba menghasilkan tanda yang berlawanan: PKR belum menyerah, Reformasi belum berakhir dan jambatan politik masih boleh dibina.

    Namun persoalannya belum selesai. Kongres parti boleh menghasilkan semangat dalam kalangan ahli tetapi PRU16 tidak akan ditentukan oleh ahli PKR sahaja. Cabaran sebenarnya ialah sama ada mesej yang bergema di dalam dewan kongres mampu menembusi ruang digital di luar dewan dan mengubah persepsi pengundi yang sudah terdedah berulang kali kepada cerita bahawa Anwar semakin lemah, semakin kehilangan sokongan dan akhirnya akan kalah.

    MENARIK:  Amerika ancam penjara gelandangan

    Di situlah ukuran sebenar kekuatan naratif Anwar. Bukan sekadar sama ada beliau masih mempunyai cerita, tetapi sejauh mana cerita itu masih mempunyai jangkauan untuk dipercayai rakyat.

    Lebih besar lagi ialah keputusan DAP.

    DAP akhirnya mengundi untuk kekal dalam kerajaan Anwar. Daripada mereka yang mengundi dalam referendum parti, 1,857 menyokong untuk kekal dalam kerajaan berbanding 242 yang mahu keluar. Pada masa yang sama, DAP terus menuntut reformasi seperti pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, had dua penggal jawatan Perdana Menteri serta agenda antirasuah.

    Keputusan itu penting secara politik tetapi lebih menarik secara naratif.

    Beberapa hari sebelumnya, salah satu cerita yang boleh dibina ialah: Anwar sedang ditinggalkan. Selepas keputusan DAP, cerita itu tidak lagi boleh diterima secara begitu mudah.

    DAP memilih untuk kekal. PKR tidak pecah dalam kongresnya. Nurul Izzah kembali ke pentas parti dan berbicara mengenai reformasi. Malah Anwar menggunakan kongres tersebut untuk mengumumkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti, satu langkah yang membawa kembali bahasa reformasi ke tengah wacana politiknya.

    Ini tidak bermakna krisis Anwar sudah selesai. Jauh sekali. Ia hanya menunjukkan mengapa kita perlu berhati-hati apabila ramalan politik berubah menjadi takdir.

    Meskipun demikian, masih terdapat persoalan besar mengenai BN-PN. Kedua-duanya boleh bekerjasama untuk menewaskan PH kerana mempunyai sasaran bersama.

    Tetapi sebagaimana metafora “dua harimau di atas bukit”, kerjasama untuk menumbangkan lawan tidak semestinya sama dengan kesepakatan untuk memerintah bersama.

    Jika Anwar tumbang, siapa menjadi Perdana Menteri?

    Ahmad Zahid Hamidi? Mohamad Hasan atau Tok Mat? Hamzah Zainudin daripada Parti Wawasan Negara? Seorang pemimpin PAS? Atau politik pasca-PRU16 akhirnya menghasilkan kemungkinan yang selama ini kurang diberikan perhatian — seorang pemimpin dari Sabah atau Sarawak?

    Siapa menentukan pembahagian kerusi? Siapa menguasai kementerian strategik? Bagaimana dasar ekonomi dan sosial akan dibentuk? Bagaimana Sabah dan Sarawak akan meletakkan syarat mereka?

    Bahkan di dalam Umno sendiri, persoalan mengenai masa depan kepimpinan tidak boleh dipisahkan daripada percaturan PRU16. Zahid dan Tok Mat mungkin tidak bertembung secara terbuka tetapi apabila kemungkinan pertukaran Perdana Menteri mula dibicarakan, persoalan tentang siapa akhirnya memimpin Umno dan siapa paling layak mengetuai kerajaan tidak mungkin hilang begitu sahaja.

    Semakin banyak pertanyaan itu diajukan, semakin jelas satu paradoks: mungkin lebih mudah menyatukan pelbagai kekuatan untuk menjatuhkan Anwar daripada menyatukan mereka untuk menentukan siapa memerintah selepas Anwar.

    Itulah ruang politik yang masih dimiliki Anwar.

    Peluangnya mungkin bukan mencari safe seat. Peluang sebenarnya ialah membina safe coalition.

    Jika PH bersendirian berhadapan konsolidasi undi Melayu BN-PN, matematiknya memang sukar. Tetapi konfigurasi PRU16 belum selesai. DAP kini memilih untuk kekal bersama kerajaan. Kerjasama PH-BN juga masih dikekalkan di Pulau Pinang melalui persetujuan komponen PH. Sabah dan Sarawak mempunyai perkiraan sendiri. Malah politik Malaysia telah berkali-kali membuktikan bahawa musuh hari ini tidak semestinya menjadi musuh esok.

    Tetapi safe coalition sahaja tidak mencukupi.

    Anwar memerlukan safe narrative atau naratif yang selamat.

    Beliau tidak boleh hanya mengatakan kerajaan telah membawa pelaburan, pertumbuhan atau pembaharuan fiskal. Semua pencapaian itu perlu diterjemahkan kepada cerita kehidupan: apakah maknanya kepada pekerjaan anak muda, harga rumah, pendidikan, gaji, kos makanan dan mobiliti sosial? Buat masa sekarang PH tidak mempunyai naratif koheren dan mantap.

    Lebih penting, Anwar perlu merebut kembali makna Reformasi.

    Sekiranya Bersama berjaya membawa persepsi bahawa idealisme Reformasi kini berada bersama Rafizi sedangkan PKR hanya mewakili kekuasaan, itu merupakan bahaya yang jauh lebih besar daripada kehilangan seorang atau dua Ahli Parlimen.

    Anwar sampai ke Putrajaya kerana Reformasi. Ironinya, beliau boleh kehilangan Putrajaya jika rakyat mula percaya bahawa Reformasi telah meninggalkannya.

    Oleh sebab itu, pemansuhan AUKU, tuntutan reformasi DAP dan seruan Nurul Izzah supaya pembaharuan diteruskan tidak boleh menjadi episod yang berdiri sendiri.

    Semuanya perlu disatukan menjadi cerita yang lebih besar mengenai apa sebenarnya yang mahu diselesaikan oleh Anwar sebelum mandat ini berakhir.

    Maka, apa peluang Anwar ada?

    Peluangnya masih ada tetapi bukan melalui penafian terhadap blue wave, bukan dengan mengatakan semua tinjauan salah dan bukan dengan memperlakukan setiap pengkritik sebagai musuh.

    Anwar perlu melakukan sesuatu yang lebih sukar: mengakui bahawa amaran itu nyata tanpa menerima bahawa kekalahan itu sudah menjadi takdir.

    Beliau perlu memperbaiki kerajaan sambil membina semula parti; mempertahankan koalisi sambil menghidupkan kembali Reformasi; bercakap kepada Melayu tanpa terperanangkap dalam politik kecemasan Melayu; dan mempertahankan masyarakat majmuk tanpa membiarkan DAP terus dijadikan simbol ketakutan.

    Anwar mungkin kalah dalam PRU16. Kemungkinan itu nyata dan tidak boleh disembunyikan. Tetapi kemungkinan bukan takdir.

    PH belum kalah. BN-PN belum menang. Pengundi belum membuat keputusan terakhir. Malah mereka yang mahu menggantikan Anwar sendiri belum mempunyai jawapan yang benar-benar jelas mengenai siapa yang akan memimpin selepasnya.

    Ancaman terbesar Anwar sekarang ialah apabila masyarakat dibiasakan dengan imaginasi bahawa pengakhirannya sudah diketahui.

    Jika imaginasi itu dibiarkan, ramalan menjadi persepsi, persepsi menjadi psikologi khalayak dan psikologi akhirnya boleh diterjemahkan menjadi undi.

    Justeru, sebab itu pertarungan menuju PRU16 sebenarnya sudah bermula jauh sebelum kertas undi dicetak. Ia sedang berlangsung dalam ruang makna, emosi, tanda dan algoritma.

    Pertanyaan sebenar bukan lagi sekadar sama ada Tambun masih selamat untuk Anwar.

    Pertanyaannya ialah sama ada Anwar masih mampu merebut kembali cerita tentang dirinya, Reformasi dan masa depan Malaysia daripada mereka yang sudah menulis pengakhirannya.

    Anwar belum kalah. Tetapi jika beliau membiarkan orang lain menentukan makna masa depannya, naratif kekalahan sebelum kalah itu akhirnya boleh menjadi kekalahan yang sebenar.


    HASHIM YAHYA pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa selain sering mengulas isu semasa daripada perspektif semiotik dan naratif.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah