Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) telah mengemukakan memorandum bantahan kepada Suruhanjaya Tinggi Australia, membangkitkan kebimbangan terhadap operasi berterusan Lynas Rare Earths Ltd di Malaysia.
Memorandum yang ditujukan kepada duta Australia itu diserahkan di Suruhanjaya Tinggi di Kuala Lumpur pada 28 April dan diterima oleh wakil keselamatan, menurut Presiden Mapim, Azmi Abdul Hamid.
Dalam dokumen tersebut, Mapim menekankan kebimbangan berpanjangan berkaitan alam sekitar dan kesihatan awam yang dikaitkan dengan kemudahan pemprosesan Lynas di Gebeng, Pahang, khususnya pengendalian sisa radioaktif.
Kumpulan itu memberi amaran bahawa pengumpulan sisa yang mengandungi thorium yang radioaktif dan bahan berkaitan, bersama ketiadaan penyelesaian pelupusan kekal, menimbulkan risiko jangka panjang terhadap air bawah tanah, integriti tanah, ekosistem serta komuniti berhampiran.

Mapim juga mempersoalkan sikap Australia yang berat sebelah dalam mengeksport proses industri berbahaya ke negara membangun.
“Kami dengan hormat menyatakan bahawa Malaysia tidak seharusnya terdedah kepada risiko alam sekitar yang sebaliknya akan berdepan pengawasan peraturan lebih ketat di negara asal (Australia),” katanya.
Lynas melombong mineral nadir bumi (REE) dari Mt Weld di Australia Barat, memprosesnya, sebelum dihantar untuk penapisan dan pengasingan menjadi oksida nadir bumi di Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Pahang.
Kilang Lynas itu telah berdepan tentangan ketara daripada aktivis alam sekitar, khususnya berhubung isu pelupusan sisa radioaktif daripada proses pemurnian larut air (WLP).

Kerajaan Malaysia sebelum ini memberikan lanjutan lesen selama 10 tahun kepada kemudahan tersebut bermula 3 Mac, dengan syarat ia mengurangkan tahap radioaktiviti sisa WLP di bawah had kawal selia dengan mengekstrak unsur radioaktif thorium daripada sisa tersebut.
Lynas juga dikehendaki melengkapkan proses pengekstrakan thorium di Australia sebelum dihantar ke Malaysia untuk pemprosesan lanjut.
Selain isu alam sekitar, Mapim turut membangkitkan kebimbangan etika berkaitan rantaian bekalan nadir bumi (REE) global, dengan menyatakan bahan yang diproses di Malaysia itu penting untuk kemajuan teknologi ketenteraan terkini.
Merujuk kepada pembunuhan genosid berterusan di Palestin serta konflik yang semakin memuncak melibatkan Iran, Mapim berkata pihaknya mempunyai “kebimbangan sah” bahawa unsur nadir bumi yang diproses di Malaysia mungkin secara tidak langsung menyumbang kepada aktiviti ketenteraan yang dikaitkan dengan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa atau peluasan ketenteraan.

“Mapim dengan tegas percaya bahawa aktiviti ekonomi yang dijalankan di Malaysia tidak seharusnya dikaitkan, secara langsung atau tidak langsung, dengan sistem yang mengekalkan keganasan, ketidakadilan atau penderitaan manusia,” tegasnya.
Bulan lalu, Lynas memuktamadkan perjanjian dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat untuk membekalkan mineral nadir bumi kepada sektor pertahanan negara itu selama empat tahun.
Lynas juga merancang meningkatkan pemprosesan pekatan lanthanide daripada 95,000 tan setahun kepada 110,000 tan setahun serta pengenalan 69,000 tan setahun karbonat nadir bumi campuran dari fasiliti Lynas di Kalgoorlie, Australia, dengan maklum balas awam dibuka hingga 24 Mei.
Laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling (EIA) setebal 770 halaman bagi cadangan meningkatkan pengeluaran di kilang Lynas Advanced Materials Plant di Gebeng, Pahang dipamerkan kepada orang ramai sehingga 9 Mei serta boleh diakses secara dalam talian (tanpa muat turun) selepas pendaftaran di laman web Jabatan Alam Sekitar serta dirujuk di pejabat berkaitan di Putrajaya dan Kuantan.

Laporan itu juga boleh dirujuk di ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar di Putrajaya dan Kuantan, selain di pejabat Majlis Perbandaran Kuantan.
Sebelum ini, Mapim menggesa Putrajaya supaya segera mengaudit operasi dan saluran eksport Lynas, menggantung sebarang bekalan yang berkaitan dengan penggunaan ketenteraan, serta mengenakan kawalan ketat terhadap eksport mineral strategik.
Dalam memorandumnya, Mapim menggesa kerajaan Australia untuk:
-
memastikan pematuhan penuh terhadap piawaian alam sekitar antarabangsa,
-
mewujudkan penyelesaian telus dan kekal bagi pelupusan sisa radioaktif,
-
mendedahkan rantaian bekalan penggunaan akhir bahan nadir bumi yang diproses di Malaysia,
-
memastikan bahan tersebut tidak digunakan dalam aplikasi ketenteraan yang boleh menyumbang kepada pelanggaran undang-undang antarabangsa, dan
-
meningkatkan penglibatan dengan masyarakat sivil Malaysia, komuniti terjejas serta pakar bebas.

“Perkara ini amat penting kepada rakyat Malaysia.
“Ia bukan sahaja menyentuh soal keselamatan alam sekitar, tetapi juga maruah negara, tanggungjawab etika dan keadilan global,” kata kumpulan itu.
Tambahnya, pihaknya kekal terbuka untuk dialog dengan kerajaan Australia berhubung perkara tersebut.
Malaysiakini telah menghubungi Lynas untuk mendapatkan maklum balas lanjut.
Bulan lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menegaskan sisa WLP hanya mengandungi 6 becquerel bagi setiap gram, yang diklasifikasikan sebagai “sisa tahap sangat rendah” mengikut panduan keselamatan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Tahun lalu, dia memberitahu Dewan Rakyat bahawa Lynas dikehendaki mematuhi pelan pengurusan sisa radioaktif Jabatan Tenaga Atom yang merangkumi pematuhan undang-undang, pemantauan dan mitigasi risiko.
Menjawab persoalan mengenai pematuhan piawaian antarabangsa, dia menegaskan pihak pengawal selia menjalankan pemeriksaan berkala bagi memastikan syarikat mematuhi Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 serta syarat lesen, selain melakukan pemantauan radiologi di dalam dan di luar kawasan loji.
“Keputusan pemantauan mendapati tiada peningkatan tahap radiasi dan data pendedahan radiasi menunjukkan ia tidak melebihi satu milisievert setahun bagi orang awam dan 20 milisievert setahun bagi pekerja,” katanya seperti dipetik Bernama.
Pada Februari tahun lalu, Lynas Malaysia mengeluarkan kenyataan menyatakan syarikat itu mengekalkan lebih sedekad operasi selamat di negara ini, dengan merujuk kepada sokongan berterusan daripada komuniti tempatan serta penilaian kawal selia yang konsisten kukuh.
Pengeluar nadir bumi itu turut menekankan pengurusan sisa dan produk sampingan, sambil menegaskan ketelusan dalam pelantikan Gading Senggara Sdn Bhd sebagai kontraktor bagi kemudahan pelupusan kekal sisa residu WLP.
Syarikat itu juga merujuk kenyataan Jabatan Alam Sekitar Pahang yang menurutnya mendapati air yang keluar dari Kawasan Perindustrian Gebeng mempunyai kualiti lebih baik berbanding air yang memasuki kawasan tersebut.
Lynas turut memetik dapatan pakar bebas yang dilantik kerajaan, yang menyimpulkan operasinya selamat, mematuhi peraturan, serta sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa yang diguna pakai secara sukarela oleh syarikat berkenaan.
“Data pelaporan alam sekitar dipaparkan secara terbuka di pintu masuk Lynas Malaysia.
“Lebih 10 tahun data ujian saintifik alam sekitar menunjukkan tiada kesan negatif terhadap air atau persekitaran di sekitar kemudahan Lynas Malaysia,” kata syarikat pengeluar nadir bumi itu.
[Baca berita asal]





