Tindakan PKR Maran mengumumkan sedia meletakkan calon mereka di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit dan Kuala Sentul pada PRU akan datang mengecewakan Amanah kawasan berkenaan.
Sambil menggambarkan pengumuman itu sebagai pramatang, Ketua Amanah Maran, Ahmad Shuhor Awang, memberitahu tiada sebarang perbincangan dibuat antara parti komponen PH dalam kawasan parlimen Maran membabitkan pembahagian kerusi.
"Saya pun tak faham apabila terbaca mengenai hasrat mereka (PKR Maran) sebab memang perkara ini tidak pernah langsung dibincangkan.
"Kita perlu hormat semangat dalam kerajaan perpaduan dan setiap keputusan atau pengumuman berkaitan kerusi DUN atau parlimen perlu mendapat persetujuan semua pihak berkaitan.
"Saya fikir perkara ini belum lagi dibincangkan di peringkat Pusat, apatah lagi di peringkat Pahang, tapi minggu lepas PKR Maran terus umum mengenai pendirian mereka untuk kerusi Luit dan Kuala Sentul," katanya kepada Malaysiakini.
Ahmad Shuhor mengulas demikian ketika ditanya mengenai sidang media dibuat PKR Maran pada 24 Mei lalu.
Dalam sidang media itu, Ketua PKR Maran, Michael Sia Wei Lung, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk meletakkan calon bagi kerusi DUN Luit dan Kuala Sentul untuk PRU ke-16.
Sia menjelaskan, pertimbangan itu sedang dibuat susulan kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan baru-baru ini dan pengumuman dibuat Umno Johor yang mahu bertanding di semua 56 kerusi DUN dalam pilihan raya negeri akan datang.
Elok duduk semeja dulu
Mengulas lanjut, Ahmad Shuhor memaklumkan, PH sebagai sebahagian kerajaan perpaduan di Pahang perlu berbincang dengan Umno Pahang sebelum memutuskan kerusi mana akan ditandingi.
Katanya, PKR dan Amanah perlu menghormati persetujuan asal ketika kerajaan perpaduan ditubuhkan, dan tidak sepatutnya membuat sebarang pengumuman sebelum perbincangan selesai.
"Saya anggap pengumuman dibuat PKR Maran itu hanya keputusan di peringkat cabang. Mereka sendiri yang buat keputusan itu tanpa merujuk pimpinan atau rakan dalam PH atau wakil dalam kerajaan perpaduan.
"Memang saya setuju ini negara demokrasi, tapi lebih elok kita duduk semeja dan melihat kekuatan yang ada sebelum umum nak bertanding di sana sini.
"Kita (Amanah) pun ada kekuatan dan boleh juga nak umum kerusi mana kita mahu (bertanding)... tapi itu bukan caranya, apa-apa keputusan kena tunggu hasil perbincangan di peringkat tertinggi PH dan kerajaan perpaduan," ujarnya.
Untuk rekod, kerusi DUN Luit sebelum ini dimenangi calon PN dari PAS, Mohd Sofian Abdul Jalil, dengan majoriti 1,166 undi.
Jasri Jamaludin (Bersatu) pula memenangi kerusi DUN Kuala Sentul dengan menewaskan Khairuddin Ali (BN) dan Amran Tahir (PH).
Jasri memenangi kerusi tersebut dengan kelebihan 241 undi.





