Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakannya menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri berkenaan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama-sama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin, memerintahkan kerajaan negeri membayar kos sebanyak RM50,000.
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Hakim Rhodzariah memutuskan bahawa kerajaan negeri gagal memenuhi syarat ambang di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.
Kerajaan Negeri Kedah memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi memihak kepada ejen pertaruhan nombor ramalan, syarikat serta pegawai utama mereka dalam mencabar arahan kerajaan negeri berkenaan.





