Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membatalkan lesen seekor anjing dan mengenakan kompaun RM250 terhadap pemilik haiwan itu susulan kejadian serangan terhadap seekor anjing liar di Tanjung Bungah di George Town.
Datuk Bandar MBPP Datuk A. Rajendran berkata tindakan itu diambil mengikut Undang-Undang Kecil (Anjing-Anjing) MPPP 1977 susulan kejadian yang tular di media sosial itu.
“Anjing berkenaan masih belum diserahkan kepada pemiliknya yang turut dinasihatkan supaya membuat laporan polis.
“Pemilik anjing itu memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa haiwan berkenaan dibawa berjalan oleh individu lain pada hari kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman video seekor anjing peliharaan menyerang anjing liar hingga menyebabkan kecederaan di Tanjung Bungah dan terdapat seorang lelaki memegang tali anjing peliharaan itu ketika insiden berkenaan.
Kejadian itu turut mencetuskan kebimbangan orang ramai.





