Adun Skudai di Johor, Marina Ibrahim, mempertahankan pendekatannya dalam berpolitik dan menolak dakwaan dia telah menukar kesetiaan atau "dibeli" hanya kerana kesediaannya bekerjasama dengan kerajaan Johor.
Dalam satu hantaran panjang di media sosial, Marina berkata, segala keputusan yang dibuat adalah hasil perbincangan dengan pasukannya serta berasaskan komitmen untuk menyelesaikan masalah rakyat, bukannya terlibat dalam konfrontasi politik berterusan.
"Ada yang cakap 'lompat parti ke?' atau 'kena beli ke?' Tidak," katanya.
Marina berkata pendekatannya yang bertumpu kepada menyelesaikan masalah berbanding menyerang pihak lawan menyebabkan ada pihak mencipta persepsi negatif.
“Aku percaya politik bukan sekadar soal sejauh mana kita hebat serang orang, tetapi soal menyelesaikan masalah di lapangan,” katanya.
Marina – yang dilihat sebagai bakat muda dan berpotensi dalam politik khususnya sebagai ahli DAP – mengejutkan ramai orang apabila mengumumkan dia enggan dicalonkan semula dalam pilihan raya akan datang.
Dia juga mengumumkan bersara daripada politik.
Pengumuman Marina itu kemudian disusuli pula tularnya sepucuk surat didakwa dihantar kepada Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, terkait tawaran untuk menjadi calon di kerusi lain.

Bagaimanapun, laporan New Straits Times menyatakan Marina enggan mengesahkan surat bertarikh 30 Mei itu.
Merujuk karya Art of War tulisan Sun Tzu, Marina berkata kejayaan terbaik sering dicapai melalui kerjasama dan rundingan, bukannya konflik.
Dia juga yakin kedudukan sebagai pembangkang atau berbeza pendekatan politik tidak menjadikan seseorang itu mesti membantah apa saja inisiatif yang dibuat kerajaan.
"Bagi aku, apabila sesuatu perkara memberi manfaat kepada orang kawasan aku, menjadi tanggungjawab kita untuk menyokong jika benda itu baik.
"Tapi bukan menyokong membuta tuli. Apabila terdapat kelemahan, kita menegur serta menawarkan penyelesaian," katanya.
Bukan tunggu musim PRU
Marina berkata dia kerap membangkitkan isu melalui perbahasan DUN, mesyuarat serta komunikasi terus dengan pegawai kerajaan.
Dia turut menegaskan bahawa berada di luar kerajaan negeri tidak bermakna setiap isu perlu diselesaikan melalui konfrontasi.
"Banyak masalah rakyat dapat diselesaikan melalui hubungan kerja yang baik, rundingan yang matang dan kemampuan membina jambatan antara pelbagai pihak," katanya.
Menurut Marina, penduduk lebih mengambil berat tentang penyelesaian masalah setempat yang berlarutan sejak sekian lama berbanding pertikaian politik.
Tambah Marina, usaha membantu masyarakat perlu berterusan dan bukan menunggu musim pilihan raya.
“Kau nak cakap aku lemah, lembik.. tak kisahlah.
“Pandangan dan pentafsiran orang pelbagai. Tapi bagi aku ni bukan tanda kelemahan, tetapi satu bentuk diplomasi strategik yang membolehkan lebih banyak perkara dicapai untuk kawasan aku.
“Maaflah kalau ada yang tak senang cara aku,” katanya.





