32 C
Kuala Lumpur
Wednesday, August 12, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Adun Semambu gesa PKR siasat dakwaan penerima bantuan didaftar masuk parti

    Shopee Sale

    Adun Semambu Chan Chun Kuang dari PKR menggesa parti itu menjalankan siasatan berhubung dakwaan penerima bakul makanan di kawasan Indera Mahkota didaftarkan sebagai anggota parti itu tanpa pengetahuan mereka.

    Chan berkata dia memandang serius dakwaan yang tular di media sosial itu dan menegaskan bantuan kepada rakyat tidak sepatutnya dijadikan medium untuk mendapatkan keahlian atau sokongan politik.

    "Sebagai wakil rakyat daripada PKR, saya ingin menegaskan bahawa saya sama sekali tidak bersetuju sekiranya bantuan kepada rakyat dijadikan medium untuk mendapatkan keahlian atau sokongan politik," katanya dalam kenyataan hari ini.

    Gesaan itu dibuat susulan dakwaan beberapa penduduk yang menerima kotak bantuan di Perkampungan Cenderawasih, Kuantan, bahawa mereka diminta memberikan kad pengenalan atau nombor telefon ketika mengambil bantuan sebelum menerima mesej berbentuk nombor OTP (one-time password) untuk mengakses laman web rasmi PKR.

    Terdahulu Malaysiakini melaporkan beberapa penerima mendakwa dia diminta hadir mengambil kotak bantuan pada Ahad lalu dan kad pengenalannya diambil gambar oleh petugas ketika beratur.

    Menurut salah seorang penerima yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 41, apabila ditanya, petugas memberitahu gambar kad pengenalan itu diperlukan untuk tujuan rekod.

    Bagaimanapun, pada malam hari yang sama, Siti berkata dia menerima mesej ringkas mengandungi nombor OTP selepas memberikan nombor telefonnya kepada petugas.

    Tidak pernah ajak sertai parti

    Sementara itu, wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Perkampungan Cenderawasih, Mohd Asyraf Ibrahim, turut menyatakan kekecewaan terhadap dakwaan berkenaan.

    Katanya, penduduk di kawasan itu selama ini tidak menjadikan perbezaan parti sebagai halangan dalam pengagihan bantuan dan pengagihan kotak bantuan kepada penduduk yang layak di Cenderawasih sememangnya dilakukan menerusi Chan.

    MENARIK:  Hentikan dulu program politik besar-besaran - Rafizi

    Asyraf berkata inisiatif itu sebelum ini berjalan tanpa masalah dan mendakwa Chan tidak pernah mengajak penduduk menyertai PKR ketika menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.

    Sementara itu, Chan ketika dihubungi Malaysiakini berkata dia tidak mempunyai maklumat mengenai program di Perkampungan Cenderawasih pada pagi Ahad lalu.

    Pengurus Pusat Komuniti Madani Indera Mahkota, Saifulzaman Mahmood, pula menafikan dakwaan bahawa penduduk kampung ditipu untuk mendapatkan bantuan.

    Menurutnya, pendaftaran anggota parti dilakukan secara berterusan oleh Pemuda PKR Indera Mahkota dan petugas akan memaklumkan tarikh pendaftaran kepada mereka yang berminat.

    Katanya, terdapat perbezaan antara "Kotak Madani" dengan "kotak khusus parti" yang disediakan untuk anggota lama dan baru.

    Mengulas lanjut, Chan berkata, bantuan kepada rakyat seharusnya diberikan berdasarkan keperluan dan keadaan penerima tanpa mengambil kira latar belakang, kaum, agama atau kecenderungan politik.

    Katanya, penyertaan dalam parti politik pula seharusnya dibuat atas dasar keyakinan terhadap idealisme, prinsip dan wawasan yang diperjuangkan.

    "Bukan dipancing melalui bantuan kewangan, barangan atau apa-apa bentuk habuan," katanya.

    Chan turut menyeru pihak parti menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat pelanggaran prinsip atau tatacara ditetapkan.

    Dia berkata langkah itu penting bagi memastikan segala dakwaan dapat diperjelaskan selain memelihara nama baik dan integriti parti.

    "Kita perlu memastikan bahawa bantuan kepada rakyat kekal sebagai tanggungjawab dan amanah, bukannya dijadikan alat politik.

    "Pada masa sama, nama baik serta integriti parti hendaklah sentiasa dipelihara," katanya.

    Chan menegaskan bantuan merupakan hak mereka yang memerlukan, manakala keahlian parti perlu lahir daripada keyakinan dan kesedaran, bukan kerana habuan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah