Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan suaminya, Ramachandran Muniandy, disahkan bercerai selepas 18 tahun mendirikan rumah tangga.
Ketika dihubungi, setiausaha akhbar menteri itu, Ahmad Fazli Mohd Yadi mengesahkan perkembangan berkenaan kepada Malaysiakini.
"Untuk makluman, sah bercerai seperti dalam laporan berita.
"Tiada penjelasan langsung dan kita bagi Hannah sedikit masa," katanya.
Terdahulu, perceraian itu dilaporkan media yang memetik maklumat dari laman web rasmi Yeoh.
Pasangan itu melangsungkan perkahwinan pada Januari 2008 dan dikurniakan dua anak.
Yeoh dan Ramachandran, yang kedua-duanya berusia 47 tahun, dilaporkan mula bertemu di sebuah gereja sebelum bersama-sama menyertai DAP pada 2007.
Kerjaya politik Yeoh bermula di peringkat negeri apabila berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya selama dua penggal dari 2008 hingga 2018.
Pada 2013, dia mencatatkan sejarah apabila dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor wanita yang pertama.
Dia kemudian melangkah ke peringkat Parlimen sebagai Ahli Parlimen Segamat sejak 2018.
Di peringkat kerajaan persekutuan, Yeoh pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 2018 hingga 2020, sebelum dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan (2022–2025).
Dia seterusnya memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bermula Disember 2025.





