PAS tidak bercadang untuk mengambil tindakan terhadap ahli parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang terpalit kontroversi ceramahnya yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penjelasan dan permohonan maaf dikemukakan bekas ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu sudah memadai.
"Bagi kita orang dah buat salah, mengaku salah dan meminta maaf, saya rasa sudah memadai.
"Kita dengan Tuhan pun, kita minta ampun dan kita bertaubat kepada Allah (bila buat salah). Lagipun, saya fikir ini kali pertama dia buat silap sebegini," katanya ketika ditemui di Wisma Sri Pahang, dekat Kuantan, di Pahang hari ini.
Terdahulu, Nik Muhammad Zawawi tampil memohon maaf susulan kontroversi itu.
"Merujuk kepada kontroversi berkaitan pengucapan saya baru-baru ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para tuan guru, asatizah, sahabat-sahabat serta seluruh masyarakat yang telah memberikan teguran, nasihat dan pandangan kepada saya.
"Saya mengakui bahawa saya kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut. Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut,” katanya dalam kenyataan media yang dikongsi di Facebook Dewan Ulama PAS Pusat.
Video petikan ucapan Nik Mohammad Zawawi itu yang dikatakan menyentuh mengenai kehidupan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam dalam ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu, tular di media sosial sejak hujung minggu lalu.
Dalam ucapan berkenaan, Abu Bakar digambarkan sebagai “bapa ceti” kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin manakala Umar pula didakwanya berperanangai ganas dan suka berzina.
Nik Muhammad Zawawi dalam video penjelasannya semalam bagaimanapun mempertahankan ucapannya dan menegaskan dia tidak menghina para sahabat Nabi.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menasihati semua pihak supaya menjaga tutur kata, terutama apabila bercerita mengenai sahabat Rasulullah SAW.
"Kisah-kisah sahabat Nabi SAW zaman jahiliyah ni biasanya kita tak ungkit sebab sahabat-sahabat Rasulullah ini dah dijamin syurga oleh Allah.
"Kalau nak buat atau bercerita sekali pun, kalau boleh elakkan daripada sebut nama," jelasnya.
Sementara itu, ditanya mengenai calon Ketua Pembangkang bagi sidang Dewan Rakyat akan datang, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional memaklumkan, mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu akan diadakan Sabtu ini di ibu negara.
Katanya, mesyuarat itu dijangka turut akan membincangkan calon bagi jawatan Ketua Pembangkang yang ketika ini dikosongkan oleh ahli parlimen Larut, Hamzah Zainudin.





