Urusan permohonan penggajian pekerja asing mulai hari ini dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian menerusi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), sekali gus menggantikan kaedah permohonan secara manual atau hadir sendiri.
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan, pendekatan itu bertujuan mengurangkan keperluan majikan hadir berulang kali ke pejabat kerajaan, mengurangkan tempoh menunggu serta menjadikan keseluruhan proses lebih tersusun, mematuhi tatakelola dan selesa.
Bagaimanapua, Kesuma memaklumkan pendigitalan proses terbabit tidak bermaksud syarat penggajian pekerja asing dilonggarkan.
"Semua permohonan masih tertakluk kepada penelitian, undang-undang, syarat kelayakan, dasar penggajian pekerja asing serta semakan oleh agensi kawal selia (AKS) yang berkaitan," menurut kenyataan itu.
Kesuma memaklumkan proses permohonan bermula daripada majikan mendapatkan kelulusan awal menggajikan pekerja asing di bawah Seksyen 60K, Akta Kerja 1955 sehingga mendapat surat kelulusan bersyarat (SKB), yang boleh diperoleh dalam tempoh 14 hari tertakluk kepada permohonan lengkap serta pematuhan syarat dan kriteria ditetapkan.
Majikan boleh mengakses FWCMS melalui pautan http://www.fwcms.com.my.
Sementara itu, Kesuma memaklumkan pendekatan memudah cara permohonan majikan menerusi pelaksanaan pengagihan kuota secara berfasa diambil bagi melaksanakan pembukaan kuota penggajian 15,000 pekerja asing bagi industri restoran, seperti diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 24 Julai lepas.
"Dalam hal ini, 5,000 kuota pekerja asing melibatkan 1,033 majikan yang telah melalui temu duga mengikut kes sedang diproses untuk kelulusan," katanya.
Kesuma menyarankan majikan yang telah melalui temu duga atau hendak mengemukakan permohonan baharu untuk melengkapkan permohonan melalui FWCMS.
Kementerian itu turut memaklumkan cadangan mewujudkan pusat transit pekerja asing bagi menangani kesesakan kemasukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sedang diperhalusi dan akan dimulakan melalui pelaksanaan projek rintis kelak.





