Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menggantung tiga pemain Argentina berikutan penglibatan mereka dalam pergaduhan di penghujung perlawanan akhir Piala Dunia menentang Sepanyol bulan lepas.
Mereka turut didenda susulan tindakan mempamerkan kain rentang Kepulauan Falkland selepas kemenangan separuh akhir ke atas England, lapor PA Media/dpa.
Pemain tengah, Leandro Paredes, menerima hukuman paling berat iaitu gantung 10 perlawanan dan denda AS$90,000 manakala pemain pertahanan, Nahuel Molina, dikenakan penggantungan tujuh perlawanan dan didenda dengan jumlah yang sama.
Thiago Almada pula digantung satu perlawanan dan didenda AS$30,000 kerana tidak menunjukkan semangat kesukanan. Penolong Jurulatih Argentina Roberto Ayala pula digantung tiga perlawanan dan didenda dengan jumlah yang sama.
Pemain Sepanyol, Gavi, turut dikenakan penggantungan satu perlawanan dan denda AS$30,000 atas kelakuan tidak bersemangat sukan.
Sementara itu Persatuan Bola Sepak Argentina didenda AS$321,000 atas beberapa pelanggaran peraturan, termasuk tindakan mempamerkan kain rentang tanpa kebenaran.





