Seorang bekas ahli akademik yang juga pakar perlembagaan berpendapat, Presiden PAS Abdul Hadi Awang kini banyak mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya, seperti yang bersifat rasis.
Mengulas kenyataan terbaru Abdul Hadi mengenai Malaysiakini – yang dituduhnya menyebarkan ajaran sesat – Abdul Aziz Bari berkata ia adalah pandangan yang mengelirukan serta tidak adil.
Dia yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata tuduhan dibuat Abdul Hadi itu adalah berat, terutama dengan mengambil kira latar masyarakat negara ini yang majoriti berbangsa Melayu serta beragama Islam.
Kata Abdul Aziz, sebagai ahli politik dan ahli parlimen, Abdul Hadi sepatutnya tidak perlu diingatkan bahawa media mempunyai perananan penting dalam masyarakat.
“Meskipun kita menghormati hak Presiden PAS (Abdul Hadi) sebagai warganegara, kita juga akur bahawa beliau banyak mengeluarkan pandangan yang rasis dan tidak sesuai dengan masyarakat majmuk negara ini.
“Pandangan-pandangan beliau juga tidak mencerminkan “world view” Islam sebagai “rahmatan lil alamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, untuk kesekian kalinya Abdul Hadi mengecam Malaysiakini dan menuduhnya menyokong DAP serta “menyebarkan ajaran sesat” lalu mengaitkan portal berita itu dengan fahaman sekularisme.
"Adapun, orang Melayu dalam PH menjadi bisu dan tidak mencegah kemungkaran yang besar ini, bahkan mereka pula yang membela dan menjadi jurucakap yang mempertahankan DAP," kata ahli politik hampir berusia 79 tahun itu.
Menurut Abdul Aziz, Presiden PAS itu sepatutnya menyalurkan rasa tidak senangnya terhadap Malaysiakini melalui Majlis Media Malaysia dan membuktikan dia bertanggungjawab sebagai seorang ahli parlimen.
Katanya orang ramai meyakini perananan badan itu yang kini diketuai mantan hakim Mahkamah Persekutuan, Nalini Pathmanathan.
“Rasanya Presiden PAS masih belum lupa bahawa portal berkenaan – bersama DAP dan Pakatan Rakyat – turut mempertahankan hak PAS ketika pentadbiran Mahathir cuba menghapuskan perkataan ‘Islam’ daripada PAS pada 1999,” katanya.
Justeru dalam keadaan begitu, Abdul Aziz berkata, ada satu tindakan yang dirasakan wajar diambil oleh Abdul Hadi.
“Dengan rasa hormat, eloklah beliau (Abdul Hadi) berundur dari ruang awam dan menumpukan perhatian kepada aspek kesihatan dan kebajikan dirinya sendiri,” katanya yang juga Adun Tebing Tinggi, Perak.





