30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 14, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Pemandu mabuk perlu dikenakan hukuman lebih tegas – timb menteri

    Shopee Sale

    Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas termasuk hukuman penjara mandatori yang lebih berat terhadap individu yang memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian.

    Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran berkata pesalah yang menyebabkan kematian atau kecederaan serius kepada orang lain juga wajar digantung lesen memandu seumur hidup.

    Katanya kajian menyeluruh terhadap pindaan Akta Pengangkutan Jalan perlu dilaksanakan bagi memperuntukkan hukuman lebih berat dan lebih spesifik terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol serta dadah.

    “Sudah tiba masanya negara mengambil pendirian tegas bahawa memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah bukan sekadar kesalahan jalan raya, sebaliknya ancaman kepada keselamatan awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

    Beliau berkata kerajaan juga disaran mengambil tindakan tegas terhadap premis penjualan arak tanpa lesen termasuk penutupan premis dan pembatalan lesen perniagaan serta larangan penjualan berhampiran kawasan perumahan, rumah ibadat, sekolah dan institusi pendidikan.

    Yuneswaran berkata kerajaan juga perlu meneliti semula had waktu penjualan alkohol serta menghentikan paparan terbuka produk berkenaan di kaunter dan rak jualan seperti kawalan terhadap produk rokok.

    MENARIK:  Hampir 100 tahun, Dr M masih boleh pecut lebih 150km/j 

    “Penjualan alkohol secara 24 jam di kedai runcit perlu dikaji semula dan dihadkan kepada waktu tertentu seperti dilaksanakan di negara jiran. Penguatkuasaan terhadap penjualan alkohol kepada golongan muda juga mesti diperketatkan,” katanya.

    Beliau turut mencadangkan supaya operasi sekatan jalan raya dan pemeriksaan secara besar-besaran dipergiatkan terutama pada waktu malam, hujung minggu serta musim perayaan.

    Terdahulu, beliau menziarahi keluarga mendiang A. Doraisingam dan A. Menagah, pasangan suami isteri yang maut selepas dirempuh pemandu mabuk di Jalan Ampang di Kuala Llumpur, awal bulan ini.

    Yuneswaran berkata tragedi seperti itu tidak boleh terus dianggap sebagai kes terpencil kerana setiap kelemahan penguatkuasaan hari ini boleh menjadi punca kehilangan nyawa dan kehancuran sebuah keluarga pada masa hadapan.

    Beliau turut berharap keadilan sewajarnya dapat ditegakkan buat keluarga mangsa selain menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada tragedi berkenaan demi memastikan keselamatan rakyat terus menjadi keutamaan negara.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah