Sebuah mahkamah di Syria menjatuhkan hukuman mati ke atas bekas presiden negara itu, Bashar al-Assad, pada Selasa menerusi perbicaraan tanpa kehadiran tertuduh (in absentia), selepas mendapati dia bersalah atas jenayah pembunuhan, penyeksaan dan penangkapan secara sewenang-wenangnya sepanjang peranang hampir 14 tahun di negara itu, lapor Reuters.
Ini merupakan sabitan pertama ke atas dirinya yang ditumbangkan menerusi serangan kumpulan penentang pada Disember 2024.
Kejatuhan itu menamatkan pemerintahan kuku besi keluarganya selama berdekad-dekad serta peranang kejam yang mengorbankan ratusan ribu rakyat Syria.
Dia melarikan diri dari ibu negara Damsyik sewaktu pejuang penentang menghampiri bandar berkenaan hampir dua tahun lalu, dan kini berada di Moscow.
Dalam perbicaraan yang melibatkan bekas pegawai kerajaan pada Selasa, seorang hakim menjatuhkan hukuman mati ke atas dirinya atas kesalahan "pembunuhan yang dirancang ke atas lebih daripada seorang individu dan kanak-kanak, penyeksaan, penangkapan secara sewenang-wenangnya serta jenayah terhadap kemanusiaan".
Atef Najib, seorang pegawai keselamatan bawah pentadbirannya, turut dijatuhi hukuman mati.
Bashar al-Assad, yang dilahirkan pada 1965, menjadi presiden pada 2000 selepas kematian bapanya, Hafez. Dia mengekalkan cengkaman pemerintahan keluarga dan dominasi mazhab Alawite di negara yang majoritinya beragama Islam Sunni itu, serta status Syria sebagai sekutu Iran yang menentang Israel dan Amerika Syarikat.
Dibentuk pada tahun-tahun terawal oleh Perang Iraq dan krisis di Lubnan, kepimpinannya akhirnya dicorakkan oleh peranang saudara yang meletus akibat 'Kebangkitan Arab' pada 2011, apabila rakyat Syria turun ke jalanan menuntut demokrasi namun ditindas dengan kekerasan yang meragut nyawa.





