Mahkamah Rayuan mengarahkan bekas pengarah urusan sebuah syarikat pelancongan yang didapati bersalah atas 23 pertuduhan berkaitan penipuan pakej umrah ke tanah suci Makkah dan ziarah ke Mesir membabitkan kerugian lebih RM430,000 menjalani hukuman penjara lima tahun bermula hari ini.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azman Abdullah, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dan Dean Wayne Daly membuat keputusan itu sebulat suara selepas membenarkan rayuan Misbahalmunir Omar, 60, terhadap hukuman yang dijatuhkan terhadapnya.
Bagaimanapun, mahkamah menolak rayuan Misbahalmunir terhadap sabitan.
Pada 8 Ogos 2022, Mahkamah Majistret Sungai Petani menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun selepas bekas Pengarah Urusan Syarikat Raudhah Mawaddah Travel & Tours Sdn Bhd itu didapati bersalah memperdaya Perunding dan Mutawwif Umrah Amzari Halim untuk memasukkan wang yang dikutip daripada 202 peserta berjumlah RM434,250 bagi rombongan umrah dan perjalanan ke Mesir.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi di Kedah, Johor dan Selangor di antara 2 Nov 2015 hingga 28 Jan 2016 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sabitan dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Sungai Petani pada 24 April 2024.
Meor Hashimi, yang membacakan keputusan hari ini, berkata sabitan terhadap Misbahalmunir bagi kesemua pertuduhan adalah selamat dan panel itu mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi.
"Pada hemat kami, majistret telah menilai dan menimbangkan kredibiliti saksi-saksi pendakwaan dan dokumen yang dikemukakan... kami dapati majistret telah membuat dapatan yang betul dan berasas iaitu perayu memperdayakan pengadu dengan penganjuran Kembara Mahabbah meskipun perayu mengetahui syarikat miliknya telah digulungkan.
"Kami juga dapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen-elemen penipuan yang dilakukan oleh perayu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu dengan memperdayakan pengadu sehingga menyerahkan wang RM434,250 kepada perayu," katanya.
Beliau berkata perayu juga menolong pengadu mendapatkan peserta bagi Kembara Mahabbah sebelum menerima bayaran di dalam akaun kawalannya dan secara tidak jujur menipu pengadu dengan mengeluarkan jadual perjalanan yang telah diubah suai atau dipinda bagi maksud balasan terhadap duit yang diberikan, dan tindakan perayu menyebabkan kerugian berbentuk wang.
Meor Hashimi berkata mahkamah juga mendapati kesemua pertuduhan terhadap perayu tidak cacat atau defektif dan perayu tidak terkeliru dengan pertuduhan dihadapinya serta telah meletakkan pembelaan lebih awal semasa kes pendakwaan.
"Ini menunjukkan perayu memahami pertuduhan dihadapinya dan oleh itu, tidak timbul pertuduhan cacat atau defektif yang tidak mengandungi butiran yang jelas... pada hemat kami, butiran pertuduhan terhadap perayu adalah jelas dan lengkap serta mematuhi kehendak Seksyen 152 dan 153 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.
Berdasarkan fakta kes, Amzari yang juga pengadu dan saksi pendakwaan kelapan dalam kes itu telah diminta oleh perayu untuk memasukkan wang secara berperingkat ke akaun bank yang diberikan bagi pembelian tiket perjalanan pergi dan balik ke Mesir.
Bagaimanapun, perayu tidak memaklumkan kepada pengadu bahawa syarikatnya telah digulungkan sejak 14 Jan 2015 atas perintah Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Sebaliknya, perayu meminta Amzari memasukkan wang berjumlah RM434,250 ke dalam akaun bank miliknya dan isteri serta pekerja syarikat itu selain menyerahkan jadual perjalanan dan tiket penerbangan kesemua peserta yang dijadualkan berlepas pada 29 dan 30 Jan 2016.
Bagaimanapun, setelah Amzari dan peserta tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, mereka mendapati jadual perjalanan tiket yang dibekalkan oleh Misbahalmunir tidak sah dan tidak wujud sebelum membuat laporan polis.
Pada prosiding hari ini, Misbahalmunir diwakili peguam G. Ravishankar manakala Timbalan Pendakwa Raya Siti Rafidah Zainuddin hadir bagi pihak pendakwaan.





