Hampir 10,000 orang dianggarkan hadir memeriahkan Festival Rain Rave Water yang berlangsung sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur malam tadi.
Kemeriahan itu berlangsung ketika pelbagai pihak mengkritik penganjurannya namun dipertahankan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing. Dia juga merasmikan festival yang berlangsung sehingga esok.
Festival itu menawarkan persembahan Electronic Dance Music (EDM) dan aktiviti air secara percuma menerusi gabungan muzik, pancuran air dan visual interaktif.
Tinjauan Malaysiakini mendapati festival itu banyak dimeriahkan oleh pelancong asing, dengan majoriti pengunjung terdiri daripada bukan Melayu.
Festival itu dipenuhi limpahan cahaya neon dan dentuman muzik EDM yang bergema untuk dinikmati pengunjung yang kelihatan menari dan melompat mengikut rentak muzik sambil dibasahi tembakan air yang disembur ke arah mereka.
Ia juga menawarkan hiburan daripada artis tempatan dan DJ berprofil tinggi seperti Joe Flizzow, Mimi Fly, Killa Driz dan DJ Cza, selain penampilan kumpulan wanita Dolla serta De Fam.
Festival itu diuar-uarkan menjadi platform inklusif untuk pelbagai peringkat umur dalam industri muzik dengan menampilkan segmen khas “Kids DJ Lineup” yang memberi peluang kepada bakat muda untuk menonjolkan bakat mereka.

Sementara itu Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata pihaknya menganggarkan menjelang tengah malam jumlah yang menyertai festival itu melebih 10,000 orang.
Bagi memastikan festival itu lancar, Fadil berkata, seramai 500 pegawai dan anggota polis termasuk dari Bukit Aman ditempatkan di beberapa lokasi strategik.
Dia turut mengingatkan pengunjung agar mematuhi undang-undang serta tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan gejala tidak bermoral.
“Pengunjung diingatkan memberikan kerjasama sepenuhnya dan tidak membawa sebarang barang larangan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Untuk rekod penganjuran festival itu mengundang pelbagai kecaman termasuk pihak berkuasa agama. Misalnya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Negara hadapi krisis
Menurut Jawi, festival itu mungkin menimbulkan implikasi negatif terhadap pembentukan akhlak serta boleh menghakis nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat.
Pengarah Jawi, Hanifuddin Roslan, berkata pihak penganjur wajar meneliti semula pendekatan yang digunakan.
Menurutnya Islam tidak menolak unsur hiburan, namun pelaksanaannya perlu selaras dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pula secara terbuka membantah penganjuran festival itu kerana dikhuatiri membuka ruang kepada pergaulan bebas sekali gus tidak selari dengan garis panduan agama.
Menurut kenyataan itu, konsep festival air sering dikaitkan dengan pemakaian tidak menutup aurat dan menghidangkan hiburan yang melampau hingga membawa kepada kelalaian terhadap tanggungjawab agama.

Pada masa sama, jabatan itu juga membangkitkan isu pembaziran sumber seperti penggunaan air dan perbelanjaan besar untuk program hiburan ketika negara sedang menghadapi krisis.
Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan menasihatkan supaya umat Islam menjauhi program yang melalaikan dan membawa kepada maksiat.
Namun dalam kenyataan media, Tiong menyanggah pandangan pengkritik dengan menegasjan festival itu adalah acara terbuka yang bersifat sukarela, justeru tidak wajar dijadikan polemik.
Tambah Ahli Parlimen Bintulu itu lagi, mana-mana pihak yang merasakan ia tidak sesuai boleh memilih untuk tidak mengambil bahagian tanpa menafikan hak orang lain atau memaksakan kehendak sendiri.
Tiong turut menegaskan festival berkenaan ialah inisiatif pelancongan bandar yang telah dirancang dengan teliti serta dilaksanakan di bawah pengawasan ketat, bukannya acara “tidak terkawal” atau “tidak teratur” seperti dakwaan pihak tertentu.





