Pihak produksi ‘Madu atau Racun’ , MIG Production Sdn Bhd tampil memohon maaf kepada penonton dan semua pihak susulan kontroversi membabitkan drama itu yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat.
Dalam kenyataan di media sosial hari ini, MIG Production berkata mereka mengambil maklum isu yang sedang tular dan menghormati pandangan semua pihak berhubung kandungan drama berkenaan.
“Kami memohon maaf kepada seluruh penonton, peminat dan semua pihak yang telah memberikan sokongan terhadap drama Madu atau Racun.
“Kami mengambil maklum terhadap isu yang sedang tular dan telah menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat dengan babak yang dilihat agak keterlaluan untuk tontonan secara umum,” menurut kenyataan itu.
Pihak produksi turut menegaskan tiada niat untuk menyentuh, memperlekehkan atau menimbulkan sebarang kontroversi dengan sengaja.
“Kami memohon maaf dan menghormati pandangan semua pihak dan akan memperbaiki karya kami yang akan datang dan seterusnya mengambil teguran ini sebagai satu pengajaran yang besar,” katanya.
Didakwa timbulkan keresahan masyarakat
Permohonan maaf itu dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan, menolak penayangan drama berkenaan yang didakwa menimbulkan keresahan dan kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Zulkifli berkata pihaknya kesal dengan tindakan menerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.
Menurut Zulkifli, ajaran Islam mengutamakan pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama, manakala pemaparan gaya hidup songsang bertentangan dengan nilai berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menyemak kandungan serta mengambil tindakan susulan berdasarkan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil. 4/2015) dan peruntukan undang-undang sedia ada.
Zulkifli juga menyeru penggiat seni, penerbit dan stesen penyiaran supaya lebih peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya.
Madu atau Racun merupakan drama 12 episod yang disiarkan menerusi iQiyi, platform penstriman milik syarikat China bernama Baidu.
Drama terbitan MIG Production Sdn Bhd itu diterajui pengarah filem David Teo sebagai ketua pegawai eksekutif.
Drama ini mengisahkan Azura (Uqasha Senrose) yang berdepan perubahan hidup selepas suaminya, Adli (Aliff Aziz) , membawa pulang isteri kedua, Nikita (Elisya Sandha), yang sebenarnya musuhnya sejak zaman sekolah.
Terpaksa tinggal serumah, kedua-duanya mula berdepan konflik lama sebelum perlu memilih sama ada terus bermusuhan atau bekerjasama menentang musuh sebenar.
Di platform iQiyi, drama berkenaan diletakkan amaran untuk tontonan penonton berusia 18 tahun dan ke atas sahaja.





