Melancong ke luar negara menjanjikan pengalaman baharu yang menyeronokkan, namun di sebalik keterujaan itu, terselimut satu realiti yang jarang difikirkan iaitu risiko kematian di bumi asing.
Artikel Berkaitan: ‘Ini Tip Paling Sedih’ – Kisah Pemandu E-Hailing Raih Perhatian, Ayah Penumpang Meninggal Dunia 3 Minit Sebelum Tiba Hospital
Cara pengurusan jenazah

Selain terpaksa menanggung rasa hiba yang mendalam, waris juga sering kali buntu dan panik memikirkan proses birokrasi antarabangsa untuk mengurus perjalanan akhir jenazah.
Berikut adalah panduan yang perlu diambil oleh waris bagi menguruskan kematian.
Langkah awal yang wajib dilakukan apabila berlaku kematian di luar negara adalah dengan membuat laporan segera kepada pihak Kedutaan Malaysia, sama ada di Kedutaan Besar atau di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di lokasi berkenaan.
Kehadiran wakil diplomatik ini amat penting kerana mereka bertindak sebagai perantara rasmi antara keluarga dengan pihak berkuasa tempatan, di samping mempermudah segala urusan berkaitan dokumentasi.
Sokongan daripada pihak kedutaan merangkumi aspek yang luas, termasuklah membantu waris menuntut semula barangan peninggalan si mati. Bukan itu sahaja, mereka juga akan memberi panduan berkaitan prosedur menuntut insurans, menguruskan baki simpanan bank, serta menjelaskan hak-hak yang sepatutnya diterima oleh ahli keluarga.
Seterusnya, waris wajib mendapatkan sijil kematian rasmi yang dikeluarkan oleh negara tempat individu berkenaan meninggal dunia.
Dokumen ini amat penting kerana akan digunakan sebagai bukti untuk mendaftarkan kematian di Jabatan Pendaftaran Negara selepas pulang ke Malaysia. Di peringkat ini, pejabat kedutaan memainkan peranan besar dalam membantu waris menguruskan penterjemahan dokumen ke bahasa rasmi serta mengesahkannya mengikut prosedur.
Selain itu, penempatan akhir jenazah iaitu sama ada dikebumikan di luar negara atau dibawa pulang ke Malaysia merupakan keputusan besar yang bersandarkan faktor kos, logistik dan kehendak keluarga.
Bagi proses penghantaran balik ke tanah air, terdapat prosedur wajib yang melibatkan permit khas, sijil kesihatan daripada pihak berkuasa tempatan dan kelulusan pihak berkuasa di Malaysia.
Jika pihak keluarga memilih untuk membawa pulang ke Malaysia, jenazah lazimnya akan melalui proses embalming iaitu pengawetan. Proses ini bertujuan memelihara keadaan fizikal jenazah, sekaligus membolehkannya kekal sempurna sepanjang tempoh penerbangan yang lama.
Insuran perjalanan

Perlindungan daripada insurans perjalanan sangat penting apabila berlaku musibah besar seperti kematian atau kecederaan berat di luar negara.
Walaupun anda mungkin sudah dilindungi oleh insurans hayat yang akan membayar pampasan untuk kes kematian dan hilang upaya, namun insurans perjalanan tetap mempunyai nilai tambah yang besar.
Selain itu, jika si mati mempunyai insurans perjalanan, kos membawa pulang akan ditanggung oleh syarikat insurans mengikut had polisi yang diambil. Tanpa insurans, keluarga mungkin terpaksa mencari kutipan dana kilat dalam masa yang singkat.
Dalam masa yang sama, insuran ini juga membolehkan ahli keluarga menuntut dana tambahan, menjadikannya satu gandingan pelindungan yang ideal.
Kesimpulannya, proses membawa pulang jenazah dari bumi asing memerlukan pelbagai prosedur dan kos yang tinggi. Bagi mengelakkan keluarga di Malaysia menanggung bebanan ini sendirian, pastikan anda tidak lupa membeli insurans perjalanan sebelum melancong. Pelaburan yang kecil ini amat besar nilainya untuk memastikan urusan terakhir kita dipermudahkan.
Sumber: MyGOVMalaysia, BJAK
The post Meninggal Dunia Di Luar Negara, Ini Prosedur Yang Waris Perlu Tahu first appeared on OHBULAN!.





