26.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, August 22, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Isu China-Taiwan: M’sia tak wajar dilihat memihak, kata PAS

    Shopee Sale

    PAS hari ini menggesa Malaysia mengambil pendirian lebih berhati-hati dalam isu konflik China-Taiwan dan tidak membiarkan negara dilihat memihak kepada mana-mana kuasa besar.

    Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata Malaysia sebaliknya perlu berdiri lebih tinggi daripada pertikaian berkenaan dengan mengutamakan keamanan, kestabilan serta penyelesaian konflik secara aman.

    Menurutnya, PAS tidak mempersoalkan pendirian Malaysia terhadap dasar Satu China, namun bimbang kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam temu bual dengan Al Jazeera berhubung kemungkinan penggunaan kekuatan ketenteraan dalam konflik China-Taiwan boleh meletakkan negara pada kedudukan diplomatik yang sukar.

    "PAS merasakan penegasan perdana menteri berhubung pendirian Malaysia mengenai dasar Satu China bukanlah masalah, namun kenyataan bahawa beliau melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada China 'noktah' dan perbandingan yang dibuat dengan situasi di Malaysia dengan penggunaan kekuatan ketenteraan sebagai pilihan bagi menghalang mana-mana negeri yang mahu 'menarik diri' daripada persekutuan telah meletakkan negara di kedudukan diplomatik yang sukar," katanya dalam kenyataan hari ini.

    Takiyuddin berkata dasar Satu China tidak seharusnya menghalang Malaysia daripada menyokong dialog damai, persefahaman dua hala serta sikap menahan diri antara pihak yang terbabit.

    Tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu lagi, apabila Anwar dilihat menganjurkan kemungkinan penggunaan kekerasan dalam isu berkenaan, ia secara tidak langsung boleh menyempitkan ruang diplomasi Malaysia selain melemahkan kecenderungan Asean untuk mengutamakan penyelesaian konflik secara aman dan autonomi strategik.

    MENARIK:  Rumah Putih: Jumlah tarif AS ke atas China kini 145 peratus

    "PAS menegaskan Malaysia tidak harus membiarkan ia dilihat memihak kepada mana-mana kuasa besar dalam pertikaian dan konflik yang berpotensi besar menjadi lebih buruk.

    "Kekuatan negara sangat bergantung pada kemampuan kita menjalin hubungan konstruktif dengan China, AS, Taiwan atau rakan kongsi lain di semua peringkat dan dalam pelbagai bidang, sekali gus mempertahankan kepentingan negara," katanya.

    Takiyuddin turut mempersoalkan laporan bahawa kabinet tidak membincangkan kenyataan Anwar mengenai Taiwan dalam mesyuaratnya.

    Menurut Takiyuddin, perkara itu menimbulkan persoalan mengenai koordinasi dan tanggungjawab kolektif anggota kerajaan berhubung dasar luar negara.

    Pada masa sama, PAS berpandangan Malaysia tidak seharusnya dipaksa memilih antara Beijing dan Taipei atau antara Beijing dan Washington.

    Sebaliknya, kata Takiyuddin, Malaysia perlu menggunakan kedudukannya untuk mendorong pihak-pihak terbabit mencari titik pertemuan yang boleh menguntungkan semua pihak.

    "Situasi ketegangan semasa ini yang turut dipengaruhi oleh perkembangan politik domestik kedua-dua pihak tidak harus diterima sebagai trajektori ke arah konflik yang muktamad dan tidak boleh diterbalikkan," katanya.

    Takiyuddin menambah Malaysia perlu menampilkan kepimpinan yang bijaksana dalam menghadapi pertikaian itu dengan mempertahankan komitmen diplomatik sedia ada dan pada masa sama memelihara ruang strategik negara.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah