Penahanan dua pengendali podcast - penerbit The Gut Shot, Shamsul Saad dan penerbit Let's Get It, Bryan Kong - berhubung kenyataan yang menyentuh isu kaum, agama dan politik mencetuskan perdebatan mengenai had kebebasan bersuara di Malaysia.
Shamsul dan Kong ditahan pada 6 Ogos dan direman selama dua hari berhubung satu episod podcast Kong yang menampilkan Shamsul, bertajuk Malaysia Introduced Me to Racism.
Sebelum ini, Kong serung tersilap dikenal pasti oleh beberapa media sebagai pelawak tempatan Brian Tan.
Episod itu disiarkan pada 2 Julai lalu, namun klip video berkenaan mula tular dalam kalangan kelompok konservatif minggu lalu, sekali gus mencetuskan kemarahan berhubung kenyataan Shamsul mengenai agama.
Dalam wawancara itu, Shamsul menyalahkan dasar berasaskan kaum, pemansuhan sekolah aliran Inggeris, serta penekanan berlebihan terhadap subjek agama yang dimulakan ketika tempoh perkhidmatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Pendidikan dari 1986 hingga 1991, yang menurutnya melahirkan kemerosotan dan merendahkan piawaian negara.
Sambil menonjolkan tekanan agama yang semakin meningkat, dia berkongsi bahawa anak perempuannya meletakkan jawatan sebagai pengawas sekolah berikutan penguatkuasaan pemakaian tudung. Dia turut mengkritik ahli politik bukan Islam yang memakai tudung semata-mata untuk meraih undi, dengan menyifatkan mereka sebagai satu penghinaan terhadap wanita Muslim yang menentang mandat sedemikian.

Dia juga mendesak agar perombakan struktur secara menyeluruh dilakukan merentasi sistem di Malaysia, termasuk undang-undang kesaksamaan peluang yang diwajibkan dari segi undang-undang serta pemansuhan parti politik berasaskan agama.
Kenyataan itu membawa kepada siasatan di bawah tiga seksyen Kanun Keseksaan yang merangkumi kenyataan yang menyakitkan perasaan agama, menyebab rasa tidak tenteram, dan kesalahan menghasut terhadap negara atau ketenteraman awam.
Kong dan Shamsul turut disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, yang merangkumi penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Dalam satu video beberapa hari selepas dibebaskan daripada tahanan polis, Shamsul mengecam kerajaan kerana menggunakan taktik "Gestapo" dan Akta Hasutan untuk menghukum dua individu semata-mata kerana berkongsi pandangan peribadi.
Shamsul juga membangkitkan isu penguatkuasaan terpilih oleh pihak berkuasa, dengan menunjukkan bahawa individu lain yang berdepan banyak laporan polis tidak pernah direman, sebelum berikrar untuk terus berjuang menentang penindasan politik demi menyelamatkan negara.
Persoal taktik polis
Ketika bercakap kepada Malaysiakini, peguam pasangan itu ,Siti Kasim mempersoalkan mengapa kedua-dua mereka dilayan secara berbeza.
Walaupun Shamsul menjadi subjek utama kontroversi, polis membenarkannya menetapkan janji temu untuk hadir memberi keterangan.
Sebaliknya bagi Kong yang bertindak sebagai peengacara menyaksikan seramai 10 anggota polis hadir ke rumahnya untuk membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.
Shamsul pula ditahan apabila dia memutuskan untuk hadir lebih awal di balai polis bagi menyokong Kong.

Siti mempersoalkan sama ada perbezaan layan terhadap kedua-dua lelaki itu disebabkan perbezaan etnik mereka.
“Seorang peserta diberi kelonggaran untuk mengatur masa memberikan kenyataan, manakala seorang lagi didatangi kehadiran polis yang ramai di rumahnya dan dipaksa mengikut polis ke balai.
“Pihak berkuasa mesti menjelaskan perbezaan ini secara objektif. Etnik tidak boleh sekali-kali mempengaruhi bagaimana budi bicara polis dilaksanakan,” katanya.
Pihak polis belum memberikan maklum balas terhadap permohonan ulasan daripada Malaysiakini.
Siti seterusnya berkata kawalan institusi yang lebih besar adalah wajar memandangkan pengadu dilaporkan berasal daripada pihak berkuasa agama.
“Badan agama negeri amat berkuasa. Ia sepatutnya mampu menjawab kritikan dengan fakta dan akal fikiran.
“Ia tidak sepatutnya kelihatan menggunakan sistem keadilan jenayah untuk melindungi dirinya, agama, atau ortodoksi agama daripada penelitian,” tegasnya.
Mana kebebasan bersuara?
Secara berasingan, bekas pengerusi Badan Peguam Selangor Kokila Vaani Vadiveloo berkata Akta Hasutan tidak sepatutnya digunakan setiap kali ucapan menyentuh isu sensitif seperti kaum atau agama.

Dia berkata perbincangan Kong dan Shamsul berkisar pada pengalaman peribadi dan ulasan sedemikian, sekurang-kurangnya secara prima facie, harus dibezakan daripada serangan terhadap kaum atau agama tertentu.
Dia merujuk kepada tindakan Singapura memansuhkan Akta Hasutan pada 2022, dengan menyatakan bahawa negara itu mengekalkan kesalahan yang lebih khusus berkaitan keharmonian kaum atau agama yang serius, mengapi-apikan, atau mendorong kepada keganasan, dan pelanggaran ketenteraman.
Kokila berkata kebimbangan utama dalam kes ini adalah di mana garisan penamat perlu ditarik antara kritikan terhadap komuniti agama dan kritikan terhadap penggunaan atau prestasi politik agama.
Sementara itu, pengarah eksekutif Pusat Kewartawaan Independen (CIJ) Wathshlah Naidu menyifatkan tindakan polis terhadap Kong dan Shamsul sebagai “sangat tidak proporsional”.
Sambil berhujah bahawa penahanan itu kelihatan seperti respons terhadap kemarahan awam, dia berkata isu yang dibincangkan adalah sensitif dari segi politik tetapi tidak semestinya membawa kepada hasutan.

Dia turut mempersoalkan keperluan menahan kedua-dua individu itu selama dua hari, sambil merampas telefon bimbit dan perananti lain milik mereka.
Siti, Kokila, dan Wathshlah bersetuju bahawa Malaysia kemungkinan akan melihat lebih banyak kes melibatkan ucapan kontroversi melainkan terdapat perubahan bermakna terhadap undang-undang dan amalan penguatkuasaan.
Wathshlah berkata isu ini pada dasarnya adalah isu politik, institusi, dan undang-undang, memandangkan perpecahan kaum dan agama di Malaysia bertembung dengan kepentingan politik yang bersaing, manakala kerangka undang-undang sedia ada memberi kuasa luas kepada negara ke atas ucapan.
“Masalahnya adalah berangkai. Oleh itu, terdapat keperluan untuk menangani punca utama perpecahan, bukannya mencari penyelesaian sementara,” jelanya.
Dia menggesa kerajaan untuk menggalakkan budaya berdebat, membantah, dan memberi penjelasan, serta hanya menggunakan tindakan undang-undang apabila benar-benar perlu.





