Lebih 10 ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri (Adun) daripada blok pembangkang dilaporkan menyatakan minat untuk menyertai inisiatif 'Rumah Bangsa' anjuran Umno.
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan bahawa kumpulan wakil rakyat tersebut merupakan mereka yang pernah bertanding menentang BN pada pilihan raya lalu.
"Mereka yang berstatus ahli parlimen dengan Adun juga amat berminat untuk menyertai kembali Rumah Bangsa.
“Ahli parlimen daripada pembangkanglah. Yang bertanding lawan Barisan Nasional dulu," katanya yang dipetik oleh portal Malaysia Gazette.
Walau bagaimanapun, Asyraf tidak mendedahkan nama mereka dan menjelaskan hasrat wakil rakyat berkenaan buat masa ini terhalang oleh peruntukan undang-undang sedia ada.
"Kita ada sedikit halangan kepada yang berjawatan ahli parlimen dan Adun. Itu sedikit halangan kerana ada Akta Anti-Lompat Parti tapi mereka amat berminat untuk menyertai Rumah Bangsa," jelasnya.
Antara spekulasi politik hari ini adalah wakil rakyat daripada Bersatu yang digantung atau dipecat daripada parti serpihan Umno itu berkemungkinan berpaling tadah.
Isnin lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat serta menggantung keahlian empat lagi wakil rakyat dan pemimpin parti itu.
Antara mereka adalah Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas dan Adun Bukit Bunga, Kelantan, Mohd Almidi Jaafar yang digantung bagi tempoh dua penggal pengundian.
Turut digantung adalah Adun Bukit Bunga, Mohd Almidi Jaafar yang juga ketua bahagian Jeli Bersatu, Sementara, Adun Kok Lanas Mohamaed Farid Mohamed Zawawi dipecat keahliannya.
Jumaat lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat serta menggantung keahlian beberapa wakil rakyat dan pemimpin parti itu antaranya Adun Suka Menanti Dzowahir Ab Ghani, Adun Sungai Tiang Abdul Razak Khamis dan Ketua Bahagian Hulu Langat Muhammad Faiz Rahmad.
Lima Ahli Parlimen pula digantung hak-hak keahlian iaitu Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Khlir Mohd Nor (Ketereh).
Turut digantung Adun Kuala Sepetang Ahmad Man dan Adun Chenderoh Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, beberapa siri pertemuan telah diadakan melalui Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Mohamed Khaled Nordin bagi meneliti maklum balas dan permohonan tersebut.
Rumah Bangsa merupakan agenda penyatuan semula yang diperkenalkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk menyatukan orang Melayu serta membuka pintu kepada bekas ahli untuk kembali ke pangkal jalan.
Inisiatif ini menjadi tumpuan dalam usaha parti itu memperkukuh kedudukan dalam landskap politik semasa.





