26.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, August 22, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Mesej di sebalik peningkatan murid Melayu di SJKC

    Shopee Sale

    ULASAN | Suatu ketika dahulu, ibu bapa Melayu yang menghantar anak ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dianggap membuat pilihan luar biasa. Kini, fenomena itu bukan lagi terpencil.

    Di bandar mahupun di pekan kecil, bilangan murid Melayu di SJKC semakin meningkat sehingga ada sekolah yang majoriti muridnya terdiri daripada orang Melayu.

    Statistik Kementerian Pendidikan (KPM) juga menunjukkan peningkatan berterusan dalam pendaftaran murid Melayu di SJKC sejak beberapa tahun lalu.

    Fenomena ini wajar dilihat secara rasional, bukan melalui lensa politik atau sentimen perkauman. Setiap ibu bapa mempunyai impian yang sama iaitu menyediakan pendidikan terbaik demi masa depan anak-anak.

    Apabila semakin ramai membuat pilihan yang sama, tentu ada faktor-faktor yang mendorong keputusan itu.

    Penguasaan bahasa Mandarin

    Faktor paling ketara ialah penguasaan bahasa Mandarin. Dunia sedang berubah. Negara China muncul sebagai antara kuasa ekonomi terbesar dunia, manakala syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa semakin menghargai pekerja yang mampu berkomunikasi dalam lebih daripada satu bahasa.

    Bagi ramai ibu bapa kaum Melayu, bahasa Mandarin (Cina) bukan lagi sekadar bahasa sesuatu kaum, sebaliknya sudah menjadi modal insan yang mampu membuka pintu kerjaya dan peluang perniagaan pada masa depan. Bahasa ialah jambatan; maka semakin banyak bahasa dikuasai, semakin luas ufuk kehidupan seseorang.

    Selain bahasa, SJKC sering dikaitkan dengan budaya pembelajaran yang menekankan disiplin, ketekunan, dan latihan berterusan. Ramai ibu bapa beranggapan bahawa murid di SJKC didedahkan kepada kerja rumah yang konsisten, penguasaan subjek Matematik yang mantap, serta penekanan terhadap kemahiran menyelesaikan masalah.

    Walaupun persepsi ini mungkin tidak seragam bagi semua sekolah, imej tersebut telah lama terbina dalam masyarakat. Malah, beberapa kajian mendapati antara faktor utama pengundian SJKC ialah persepsi terhadap kualiti pengajaran, kemudahan sekolah, dan budaya akademik yang kukuh.

    Tidak kurang penting ialah faktor persekitaran sekolah. Banyak SJKC mendapat sokongan kuat daripada komuniti setempat dan bekas murid. Hasilnya, sebahagian sekolah mempunyai kemudahan fizikal yang baik, program kokurikulum yang aktif, dan budaya gotong-royong yang kukuh.

    Apabila ibu bapa melihat sekolah yang bersih, tersusun, dan bertenaga, mereka secara semula jadi berasa lebih yakin untuk menghantar anak ke situ.

    Sudah tentu keadaan ini tidak berlaku di semua SJKC, sebagaimana tidak semua Sekolah Kebangsaan (SK) menghadapi masalah yang sama. Namun begitu, persepsi awam terbentuk berdasarkan pengalaman yang dikongsi dari semasa ke semasa, termasuk menerusi media sosial.

    Kesan positif

    Kesan positif kepada anak-anak Melayu yang belajar di SJKC juga tidak terhad kepada aspek akademik. Mereka membesar dalam suasana pelbagai budaya sejak usia muda. Mereka belajar menghormati perbezaan bahasa, adat, makanan, dan sambutan perayaan tanpa perlu dipaksa melalui slogan perpaduan yang klise.

    Anak-anak Melayu ini mengalami sendiri kehidupan bersama rakan-rakan daripada latar budaya yang pelbagai. Pengalaman harian seperti berkongsi meja, menyiapkan tugasan berkumpulan, dan bermain pada waktu rehat menjadi pendidikan sivik yang paling berkesan.

    Dalam konteks ini, anak-anak Melayu yang belajar di SJKC lazimnya menjadi lebih yakin untuk berinteraksi dengan masyarakat berbilang kaum. Mereka tidak melihat kepelbagaian sebagai ancaman, sebaliknya sebagai realiti kehidupan Malaysia. Kemahiran sosial seperti ini sukar diukur melalui peperiksaan, namun amat bernilai apabila mereka melangkah ke alam universiti dan dunia pekerjaan.

    MENARIK:  Penduduk Kg Papan demo depan pejabat pemilik tanah

    Walau bagaimanapun, gambaran ini tidak seharusnya terlalu diromantiskan. Belajar di SJKC bukan jalan mudah. Murid kaum Melayu yang tidak mempunyai asas bahasa Mandarin sering menghadapi cabaran besar pada tahun-tahun awal persekolahan.

    Beban kerja yang tinggi, keperluan menguasai tiga bahasa, serta sokongan pembelajaran di rumah menjadi faktor penting dalam isu ini. Guru-guru sendiri pernah menyuarakan kebimbangan bahawa terdapat ibu bapa yang menghantar anak ke SJKC sekadar mengikut trend tanpa menyediakan sokongan sewajarnya. Akibatnya, ada murid yang tercicir dan hilang keyakinan diri.

    Persoalan yang lebih sukar ialah mengapa sebahagian ibu bapa Melayu semakin kurang berminat menghantar anak ke SK. Jawapannya bukan semudah mengatakan SK gagal atau SJKC lebih unggul. Hakikatnya, banyak SK di Malaysia masih cemerlang dalam akademik, sukan, inovasi, dan pembangunan sahsiah. Ramai tokoh negara lahir daripada SK.

    Namun demikian, persepsi masyarakat terbentuk melalui pengalaman sebenar dan cerita yang berulang. Sebahagian ibu bapa beranggapan, terdapat SK yang kurang menekankan disiplin, berhadapan isu kemudahan, atau gagal meyakinkan mereka bahawa anak-anak akan memperoleh nilai tambah yang setanding dengan penguasaan bahasa Mandarin di SJKC.

    Tambahan pula, apabila lebih ramai kenalan menghantar anak-anak ke SJKC dan berkongsi pengalaman positif, fenomena itu berkembang seperti kesan domino. Keputusan pendidikan akhirnya dipengaruhi bukan sahaja oleh data tetapi juga oleh kepercayaan dan pengalaman komuniti.

    Fenomena ini sepatutnya menjadi cermin kepada sistem pendidikan negara. Jika semakin ramai ibu bapa memilih SJKC, persoalan yang perlu ditanya bukan mengapa mereka meninggalkan SK, tetapi apakah yang boleh dipelajari oleh SK daripada kekuatan SJKC.

    Persaingan yang sihat akan menguntungkan semua pihak. Jika budaya disiplin, penguasaan bahasa tambahan, penglibatan komuniti, dan kecemerlangan akademik dapat diperkasakan di semua aliran sekolah, termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), ibu bapa pelbagai kaum tidak lagi perlu membuat pilihan berdasarkan persepsi bahawa satu sistem lebih baik daripada yang lain.

    Kita perlu menerima hakikat bahawa pendidikan bukan pertandingan antara SK dengan SJKC. Pendidikan ialah usaha membentuk manusia. Seorang anak yang menguasai beberapa bahasa, menghormati kepelbagaian budaya, berfikiran terbuka, berdisiplin, dan mempunyai asas ilmu yang kukuh, pasti akan menjadi aset kepada negara tanpa mengira aliran sekolahnya.

    Pada masa sama, trend peningkatan murid kaum Melayu di SJKC sebenarnya membawa satu mesej yang jelas: Ibu bapa hari ini semakin pragmatik. Mereka memilih berdasarkan apa yang mereka percaya terbaik untuk anak-anak, bukan semata-mata berdasarkan tradisi atau sentimen.

    Maka, cabaran sebenar ialah memastikan setiap aliran sekolah di Malaysia—SK, SJKC, SJKT—mampu memberikan keyakinan yang sama kepada setiap keluarga dalam aspek pendidikan.


    UTHAYA SANKAR SB adalah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah