Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan memulakan kerja awal pemuliharaan Tugu Negara bermula minggu depan dengan menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti keadaan dan tahap integriti struktur monumen berusia 60 tahun itu.
Naib Canselor UMK, Prof Arham Abdullah berkata pemeriksaan struktur (dilapidation survey) perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum pihaknya menentukan kerja pemulihan yang diperlukan.
"Minggu depan kita akan melakukan dilapidation survey untuk mengetahui integriti struktur Tugu Negara.
“Kita kemudian akan merancang berdasarkan hasil tinjauan itu dan berharap dapat menyiapkan keseluruhan projek sebelum 31 Ogos tahun depan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Projek selama 12 bulan itu disasarkan siap sebelum 31 Ogos 2027, bersempena sambutan ulang tahun ke-70 kemerdekaan Malaysia.
Ia melibatkan geran AS$250,000 (kira-kira RM1.1 juta) daripada US Ambassadors Fund for Cultural Preservation (AFCP), dengan UMK bertindak sebagai peneraju akademik.
Projek pemuliharaan itu turut dilaksanakan bersempena Freedom 250, sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika Syarikat.
Pengumuman berkenaan dibuat ketika sambutan ulang tahun ke-80 Program Fulbright, yang meraikan lebih enam dekad kerjasama pendidikan antara Malaysia dan AS.
Antara kerja pemuliharaan yang dirancang ialah menstabilkan arca Tugu Negara, membaiki sambungan struktur serta melakukan rawatan patina pelindung (protective patination) bagi melindungi permukaan monumen.
Usaha itu dibuat susulan kesan cuaca tropika selama enam dekad, selain mengambil kira kerosakan akibat pengeboman di Tugu Negara suatu ketika dahulu.
Berdasarkan sumber rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), monumen itu pernah mengalami kerosakan akibat serangan komunis pada awal pagi 26 Ogos 1975.

Arham berkata UMK akan berperananan sebagai rakan penyelidikan dan perkongsian ilmu, dengan memberi tumpuan kepada dokumentasi, penyelidikan serta pemindahan pengetahuan berkaitan teknik konservasi dan pemulihan.
Katanya, kepakaran pakar konservasi AS akan turut dipindahkan kepada ahli akademik dan pelajar tempatan bagi memastikan pengetahuan itu dapat dimanfaatkan selepas projek selesai.
Pakar konservasi daripada U.S. National Park Service akan bekerjasama dengan konservator UMK dan Jabatan Warisan Negara, selain melatih lebih 50 pelajar konservasi serta profesional warisan Malaysia dalam teknik pemuliharaan monumen.
Bukan kerjasama pertama
Menurut Arham, penglibatan UMK dalam projek itu meneruskan kerjasama dengan Kedutaan AS sejak 2018, merangkumi bidang pendidikan, kebudayaan, penyelidikan dan pertukaran ilmu.
Katanya, pengundian UMK bagi projek itu juga mencerminkan keyakinan terhadap kepakaran serta keupayaan universiti itu dalam bidang penyelidikan, seni dan warisan budaya.
Ini bukan kali pertama UMK terlibat dalam projek di bawah AFCP.
Pada 2022, universiti itu menerima RM200,000 menerusi dana berkenaan bagi penyelidikan berkaitan pemeliharaan dan dokumentasi warisan tempatan di Kelantan.
Hubungan Malaysia-AS
Idea pembinaan Tugu Negara tercetus selepas perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melihat monumen Marine Corps War Memorial di Arlington, Virginia ketika melakukan lawatan rasmi ke Washington pada 1960.

Monumen berkenaan dihasilkan pengarca kelahiran Australia dan warga Amerika Syarikat, Felix de Weldon.
Tunku Abdul Rahman kemudian menugaskan de Weldon untuk mereka bentuk Tugu Negara, yang siap pada 1966 bagi memperingati anggota keselamatan yang terkorban ketika Perang Dunia Kedua dan Darurat Malaya.
De Weldon turut dianugerahkan gelaran Tan Sri oleh kerajaan Malaysia.
Sementara itu Penolong Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Pendidikan dan Kebudayaan, Cate Dillon berkata projek itu turut bertujuan membawa kepakaran AS ke Malaysia supaya pengetahuan berkenaan dapat digunakan untuk memulihara Tugu Negara serta monumen lain pada masa depan.
Menurutnya, tenaga tempatan termasuk pekerja dalam bidang seni bina dan pembinaan akan terlibat dalam projek itu, selain mempelajari amalan dan kepakaran daripada U.S. National Park Service.





