Ketua Umno Beruas, Azhar Ahmad, menafikan dakwaan dia bertindak menampar seorang cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, seperti yang tular hari ini.
Menurutnya dakwaan kejadian itu – yang berlaku semasa program anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) – adalah fitnah jahat terhadap dirinya dan menegaskan dia tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian.
“Anak ini sangat mesra dengan saya. Apa sebab saya nak tampar dia? Puluhan saksi ada dalam dewan itu, saya sangat mesra, sayang (dia) seperti anak sendiri.
“(Kejadian tersebut) Fitnah jahat terhadap saya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini pada malam ini.
Dia yang juga bekas senator menambah untuk mendapatkan pengesahan tentang insiden tersebut, orang ramai boleh membuat semakan dengan institusi pengajian tinggi terbabit.
“Memang sangat jahanam ayat ‘menampar’ itu,” katanya lagi.

Terdahulu Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi, 23, mendakwa dia ditampar seorang bekas senator kira-kira jam 6 petang pada 20 Mei lalu. Kejadian tersebut, katanya, berlaku di Institut Latihan Memperkasa Ummah di Janda Baik, Bentong, Pahang.
Menurut Nik Alif Aiman, selepas selesai sesi bergambar di akhir program berkenaan, dif jemputan dan peserta bergerak turun dari pentas untuk ke dewan makan.
Katanya, dia menegur individu bergelar Datuk sebagai tanda hormat dan memperkenalkan diri sebagai cucu Nik Abdul Aziz.
“Selepas perkara tersebut disebut, berlaku perbualan berkaitan PAS dan saya mendakwa dia telah mengeluarkan kenyataan yang mengkritik PAS.
“Tidak lama kemudian, secara tiba tiba, beliau telah menampar pipi kiri saya menggunakan tangan kanannya.
“Tamparan tersebut tidak menyebabkan kecederaan fizikal yang jelas, namun cukup kuat sehingga kepala dan muka saya bergerak ke sebelah kanan akibat impak tersebut,” katanya.
Tolak pelawaan makan sama
Nik Alif Aiman turut mendakwa insiden berkenaan berlaku di hadapan antara 10 hingga 15 orang termasuk beberapa pegawai UiTM.
Tambahnya turut ada berhampiran tempat tersebut ialah pimpinan tertinggi UiTM serta anggota majlis perwakilan pelajar institusi pengajian tinggi terbabit.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak membalas tindakan individu itu kerana menghormatinya sebagai seorang yang lebih berusia.
“Saya cuma cakap ‘no comment Datuk’ apabila dia bercakap mengenai politik PAS.
“Demi menjaga nama UiTM, sebab itu program anjuran UiTM, saya tak nak keruhkan keadaan ketika itu. Saya juga jenis menerima perbezaan pendapat tapi saya tak boleh terima yang dia menampar saya.
“Saya juga berasakan tindakan tersebut menyentuh maruah keluarga saya, khususnya sebagai waris kepada Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan seorang tokoh agama dan pemimpin yang dihormati ramai,” dakwanya.
Menurut Nik Alif Aiman lagi, selepas itu bekas senator terbabit mengajak dia makan bersama namun pelawaan berkenaan ditolak sebagai tanda protes terhadap apa yang baru terjadi.
“Kejadian ini telah menyebabkan saya berasa terhina, malu dan terkesan dari segi emosi kerana berlaku di hadapan orang ramai.
“Saya juga berasa maruah diri serta keluarga saya telah tercalar akibat kejadian tersebut,” katanya.

Ekoran kejadian berkenaan Nik Alif Aiman membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Kelantan pada 30 Mei lalu, antara lain berharap pihak berkuasa mengambil keterangan daripada saksi dan langkah lain mengikut undang-undang.
Katanya laporan kepada polis juga dibuat kerana berasakan dia perlu mempertahankan maruah keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz daripada dihina atau kehormatannya dijatuhkan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Azmir Damiri mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut dan kes itu akan disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong.
Dalam perkembangan berkaitan, Azhar berkata pihaknya juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
“Saya akan memerhati gerak laku mereka dan apa agenda mereka sebenar,” jelasnya lagi.





