Seorang penasihat ekonomi di Pejabat Perdana Menteri (PMO) melahirkan kebimbangan orang ramai tidak memberi reaksi serius terhadap krisis ekonomi yang bakal berlaku susulan konflik di Asia Barat.
Bagaimanapun, beberapa pakar lain memberitahu Malaysiakini bahawa reaksi masyarakat itu sebahagiannya berpunca daripada cara kerajaan membentuk naratif berkaitan krisis tersebut.
Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan PMO, Nurhisham Hussein (gambar bawah) pada wawancara bersama BFM yang disiarkan semalam, membandingkan situasi semasa dengan keadaan Malaysia sebelum pandemik Covid-19 melanda.
"Saya rasa seperti kita berada pada Februari 2020, virus baru hendak melanda, kita mendengar semua berita ini, semuanya berjalan seperti biasa tetapi bulan depan kita berada dalam krisis besar.

"Dan walaupun saya tidak akan mengatakan ini memberi kesan dramatik seperti itu, saya mendapat perasaan yang sama dalam erti kata bahawa kita mengambil - baik saya tidak mahu kata memandang ringan perkara ini - tetapi orang ramai terus menjalani kehidupan seperti biasa dan tidak mengubah tingkah laku mereka," katanya.
Tambahnya, sebab itu dia tampil memberi wawancara bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai situasi berkenaan.
Nurhisham turut memberi amaran bahawa bekalan minyak tempatan mungkin tidak kembali normal sehingga hujung tahun ini atau malah 2027 walaupun peranang berakhir dalam masa terdekat.
Ini kerana rantaian bekalan dan operasi telaga minyak memerlukan masa berbulan-bulan untuk pulih.

Sementara itu, katanya, pengilang mungkin mula menghentikan pengeluaran mulai bulan depan apabila bekalan bahan mentah habis.
Keadaan itu seterusnya akan menyebabkan pekerja menerima kurang syif dan pengurangan kerja lebih masa.
The Edge melaporkan lebih dua pertiga pengilang sedang bergelut dengan keadaan bekalan yang semakin buruk akibat konflik berpanjangan di Asia Barat.
Laporan itu memetik Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia sebagai berkata input yang paling terjejas termasuk petrokimia, bahan kimia industri, logam dan bahan pembungkusan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Nurhisham, penganalisis dasar awam Kamles Kumar berkata masalah reaksi masyarakat terhadap krisis yang bakal berlaku berkait rapat dengan cara kerajaan menyampaikan mesej mengenai isu tersebut.
"Selama beberapa bulan, orang ramai diyakinkan bahawa bekalan adalah mencukupi. Mesej itu membentuk tingkah laku pengguna ke satu arah tertentu.
"Meminta rakyat Malaysia mengubah haluan secara mendadak sekarang, tanpa panduan jelas atau pelan peralihan yang meyakinkan, berisiko mencetuskan kekeliruan dan panik," kata pengarah bersekutu Asia Group Advisors itu kepada Malaysiakini.
"Jun hanya tinggal beberapa minggu lagi, namun masih belum jelas apa yang perlu dijangka isi rumah dan perniagaan atau bagaimana mereka perlu membuat persediaan," tambahnya.

Menurutnya lagi, turut wujud jurang struktur apabila tiada mekanisme jelas untuk membantu rakyat Malaysia termasuk perniagaan menghadapi dan mengharungi kejutan tenaga yang berpanjangan.
Ahli ekonomi Samirul Ariff Othman turut menyuarakan pandangan sama dan berkata walaupun kerajaan mahu mengelakkan panik awam, terdapat isyarat bercampur mengenai keadaan sebenar situasi semasa.
Katanya, jaminan berterusan kerajaan bahawa bekalan bahan api mencukupi untuk jangka pendek boleh ditafsirkan sama ada keadaan masih terkawal atau pengakuan tersirat bahawa bekalan mungkin tidak stabil selepas tempoh itu.
"Malaysia mungkin sememangnya mempunyai simpanan dan aturan perolehan yang mencukupi dalam tempoh terdekat. Tetapi itu tidak semestinya bermaksud sistem secara keseluruhannya kebal daripada: gangguan penghantaran berpanjangan; peningkatan kos insurans; kesesakan penapisan; stok barangan di peringkat global semakin susut; tekanan subsidi; dan inflasi import.

"Kerajaan mungkin boleh berkomunikasi dengan lebih berkesan dengan membingkaikan situasi ini sebagai: 'terkawal tetapi rapuh dari segi struktur'.
"Itu akan lebih menjelaskan mengapa tidak perlu panik hari ini, sambil pada masa sama menekankan bahawa penyesuaian tingkah laku dan peranancangan daya tahan masih diperlukan," kata pensyarah adjung Universiti Teknologi Petronas itu.
Bagaimanapun, Samirul berkata mesej kerajaan kini mula berubah bagi mencerminkan realiti bahawa persekitaran risiko semasa bukan lagi sekadar berkaitan turun naik harga, tetapi kerentanan sistem rantaian bekalan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia, P Kamalanathan berkata jika tingkah laku masyarakat masih tidak berubah, kerajaan memerlukan strategi komunikasi yang lebih dekat dengan rakyat, telus dan selaras di semua saluran kerajaan.

"Dalam mana-mana krisis, konsistensi dan kejelasan amat penting.
“Mesej bercampur boleh melemahkan kefahaman awam.
"Orang ramai bukan saja perlu mendengar bahawa bekalan stabil, tetapi juga mengapa penggunaan secara bertanggungjawab dan disiplin ekonomi diperlukan ketika tempoh tidak menentu," kata bekas timbalan menteri pendidikan itu kepada Malaysiakini.





