30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 14, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Siasatan awal dapati tiada keterangan cukup dakwa Guan Eng’

    Shopee Sale

    Seorang pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa siasatan awal mendapati tiada keterangan mencukupi untuk mendakwa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam kes rasuah terowong dasar laut di negeri itu.

    Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulhilmi Ramli, 34, berkata beliau mengetahui perkara itu semasa menganggotai pasukan petugas khas siasatan kes berkenaan pada awal Januari 2020 sebelum dilantik sebagai pegawai penyiasat kes itu pada Jun tahun sama.

    "Ketika itu (Januari 2020) terdapat beberapa kertas siasatan dibuka berkaitan kes tersebut yang disiasat oleh empat pegawai penyiasat," katanya ketika disoal balas peguam bela peguam Haijan Omar pada perbicaraan kes rasuah Lim berhubung projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.

    Zulhilmi berkata ketika mengambil alih kes berkenaan, beliau menerima fail siasatan yang mengandungi memo menyatakan kes terhadap Lim dihentikan.

    "Sekiranya terdapat keterangan yang tidak mencukupi, perkara itu perlu dilaporkan kepada ketua jabatan bagi membolehkan saksi-saksi dipanggil semula untuk melengkapkan siasatan," kata saksi pendakwaan ke-38 itu.

    Dalam pada itu, Zulhilmi tidak bersetuju dengan cadangan Haijan bahawa siasatan hanya tertumpu kepada Lim semata-mata, sebaliknya menegaskan siasatan merangkumi semua aspek.

    Sebelum ini, Zulhilmi dalam pernyataan saksinya berkata beliau ada menerima aduan kes itu selepas dilantik sebagai pegawai penyiasat, berikutan siasatan lanjutan pada 2018 dyang mendakwa Lim menyalahgunakan kuasa dan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dalam penganugerahan Projek Pembinaan Tiga Jalan Utama dan Terowong kepada Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd bernilai RM6.7 bilion.

    MENARIK:  'Pihak persoal niat Anwar tak ambil gaji berlagak seperti tuhan'

    Lim, 65, didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta.

    Ia dilakukan dengan membantu syarikat milik bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

    Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

    Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 4 Jun ini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah