32.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 31, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Marina umum enggan bertanding lagi, undur dari politik

    Shopee Sale

    Adun Skudai, Marina Ibrahim, hari ini membuat kejutan dengan mengumumkan yang dia tidak akan bertanding lagi dalam pilihan raya selepas memenangi kerusi tersebut pada 2022.

    Dalam kenyataan dikeluarkan di media sosialnya, anak kelahiran Kluang, Johor itu berkata dia membuat keputusan untuk meninggalkan politik selepas berbincang dengan orang yang dekat dengan dirinya.

    “Dengan penuh rendah diri, saya, Marina Ibrahim, telah membuat keputusan untuk tidak bertanding dan berundur dari arena politik.

    “Keputusan ini diambil setelah (mengadakan) perbincangan bersama insan-insan yang sentiasa berada di sisi saya sepanjang perjalanan ini.

    “Kini, saya memilih untuk kembali kepada sesuatu yang amat dekat di hati saya sejak dahulu lagi iaitu berada di lapangan, menyantuni masyarakat dan meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya sebelum saya melangkah ke dunia politik,” katanya.

    Marina, 38, merupakan ahli DAP dan dinamakan sebagai calon mewakili PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada 12 Mac 2022. Dia mengalahkan dua calon lain masing-masing mewakili BN dan PN.

    Dia mengalahkan pencabar terdekat, Lim Soon Hai (BN) dengan majoriti 13,943 undi.

    Selepas memenangi kerusi tersebut Marina memberitahu keutamaannya ialah isu-isu yang menyentuh orang ramai secara langsung seperti kemudahan awam dan perumahan kos rendah.

    Berkhidmat sehingga habis

    Dengan pelbagai perkembangan terkini, Johor dijangka mengadakan PRN dalam tempoh tidak lama lagi.

    BN Johor baru-baru ini sudah mengumumkan rancangan mereka untuk meletakkan calon di semua 56 kerusi yang ada, sekali gus menghantar isyarat yang tidak disenangi PH di sebalik kerjasama yang dijalinkan dalam kerajaan perpaduan.

    MENARIK:  Suspek terjun dari tingkat lima lepas tikam rakan serumah 11 kali

    Menurut Marina hari ini, lebih empat tahun lalu dia datang ke Skudai dengan harapan yang sederhana tetapi membawa makna yang besar iaitu memberikan khidmat sebaik mungkin.

    “Saya hadir bukan dengan kekuatan yang besar, bukan juga dengan pasukan yang lengkap. Namun saya hadir dengan niat yang ikhlas dan keyakinan bahawa setiap amanah perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

    “Sepanjang tempoh tersebut, saya telah berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada masyarakat. Jika terdapat kekurangan, kelemahan atau perkara yang tidak memenuhi harapan sesetengah pihak, saya dengan rendah hati memohon maaf.

    “Saya hanyalah seorang manusia yang tidak pernah terlepas daripada kekhilafan dan keterbatasan,” katanya.

    Tambah Marina, sepanjang tempoh itu dia sentiasa dipertemukan dengan ramai insan yang menjadi pengukuh langkahnya dengan pelbagai latar belakang bangsa dan agama.

    Namun katanya di sebalik perbezaan tersebut, ia tidak pernah menjadi jurang yang memisahkan sebaliknya faktor penyatu dalam ikatan kekeluargaan yang dibina atas dasar kepercayaan, kasih sayang dan keinginan untuk berbuat baik kepada masyarakat.

    “Untuk itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah memberikan kepercayaan, sokongan dan peluang kepada saya sepanjang saya memikul amanah sebagai Adun Skudai,” katanya.

    Sehingga DUN Johor dibubarkan dan Adun lain dilantik, Marina berkata, dia akan terus berkhidmat seperti selalu.

    “Terima kasih atas segala kenangan, pengalaman dan kepercayaan yang telah diberikan,” katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah