NGO Sisters in Islam (SIS) menggesa kerajaan untuk menjadi lebih giat, dan bukan hanya berkata-kata, dalam menangani isu-isu yang penting membabitkan wanita beragama Islam.
Pengarah Eksekutif SIS Rozana Isa antaranya menegaskan ada keperluan mendesak untuk pengumpulan data menyeluruh oleh kerajaan dan prosedur perundangan yang berkesan bagi menjamin hak kewangan dan penjagaan kanak-kanak untuk wanita di mahkamah syariah.
Rozana turut menggesa tindakan segera dan nyata dilakukan bagi menamatkan diskriminasi dan menjamin hak wanita.
"Halangan yang dihadapi wanita Muslim sangat besar namun bukannya tidak dapat diatasi. Dengan tekad politik yang teguh dan reformasi struktur, perubahan adalah sesuatu yang tidak mustahil," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia berkata antara reformasi penting yang perlu dilaksanakan adalah menaikkan had umur perkahwinan, menghapuskan mutilasi alat kelamin wanita (FGM) serta meningkatkan kesedaran berkenaan kesan buruknya serta mewujudkan garis panduan jelas bagi melindungi autonomi wanita dan memastikan proses membuat keputusan yang saksama dalam hal ehwal keluarga.
Reformasi lain yang dibangkitkan Rozana adalah pemiawaian undang-undang syariah di seluruh negara, penguatkuasaan undang-undang yang saksama di mahkamah syariah, pengawalaturan dalam soal poligami, menghalang ketidakadilan berdasarkan gender dan memperkemas proses penceraian bagi mengurangkan beban wanita yang ingin berpisah dengan pasangannya.
Mengulas lanjut, Rozana berkata wanita yang memohon penceraian sehingga kini terpaksa melalui proses yang panjang dan sulit di mahkamah.
"Wanita Muslim yang memohon cerai secara fasakh, walaupun berhak untuk memfailkan bagi hal-hal tambahan, sering tidak menggunakan hak ini ekoran kerumitan dalam proses penceraian.
"Sistem perundangan syariah sekarang tidak membantu wanita dalam menuntut hak mereka, sebaliknya memaksa mereka melepaskan hak-hak ini.
"Wanita dari keluarga berpendapatan rendah mungkin melihat usaha-usaha ini sia-sia sementara mereka daripada keluarga berpendapatan tinggi dan sederhana turut berdepan tekanan serupa, terutama apabila mereka dapat kurang 30 peratus daripada harta sepencarian.
"Pembahagian harta sepencarian yang tidak konsisten terus menghindar wanita yang sudah bercerai daripada menuntut hak mereka," kata Rozana lagi.
Justeru, Rozana berkata komitmen Malaysia dalam mendepani cabaran ini akan menentukan hala tujunya ke arah kesamaan gender.
"Kerajaan perlu bertindak dengan tekad, memastikan prinsip kesamaan dan keadilan untuk semua wanita bukan sekadar idealisme, tetapi sebagai realiti.
"Jalan ke arah kesamaan menuntut dedikasi tak berbelah bahagi ke arah undang-undang yang saksama, yang akan menegakkan prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Wanita-wanita Muslim bersatu dalam kepercayaan mereka, yang melangkaui sempadan kewarganegaraan, kaum dan pegangan mereka. Amat penting untuk mendepani jurang dalam perundangan yang dihadapi mereka di banyak negeri," katanya lagi.





