29.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 2, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Tiba-tiba terkejut dengan kehidupan malam Bukit Bintang

    Shopee Sale

    ULASAN | Penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave dari 30 April hingga 2 Mei di Bukit Bintang telah mencetuskan pelbagai reaksi. Namun, reaksi itu sebenarnya lebih mencerminkan cara kita berfikir sebagai masyarakat berbanding acara itu sendiri.

    Saya hadir pada hari kedua bersama keluarga, dengan fikiran terbuka. Tujuan saya jelas, untuk melihat sendiri dan memahami situasi sebenar. Tiada kekacauan, tiada adegan melampau seperti yang digembar-gemburkan.

    Seperti yang semua sedia maklum, Bukit Bintang memang pusat utama tumpuan pelancong. Kehidupan malam, kepelbagaian budaya, semua ini sudah lama wujud. Jadi penganjuran acara seperti ini bukan sesuatu yang luar biasa.

    Namun, pelbagai kecaman mula muncul. Ada yang mempolitikkan acara ini seolah-olah ia ancaman besar kepada masyarakat. Boleh difahami, mungkin kerana ada yang tiba-tiba mahu menjadi ‘terpaling’ lantang dalam menjaga nilai.

    Sehari sebelum acara berlangsung, pelbagai pandangan dikeluarkan. Prinsip nilai, adab dan sensitiviti agama dibangkitkan. Malah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan turut menyuarakan kebimbangan bahawa acara ini boleh membawa kemudaratan akhlak.

    Pandangan ini wajar dihormati.

    Tetapi persoalannya mudah. Acara sebesar ini tidak dirancang dalam sehari dua. Ia memerlukan persediaan berbulan lamanya. Jika benar perkara ini membimbangkan, mengapa ada ahli-ahli politik yang hanya muncul pada saat akhir, bersuara seolah-olah merekalah paling lantang mempertahankan nilai?

    Prinsip bermusim

    Kalau benar mahu menjaga nilai, suara itu sepatutnya hadir dari awal, bukan hanya apabila isu sudah mendapat perhatian umum.

    Jangan jadi hipokrit.

    Hakikatnya, penjualan arak adalah sah dan terbuka. Ia ada di kedai seperti 7-Eleven dan KK Mart. Di sepanjang Bukit Bintang pula, bar dan kelab beroperasi setiap hari. Ini bukan perkara bau.

    Jadi mengapa tiba-tiba satu acara dijadikan punca maksiat Baru sedar apa yang berlaku di Bukit Bintang? Atau baru keluar dari gua?

    Jika mahu minum, orang tetap boleh minum. Jika mahu ke kelab, orang tetap boleh ke kelab. Acara ini tidak mengubah realiti itu. Menuduh ia sebagai punca keruntuhan akhlak adalah keterlaluan dan tidak jujur.

    Berhibur tidak salah, tetapi mesti ada batas. Kemajuan boleh diteruskan, tetapi nilai tetap perlu dijaga. Ini bukan soal menolak pandangan agama atau norma masyarakat.

    Kebimbangan itu wajar dihormati. Tetapi prinsip tidak boleh digunakan secara bermusim, hanya apabila isu sudah menjadi tumpuan.

    Kecenderungan mempolitikkan acara ini juga amat ketara. Setiap ruang dijadikan peluang untuk menunjukkan siapa yang terpaling tegas dan siapa yang terpaling menjaga nilai.

    Ingat. Malaysia adalah negara pelbagai kaum dan budaya. Itu hakikat. Mengurus kepelbagaian memerlukan akal yang terbuka, bukan reaksi melulu.

    MENARIK:  Bunuh gajah Borneo: Pemburu haram tergiur harga gading tinggi

    Kita tidak boleh terus berada dalam keadaan reaktif. Tidak semua perkara yang berbeza adalah ancaman. Tidak semua bentuk hiburan membawa kerosakan.

    Kritik itu perlu. Tetapi kritik mesti ada asas. Bukan sekadar untuk meraih perhatian atau keuntungan politik.

    Dalam hal ini, kawalan oleh pihak berkuasa jelas kelihatan. Polis menjalankan tugas dengan baik. Saya yakin agensi seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga turut berada di lapangan sepanjang acara bagi memastikan pemantauan berjalan dengan baik. Ini bukti bahawa acara ini bukan dianjurkan tanpa kawalan.

    Budaya rave bukan sesuatu yang asing. Walaupun berasal dari Barat, kini ia dianjurkan di seluruh dunia, termasuk di negara-negara Islam seperti UAE, Arab Saudi dan Mesir. Malah, Riyadh dan Al-Ula juga pernah menjadi lokasi penganjuran acara berskala besar.

    Jadi mengapa kita terus melihatnya dengan pandangan sempit?

    Hentikan andaian

    Islam tidak melarang orang bukan Islam untuk hidup mengikut cara mereka. Orang Islam pula tidak akan hilang iman hanya kerana melihat atau berada dalam persekitaran berbeza. Iman tidak runtuh hanya kerana menghadiri acara seperti ini.

    Jika ada yang melanggar batas, itu soal individu, bukan acara. Hakikatnya, tanpa festival ini pun, ada yang tetap ke kelab, ke disko, ke rave. Ini bukan isu baru. Jadi jangan berpura-pura terkejut.

    Menutup kawasan Bukit Bintang dan melabelnya sebagai pesta liar juga tidak masuk akal. Jika benar ada salah laku, tunjuk bukti. Adakah ada penggunaan dadah secara terbuka? Adakah orang mabuk bergelimpangan di jalanan?

    Jika tiada, hentikan andaian. Perkara seperti itu berlaku di banyak tempat setiap hari, bukan hanya dalam acara seperti ini.

    Jika benar ada kebimbangan, bangkitkan dari awal. Libatkan diri dalam peranancangan. Bantu bentuk garis panduan. Itu lebih bertanggungjawab.

    Bukan menunggu saat akhir, kemudian mengecam seolah-olah segala-galanya di luar kawalan. Negara ini bangga dengan kepelbagaian budaya, kaum dan agama. Tetapi dalam masa sama, kita cepat melatah apabila berdepan dengan sesuatu yang berbeza.

    Jangan jadi seperti katak di bawah tempurung. Buka minda. Jangan anggap rakyat tidak mampu berfikir.

    Melompat, menari dan bermain air dikatakan seperti hilang akal. Tetapi memanggil orang ke ceramah politik, berjanji dan kemudian tidak menunaikan janji juga tidak jauh bezanya.

    Jadi cukuplah. Kalau mahu jaga nilai, jaga secara konsisten. Kalau tidak, lebih baik diam.


    MAHATHIR MOHD RAIS merupakan bekas setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan dan kini ahli PKR.

    Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah